Kerajaan Negeri akan teliti cadangan pengusaha pasir
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri memberi jaminan kepada Jawatankuasa Bertindak Pengusaha-pengusaha Pasir Melayu Selangor (JBPPPMS) akan melihat secara serius cadangan berhubung isu pasir di Selangor.
Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri akan meneliti semua cadangan dan berjanji akan memberi maklum balas mengenainya dalam tempoh dua minggu lagi. “Satu sesi dialog semalam yang dihadiri Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin manakala KSSB diwakili Pengerusinya, Shukor Nagor, Ahli Lembaga Pengarah, Shuhaimi Shafie, Pengarah, Mohd Khairudin Othman dan Pengarah Eksekutif, Ir Ramli Majed bersama jawatankuasa itu dan satu memorandum telah diserahkan kepada MB.
“Dalam perjumpaan itu, Faekah memberi jaminan kepada JBPPPMS akan melihat secara serius isu itu,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, kedua-dua pihak juga sepakat bahawa isu pasir ini tidak perlu dipolitikkan sehingga mengelirukan rakyat dan mendatangkan kebimbangan di kalangan pelabur asing serta tempatan.
“Pertemuan ini diharapkan dapat menyelesaikan beberapa isu hangat sebelum ini yang mungkin diakibatkan oleh salah faham dan salah maklumat. Kerajaan Negeri dan KSSB berterima kasih kepada JBPPPMS atas cadangan dan kritikan.
Pada masa yang sama JBPPPMS menyatakan rasa penghargaan mereka kerana kesudian Pejabat Menteri Besar menerima mereka. “Kedua-dua pihak juga setuju untuk bekerja sama bagi memastikan perlombongan pasir di Selangor dijalankan secara betul dan adil supaya hasilnya dapat dimanfaatkan semua rakyat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment