Loading...

Sunday, July 11, 2010

Boleh jadi Umno lebih sesat - bekas Imam Besar
Ali Hashim

ALOR SETAR, 10 Julai: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib (gambar) mengingatkan pemimpin Umno terutamanya di negeri Kedah supaya tidak membuat tuduhan dan dakwaan melulu tanpa sebarang fakta dan bukti yang konkrit.

Menurut beliau lagi tuduhan yang dilemparkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sesat adalah sesuatu yang melampau dan keterlaluan.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kedah berkata, seandainya Umno menyifatkan PAS sesat, kemungkinan Umno itu lebih sesat kerana mereka bukannya memperjuangkan ajaran Islam sebenarnya sebaliknya memperjuangkan isu perkauman dan assabiyah.

"Pemimpin Umno sepatutnya tidak bercakap mengikut angin mereka sahaja. Setiap dakwaan dan tuduhan perlulah mempunyai fakta kebenaran sebelum membuat sebarang dakwaan.

"Oleh kerana itu kepimpinan Umno dinasihatkan supaya sentiasa berpandukan kepada kebenaran dalam isu yang mengaitkan PAS sebagai sebuah parti yang sesat.Dakwaan tersebut juga adalah suatu perkara yang tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh mencelarukan pemikiran masyarakat,"katanya yang juga besar imam besar Masjid Negara.

Pemuda PAS Kedah cabar siasat

Sementra itu, Dewan Pemuda PAS Kedah mencabar Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Shafei Apdal supaya menubuhkan jawatankuasa agama bagi menyiasat dakwaan kononnya PAS parti yang sesat.

Menurut Ketuanya, Ahmad Yahya, siasatan boleh dilakukan dalam apa jua aspek mengenai dakwaan tersebut.

Namun begitu beliau juga berkata seandainya dakwaan yang tidak disertakan dengan bukti yang tepat tidak harus dilayan kerana ia merupakan satu tuduhan liar yang tidak berasas.

"Sekiranya beliau (Shafie) seorang yang bermaruah, maka tunjukkan bukti dan jalankan siasatan dari aspek mana kebenaran dakwaan beliau itu. Siapakah yang sebenarnya sesat? Mungkin Umno atau mungkin PAS. Hanya siasatan saja yang mampu untuk menyatakan kebenarannya," kata Ahmad Yahya (gambar).

Menurutnya, Pemuda PAS Kedah amat kesal dengan dakwaan beliau ini kerana ia amat keterlaluan dan melampau.

Samada dengan sengaja atau pun tidak, tindakan beliau ini tidak boleh dimaafkan, katanya.

Menurut Ahmad, Shafie yang merupakan Pengerusi Umno Kedah juga sengaja mahu menimbulkan isu serta mencetuskan kekeruhan dalam PAS dan Umno.

"Ini adalah soal akidah. Ia boleh menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat kerana dakwaan sesat adalah sesuatu yang serius,"katanya.

Ahmad juga menasihatkan Shafie supaya menerima hakikat bahawa PAS bukan hanya sebuah parti politik, namun ia juga merupakan kerajaan kepada negeri Kedah bersama Pakatan Rakyat (PR) yang menggabungkan PKR dan DAP di negeri Kedah.

"Beliau juga sepatutnya akur ketokohan yang ada pada pemimpin PAS yang memerintah negeri yang dikuasai oleh PR di negeri ini,"tambahnya.

Sumber: Harakah Daily

No comments: