Wednesday, April 23, 2014

Kenyataan Media:Peruntukkan RM10 Juta Bina Infrastuktur Untuk Pam Air Ke Sungai Selangor

KENYATAAN MEDIA
23 APRIL 2014
PERUNTUKKAN RM10 JUTA BINA INFRASTRUKTUR UNTUK PAM AIR KE SUNGAI SELANGOR 

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri  (MMKN) hari ini meluluskan peruntukkan sebanyak RM10 juta bagi membina infrastruktur bagi kerja-kerja mengepam air dari bekas lombong atau kolam sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor.

Peruntukkan ini termasuk membeli pam-pam berkeupayaan tinggi bagi memastikan kerja-kerja pengepaman ini memberi kesan maksima dan mampu meningkatkan paras air di Sungai Selangor.

Infrastruktur ini juga akan digunakan bagi mengepam air Sungai Selangor ke kolam takungan apabila paras air sungai mencapai paras normal sebagai persediaan menghadapi musim kering berlanjutan yang diramal akan berlaku antara akhir Mei sehingga September tahun ini.

Setakat jam 8 pagi ini, paras air di Empangan Sungai Selangor masih berada di bawah paras kritikal iaitu 38.97 peratus dengan jumlah takungan 89.63 juta liter padu.

Walaupun empangan lain terus menunjukkan peningkatan melebihi paras 50 peratus namun empangan-empangan ini hanya membekalkan sebahagian kecil air kepada penguna berbanding Empangan Sungai Selangor yang membekalkan kira-kira 60 peratus keperluan pengguna di Lembah Klang.

Seperti yang telah diumumkan semalam, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti usaha-usaha untuk menambah bekalan air mentah dan sekiranya hasilnya positif, kita bersedia untuk mengkaji semula pelan catuan air yang telah dimulakan sejak Mac lalu.

Kita berharap rakyat terus bersabar dan memberi kepercayaan kepada Kerajaaan Negeri dalam menyelesaikan masalah ini termasuklah usaha kita membuat persiapan awal bagi memastikan simpanan air mentah mencukupi dalam  menghadapi musim kering yang dijangka berlanjutan antara lima hingga enam bulan. 

Kerajaan Negeri akan mengadakan sidang akhbar setiap dua hari sekali untuk memaklumkan perkembangan semasa bekalan air mentah bermula pada Jumaat ini yang akan dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, YB Dr Yunus Hairi,  Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

YAB TAN SRI  DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: