Monday, April 28, 2014

Obama Akhiri Lawatan 3 Hari Selepas 50 Tahun Lawatan Lyndon B Johnson Ke Malaysia

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/04/26/foto-galeri-ketibaan-obama/~/media/6f6b40a535584197853970579371473a.ashx?la=en


Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengakhiri lawatan selama tiga hari di Malaysia hari ini, lawatan bersejarah  dalam tempoh 50 tahun selepas lawatan oleh Presiden Lyndon B Johnson.

Pesawat Air Force One yang membawa presiden Amerika itu berlepas pada kira-kira 10.20 pagi dari Pangkalan Udara Subang yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.

Antara yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Obama ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Destinasi seterusnya bagi presiden AS ialah Filipina, hentian terakhir dalam siri lawatan beliau ke empat negara Asia. Sebelum Malaysia, beliau melawat Jepun dan Korea Selatan.

Aturcara terakhir Obama adalah menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan Amerika bernilai US$2 bilion (RM6.5 bilion) dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir pada majlis itu yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.

Kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala di pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya pada Ahad yang menyaksikan Malaysia dan AS bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif.

AS juga berjanji untuk terus membantu Malaysia dalam operasi dan penyiasatan untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Sepanjang lawatan itu,  Obama antara lain menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara.

Presiden juga menghadiri jamuan negara bersama-sama raja Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara beberapa jam selepas tiba di negara ini pada Sabtu. – Bernama, 28 April, 2014.

No comments: