Tuesday, July 20, 2010

Timbalan Presiden PAS minta ahlinya jangan ikut rentak media Umno

July 21, 2010

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa menasihatkan pemimpin-pemimpin pelbagai peringkat parti itu agar tidak “terikut-ikut dengan rentak media arus perdana” dikuasai Umno dalam isu kerjasama PAS-Umno.

Nasharudin menasihati ahli PAS jangan terpedaya dengan mainan media arus perdana dalam isu kerjasama PAS-Umno. – Gambar fail
Dalam kenyataan media hari ini berhubung isu kerjasama PAS-Umno yang muncul semula dua minggu lalu, Nasharudin berkata, media arus perdana akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan kesatuan dalaman PAS sendiri.

“Kebelakangan ini, isu kerjasama antara PAS dan Umno kembali dipaparkan oleh media-media arus perdana sehingga mengelirukan sebahagian ahli PAS dan masyarakat Malaysia umumnya.

“Saya selaku Timbalan Presiden PAS ingin menegaskan bahawa semua ahli dan pimpinan PAS supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana,” kata beliau yang pernah didakwa memihak idea kerajaan perpaduan antara PAS-Umno.

Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok telah menafikan dakwaan sedemikian.

Nasharudin berkata, PAS masih lagi berpegang dengan ketetapan yang telah dibuat pada muktamar-muktamar tahunan parti pada 2008 dan 2009.

Kedua-dua muktamar itu menghalang PAS daripada menerima idea kerajaan perpaduan dengan Umno.

“PAS akan terus memfokuskan kepada gerak kerja mendepani pilihan raya umum ke-13 untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

“Saya juga menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli agar dapat melipatgandakan usaha untuk memantapkan organisasi terutama di peringkat cawangan dan kawasan serta menambah keahlian baru PAS semaksimum mungkin,” katanya.

Kenyataan Nasharudin tengah hari ini mengulas syor pelbagai pihak agar Umno dan PAS harus membincangkan kemungkinan penyatuan kedua-dua parti.

Bagaimanapun PAS mengulangi pendirian tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Umno-BN buat masa sekarang, sebaliknya akan terus berada dalam Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke-13.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan boleh mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kapasiti kerjasama negeri dan pusat.

Nik Aziz bersetuju bertemu dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno tentang kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

“Kita, PAS akan bersama Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke-13... kita sudah berjanji macam itu. Tapi kerjasama politik Umno, kita tidak akan terlibat,” kata beliau.

Pada Sabtu lalu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau itu.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun kenyataan itu ditolak pemimpin tertinggi PAS dengan menyifatkannya sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”

Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.


Sumber: Malaysian Insider

No comments: