Wednesday, April 30, 2014

Catuan Air Tamat 1 Mei



Catuan air di Selangor akan ditarik balik mulai esok, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kassim, lapor akhbar The Star, hari ini.

Tindakan diambil selepas mengambilkira usaha yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor untuk menambahkan sumber air mentah.

"Ekoran itu, Span bersetuju menarik balik catuan air peringkat 1,3 dan 4 di Selangor dan Kuala Lumpur," kata Ismail di perkarangan sidang Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar catuan air di Selangor dihentikan berikutan hujan yang berterusan.

Katanya, walaupun jumlah ini belum mencecah paras 42% takungan seperti yang diumumkan sebelum ini, ia wajar dihentikan.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu dari 23 April 2014 hingga hari ini 29 April 2014, jumlah takungan air di Empangan Sungai Selangor telah meningkat dari 38.97% (89.63 juta meter padu air) kepada 40.23% (92.53 juta meter padu air).

“Pada masa yang sama, saya menyeru penduduk di Lembah Klang supaya menggunakan air secara berhemah dan mengurangkan penggunaan seperti membasuh kereta yang terlalu kerap, melaporkan paip pecah secepat mungkin dan lain-lain agar penggunaan air dapat dikawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ini memberi ruang kepada Kerajaan Selangor dan pihak yang bertanggungjawab membuat unjuran semula menggunakan kadar penggunaan air yang lebih rendah bagi mengelakkan catuan yang berpanjangan di masa hadapan.

Pelan catuan yang bermula sejak 2 Mac lalu melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan mengumumkan keputusan untuk menarik balik catuan ini.

 Menurutnya, keputusan bakal diambil secepat mungkin ekoran kenaikan paras air di empangan.

 “Kenaikan air di empangan mula meningkat. Saya akan mengadakan perjumpaan sama ada Jumaat ini atau Isnin depan untuk menetapkan tarikh pemberhentian catuan air. Lagi cepat lagi baik,” katanya ketika ditemui pemberita.

Abdul Khalid berkata laporan peningkatan air itu diterima daripada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan akan dipantau dari semasa ke semasa.

“Laporan itu dari Luas. Saya akan memantau dari sehari ke sehari,” katanya.– 30 April, 2014.

TMI

No comments: