Wednesday, January 4, 2012

Umno Dalang Sabotaj Kutipan Sampah di Selangor?

Wednesday, 04 January 2012

Oleh Lizawati Madfa

SHAH ALAM, 4 JANUARI

Tindakan segelintir kontraktor yang menamatkan perkhidmatan kutipan sampah di Selangor bagi menyusahkan hidup penduduk dan memberi imej buruk kepada kerajaan negeri disyaki didalangi oleh Umno Selangor.

Menurut Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafie tuduhan Menteri Pertanian, Perikanan dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar bahawa kerajaan negeri tidak cekap mengurus kutipan sampah dibuat sebaik sahaja segelintir kontraktor memberhentikan kutipan secara mengejut.

Kontraktor tersebut bertindak memberhentikan perkhimatan dua minggu lebih awal daripada tarikh akhir kontrak mereka mengakibatkan longgokan sampah di kediaman.

“Terdapat kontraktor yang memberhentikan perkhidmatan kutipan sampah, terutama sampah domestik di beberapa kawasan terpilih.

“Kemudian diadakan aduan sepertimana yang tersiar dalam media beberapa hari yang lepas,” jelas Shuhaimi.

Tambah Shuhaimi, Umno Selangor mengarahkan sebilangan kontraktor yang rapat dengan mereka supaya tidak mengutip sampah di kawasan kediaman. Kemudian, aduan diadakan oleh penduduk untuk menampakan kerajaan negeri tidak memberi perkhidmatan kutipan sampah yang baik.

Bagi Adun Hulu Kelang, Saari Sungib, tindakan sabotaj ini menunjukkan Umno terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencalar imej kerajaan negeri.

“Mereka sengaja tidak membuang sampah pada hari kutipan sampah dan kemudian membuat aduan kononnya sampah tidak dikutip.

“Dan ini adalah tindakan tidak waras memandangkan memberi kesan menyusahkan diri sendiri,” beritahu Saari kepada wartawan.

Tindakan kerajaan Negeri yang menamatkan perkhidmatan Alam Flora Sdn Bhd dilihat satu keputusan berani dan bijak demi menjimatkan wang negeri sebanyak RM20 juta setahun di samping dapat memberi lebih peruntukan kepada PBT untuk meningkatkan fasiliti dan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

“Terma terbaru, kontraktor harus memperbaharui kontrak pembersihan sampah setiap tahun. Maka, jika kerja mereka tidak memuaskan rakyat berhak membuat aduan dan mereka menghadapi kemungkinan kontrak mereka di tamatkan,” terang Jenice Lee pula berkenaan syarat terbaru dikenakan kerajaan negeri.

Selangorkini

No comments: