Monday, April 21, 2014

Teras ke-3 KeadilanRaya :Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia.



PETALING JAYA: Penyandang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali melancarkan kempennya bagi mempertahankan jawatannya itu dengan melancarkan gagasan ‘Keadilan Raya’.

Azmin, yang berdepan cabaran empat penjuru dalam perebutan jawatan kedua tertinggi PKR itu, ketika melancarkan kempennya malam tadi berkata tema ‘Keadilan Raya’ diketengahkannya sebagai satu usaha untuk mengembalikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Perkataan ‘Raya’ berasal dari perkataan Sanskrit yang membawa maksud, antaranya, besar, megah, hala tuju, merangkul kesemua (inklusif) dan ketegasan. Maka tidak menghairankan, para pejuang kemerdekaan nusantara seperti Ibrahim Yaacob, Burhanudin al Helmy, Gandhi, Okakura Tenshin, Rabindranath Tagore dan Soekarno berkobar-kobar tatkala membicarakan Gagasan Melayu Raya, Indonesia Raya dan Asia Raya.

“Ia bukan sahaja menjadi slogan akan tetapi suatu ideologi politik, untuk menyatu padukan seluruh rakyat yang bangkit menentang penjajahan.

“Makanya, Keadilan Raya juga adalah kesinambungan atas cita-cita tersebut. Memastikan setiap rakyat Malaysia, samada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan menikmati kemakmuran negara yang kita cintai ini,” terang Azmin dalam ucapannya  di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Beliau yang juga ahli parlimen Gombak turut menegaskan bahawa pembentukan puak dan pasukan akan menyebabkan PKR ‘hancur berantakan’.

“Bagi saya, seluruh anggota parti adalah pasukan saya di bawah naungan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenapa kita perlu mencipta kuasa ketiga (dalam parti)? Apa yang kita perlukan hanyalah satu kuasa dan kuasa itu ialah keadilan,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, Azmin sekali lagi menegaskan bahawa PKR merupakan parti berbilang kaum yang melindungi kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Sebagai Timbalan Presiden, saya telah menjelajah ke Ba’ Kelalan, Sarawak, ke Melalap di Tenom,  merentasi Banjaran Croker, Sabah.

“Saya bertentang mata dengan orang Iban di Rumah Panjang Nanga Budu, Saratok, orang Kadazan di Kampung Pilantong, Lanok, Beluran.

“Saya memasuki kampung, estet dan kampung  baru untuk menyelami hati nurani orang Melayu, India dan Cina.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa Keadilan (PKR) bukan parti Melayu. Keadilan adalah parti seluruh anak Malaysia,” tegasnya.

Pelancaran kempen Azmin itu dihadiri lebih 400 ahli parti termasuk pemimpin-pemimpin parti dari ‘kem’ Azmin sendiri, Ahli Parlimen (MP) Ampang Zuraidah Kamaruddin, MP Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin, MP Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian, MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid, MP Kapar G Manivannan, ADUN Batu Caves Amiruddin Shari dan ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar, Exco Selangor Dr Daroyah Alwi, ADUN Taman Medan Haniza Talha.

FMT

No comments: