Wednesday, April 23, 2014

TPPA Merupakan Agenda Obama Ke Malaysia




Putrajaya mengakui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) antara agenda utama yang akan dibincangkan dalam lawatan tiga hari Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia hujung bulan ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun menegaskan tiada sebarang persetujuan akan ditandatangani semasa lawatan tersebut.

"Sudah pasti ia menjadi agenda utama yang akan dibincangkan," kata Mustapa semasa taklimat dengan media di pejabatnya hari ini.

"Tapi tiada sebarang perjanjian akan ditandatangani."

Mustapa menolak sama sekali khabar angin mengatakan lawatan Obama ke Malaysia bertujuan untuk memberi tekanan kepada Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan kontroversi itu.

Menurut Mustapa, beberapa perkara berbangkit masih lagi dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan.
TPPA merupakan inisiatif membentuk kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei pada Oktober 2010 lalu.

Rundingan terakhir diadakan di Singapura pada Februari lalu tetapi keputusan muktamad masih buntu setakat ini.

Kontroversi TPPA mendapat perhatian banyak pihak, antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga pembangkang.

Lawatan ini akan digunakan sebaiknya untuk Malaysia berkongsi pandangan mengenai halangan yang dihadapi dalam perjanjian tersebut, kata Mustapa.

"Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib akan berkongsi halangan yang kita hadapi dalam perbincangan ini dengan Obama. Itu sahaja yang boleh saya katakan," kata beliau.

Kali terakhir Malaysia menerima lawatan Presiden Amerika Syarikat ialah pada 1966, oleh Presiden Lyndon Johnson.

Mustapa berkata beberapa isu berbangkit masih lagi belum diselesaikan dan memberi jaminan kajian manfaat kos TPPA akan dibentangkan sebelum sebarang perjanjian tersebut dimuktamadkan.

"PM mengarahkan ia dibincang ke Parlimen. Kami akan bawa ia ke Parlimen," kata Mustapa.
Analisis itu, terbahagi kepada dua seksyen, dilaksanakan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Perdana Menteri.

Beberapa halangan dikenalpasti dalam perbincangan TPPA, menurut Mustapa, beberapa perkara yang masih menjadi pertikaian antaranya mengenai polisi, isu perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan agenda Bumiputera.

"Isu-isu umum dan melibatkan orang awam masih lagi dibincangkan," kata Mustapa.

Termasuk Malaysia, 12 negara lain yang terlibat dalam rundingan rahsia TPPA adalah AS, Australia, Brunei, Chile, New Zealand, Peru, Singapura, Jepun, Vietnam, Mexico dan Kanada.

Peningkatan bantahan beberapa badan bukan kerajaan termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) terhadap TPPA menyebabkan Putrajaya mengambil keputusan menangguhkan sebarang keputusan muktamad sehingga selesai dua analisis kos manfaat terhadap kesannya ke atas kebajikan nasional dan industri kecil dan sederhana Bumiputera. – 22 April, 2014.

No comments: