Friday, January 6, 2012

 
901: Definisi halatuju politik Malaysia
Tiga hari lagi, pada 9 Januari 2012,  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan perbicaraan ini akan menentukan sama ada ahli parlimen Permatang Pauh itu bersalah atau tidak dalam pertuduhan liwat yang dilemparkan terhadapnya.
azlanSeluruh negara telah memberikan tumpuan kepada tarikh ini kerana ia dilihat sebagai satu titik penting dalam pendefinisian hala tuju politik negara.

PKR di bawah pimpinan mantan timbalan perdana menteri itu merupakan “pengikat” kepada PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Musuh-musuh politik beliau percaya, jika Anwar terpenjara, maka mudahlah mereka untuk memecah belahkan Pakatan.

Sebab itu kita boleh melihat bagaimana isu penganti Anwar sebagai calon perdana menteri dari Pakatan ditimbulkan dalam sehari dua ini walaupun Pakatan belum tentu lagi memenangi pilihan raya umum  akan datang.

Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memecah belahkan pakatan politik pembangkang itu. Jika parti-parti pembangkang terus bersatu, ianya mampu untuk menggugat kekuasaan Barisan Nasional (BN) – dahulu Perikatan yang telah memerintah Negara semenjak 1957.

Veteran politik Umno, Tengku Razaleigh Hamzah – juga ahli parlimen Gua Musang sendiri percaya keputusan mahkamah pada Isnin ini akan menyebabkan Anwar terpenjara. Menurut mantan menteri kewangan itu, jika Anwar terus berada di luar, Umno akan hancur.   

Sejarah 'Black 14' berulang?

PKR telah melakukan penyusunan massa untuk menunjukkan solidariti kepada Ketua Umum mereka. Dengan bantuan rakan-rakan Pakatan dari PAS dan DAP, mereka mensasarkan 100,000 rakyat akan bersama pada tarikh keramat itu.

anwar ibrahim in seremban 5Berdasarkan rekod-rekod lepas, jika mobilasasi rakyat dilakukan dengan bantuan PAS, tidak mustahil untuk mencapai angka sasaran atau sekurang-kurangnya menghampiri angka sasaran.

Dalam masa yang sama, roadshow Anwar mengelilingi seluruh negara dari Selatan ke Utara mendapat sambutan besar.

Ini mengingatkan kembali sejarah tahun 1998, sewaktu Anwar dipecat oleh Tun Dr Mahathir dari kabinet dan Umno sekaligus.

Selepas beberapa hari menjadi “rakyat biasa”, Anwar memulakan roadshow ke seluruh negara. Hasilnya, lebih 100,000 rakyat membanjiri Dataran Merdeka untuk menyatakan sokongan kepada beliau dan mendesak Dr. Mahathir meletakkan jawatan pada 20 September 1998.

Jika Anwar pada ketika itu “terlatih” dengan sedikit “politik kiri” sudah pasti beliau mampu menjadikan Dataran Merdeka ibarat “Dataran Tahrir” di Mesir awal 2011 - sekaligus menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima.  

Hari ini roadshow Anwar ke seluruh negara masih mendapat sambutan. Tidak ada masalah untuk rakyat membanjiri Kuala Lumpur pada 9 Januari ini jika kita lihat dari pengalaman beberapa demonstrasi selepas PRU 12 seperti isu PPSMI, Anti ISA dan terbaru BERSIH 2.0.
Promosi percuma himpunan 901

Secara sedar atau tidak, pemerintah melalui media arus perdana memberikan promosi percuma kepada perhimpunan 'Bebaskan Anwar' 901. Akhbar-akhbar dan televisyen memberikan liputan mengenai perhimpunan tersebut hampir setiap hari.

Amaran, ugutan dan tohmahan yang dilakukan melalui media arus perdana sampai kepada majoriti rakyat terutamanya – kawasan pendalaman. Secara tidak langsung, rakyat di seluruh negara tahu tentang akan berlakunya satu perhimpunan rakyat di Kuala Lumpur.

bersih rally july 9 crowd face-off with police 1Rapat dan ceramah umum dianjur oleh Pakatan tidak mampu untuk sampai ke seluruh negara. Apatah lagi rakyat di kawasan pendalaman masih ramai yang belum mempunyai kemudahan internet.

Dari satu sisi lain, Umno dan BN tahu, amaran, ugutan dan tangkapan tidak akan mampu menghalang rakyat untuk membanjiri Kuala Lumpur sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan BERSIH 2.0 tahun lalu.

Dalam perhimpunan BERSIH 2.0, walaupun seluruh pintu masuk “dikunci” dengan sekatan jalan raya dan mobilisasi anggota polis yang besar, ia tidak dapat menghalang rakyat untuk berkumpul.

Oleh kerana itu, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah menukar nada mereka menjadi lebih lunak. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, perhimpunan 'Bebas Anwar 901' dibenarkan, akan tetapi haruslah ditempat lain dan bukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta.
NONEPengalaman ini berlaku sewaktu perhimpunan BERSIH 2.0 – Najib minta penganjur perhimpunan tersebut untuk berhimpun di stadium.

Apabila penganjur bersetuju untuk memilih Stadium Merdeka untuk berhimpun, pemerintah belot dengan perjanjian.

Mungkin penganjur perhimpunan pada 9 Januari tidak termasuk ke dalam “lubang biawak” sekali lagi.  

Signifikan 901

Serangan demi serangan yang dilakukan oleh musuh politik Anwar yang mengatakan ketua pembangkang itu menjadikan agenda peribadinya sebagai isu nasional.

Hasan ali pcIni turut dinyatakan oleh Exco Selangor, Datuk Hasan Ali yang turut menasihatkan rakyat agar tidak hadir dalam perhimpunan pada 901.

Sebenarnya, BN juga tahu, keputusan mahkamah pada 9 Januari ini bukanlah isu peribadi Anwar semata-mata.

Ia adalah simbol kepada runtuhnya kebebasan sistem kehakiman negara yang telah berlaku semenjak kes pemecatan Tun Salleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara oleh Dr Mahathir.

Isu peribadi tidak akan mampu menghimpunkan ribuan rakyat untuk menyatakan solidariti. Anwar adalah tokoh yang mampu menyatukan rakyat dari segenap lapisan masyarakat untuk melawan ketidakadilan dalam negara.

Sebab itu kita boleh lihat, walaupun Anwar telah ditinggalkan oleh ramai bekas penyokongnya seperti Chandra Muzaffar, Ezam Mohd Noor, S Gobalakrishnan, N Nalakaruppan, Salehuddin Hashim, Lokman Noor Adam dan ramai lagi – beliau masih lagi mampu bertahan.

rpk utusan interview 010112Tidak dapat dinafikan terdapat pengikut-pengikut setia Anwar yang digelar “Anwarista”. Mereka ini seperti juga peminat-peminat setia kepada penyanyi atau pelakon popular yang akan tetap setia kepada idola mereka. Mereka ini hidup dan mati akan bersama Anwar.

Terdapat juga yang bersama Anwar kerana mengharapkan imbuhan dan ganjaran. Terbayang jawatan yang bakal dilantik atau kontrak bakal diterima jika Anwar menjadi PM. Golongan jenis ini boleh dibeli apabila kena “harganya”.

Akan tetapi, majoriti berada di belakang Anwar pada ketika ini adalah golongan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan cuma “menggunakan” pengaruh Anwar untuk melawan segala ketidakadilan dan kezaliman dalam negara pada hari ini.

Mereka terus berada bersama Anwar kerana “api” perjuangan yang dibawanya. Golongan ini tidak mampu dibeli kerana mereka jelas mengapa mereka bersama Anwar.

NONEGolongan ini akan berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini bukan dengan niat untuk menjadi calon pilihanraya dalam PRU akan datang atau mengharapkan dilantik menjadi ahli majlis jika PKR menang.
Mereka berada di mahkamah untuk menunjukkan solidariti mereka kepada seorang pemimpin yang membawa api perjuangan untuk melawan ketidakadilan. BN tahu tentang ini dan sebab itu mereka takut dengan mimpi ngeri yang bakal berlaku pada 901 ini.

Seperti apa yang dikatakan oleh Ku Li, jika Anwar tidak dipenjarakan, Umno akan hancur. Jika Anwar dipenjarakan, simpati rakyat terhadap PKR dan PR akan semakin meningkat.

BN kini tersepit dalam keadaan “di kiri ada duri, di kanan ada racun, di depan ada lubang dan di bekalang ada gaung”. Mereka sudah di “check mate”. Apa sahaja keputusan pada 9 Januari nanti, tidak akan membantu memulihkan imej BN.




Amin Iskandar

No comments: