Tuesday, April 29, 2014

TPPA :Pastikan Malaysia Tidak Rugi





Kerajaan harus memastikan bahawa Malaysia tidak berada di pihak yang rugi sebelum memutuskan untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).

Meskipun beliau secara peribadi berpendapat bahawa tidak perlu bagi Malaysia menandatangani perjanjian itu namun beliau mengakui bahawa keputusan muktamad berhubung perkara itu terletak pada kerajaan.

"Mereka (negara maju) kaya dan mempunyai teknologi dan boleh mengatasi dasar (kerajaan) kita untuk membantu rakyat Malaysia," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Persekutuan Antarabangsa Arkitek Landskap Rantau Asia Pasifik (IFLA-APR) di Kuching hari ini.

Dr Mahathir diundang sebagai penceramah utama yang menyampaikan ucapan dasar pada persidangan itu anjuran bersama IFLA-APR dan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM).

Menurut beliau, sebaik sahaja menandatangani TPPA, pasaran Malaysia akan dibuka selanjutnya dan ini tidak semestinya menguntungkan rakyat Malaysia.

TPPA buat masa ini dirunding oleh 11 negara diketuai Amerika Syarikat dengan matlamat meliberalisasikan selanjutnya ekonomi rantau Asia Pasifik.

Dr Mahathir berharap Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mengakhiri lawatan tiga hari ke Malaysia hari ini akan mengotakan janjinya untuk tidak "membuli" Malaysia bagi menandatangani perjanjian itu.

Pada masa yang sama, bekas perdana menteri itu juga mengaku tentang perlunya kedua-dua negara mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak dan kedudukan Amerika Syarikat sebagai sebuah daripada rakan dagangan terbesar Malaysia.

"Hubungan baik akan memanfaatkan Malaysia dan Amerika Syarikat," kata beliau. – Bernama, 28 April, 2014.

No comments: