Tuesday, January 3, 2012

MBSA Tubuh Unit Khas Pantau Kontraktor Sampah

Tuesday, 03 January 2012 | Ruangan: Berita
Oleh : Afeeqa Afeera
SHAH ALAM, 3 JANUARI : Bagi memastikan pengurusan sisa pepejal diurus dengan baik, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak menubuhkan Unit Pengurusan Sisa Pepejal di bawah Jabatan Perkhidmatan Bandar untuk memantau 71 kontraktor kutipan sampah yang dilantik.
Perkara itu disahkan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam satu sidang media di Wisma MBSA, di sini dengan menjelaskan kesemua kontraktor yang dilantik itu akan melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah di seluruh kawasan MBSA bermula 1 Januari sehingga 29 Februari depan.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh pihak MBSA kepada kontraktor setelah menerima arahan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 29 Oktober lepas.
“Pada 31 Disember, kita (MBSA) telah memanggil semula 71 kontraktor yang berkhidmat di kawasan MBSA dan 60 kontraktor hadir. Kita telah maklumkan kepada mereka tentang keputusan kerajaan negeri untuk menyambung kontrak mereka selama dua bulan lagi dan menjelaskan perkhidmatan kontrak akan dipanjangkan kepada 3+2 tahun lagi jika layak,” jelasnya.
Mohd Jaafar berkata, 71 kontraktor kutipan sampah yang dilantik itu terdiri daripada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), kontraktor sedia ada (26) manakala selebihnya adalah kontraktor tambahan.
Beliau berkata, pihak MBSA berharap masalah kutipan sampah ini akan dapat diselesaikan dan di atasi segera selain turut menyeru orang ramai khususnya warga Shah Alam untuk membuat laporan sekiranya berlaku masalah kutipan sampah di kawasan mereka.
“Saya tidak nafikan yang MBSA masih lagi menerima laporan daripada penduduk, misalnya di kawasan pasar malam di Seksyen 2 dan 28 di mana sampah tidak disapu dan anjing berkeliaran. Kita akui dan terima perkara ini kerana ia adalah melibatkan pembersihan awam. Kita ada beberapa unit yang dilantik untuk memantau perkara ini,” jelasnya.
Tambahnya, sekiranya terdapat sebarang aduan berhubung kutipan sisa pepejal, penduduk boleh menghubungi Unit Sisa Pepejal, Jabatan Perkhidmatan Bandar, MBSA di talian 03-55105133 sambungan 371 atau 570.
Pihak MBSA juga menyediakan talian 24 jam kepada orang awam yang ingin membuat aduan dan melaporkan masalah setempat seperti banjir, tanah runtuh dan pembuangan sampah haram dan sebagainya dengan menghubungi Bilik Gerakan Bencana MBSA di talian terus 03-55105811.
Dalam sidang media sama, Mohd Jaafar turut menjelaskan pihak MBSA turut berhadapan dengan masalah dan rintangan semasa melakukan kerja-kerja pengutipan sampah di kawasan Seksyen 2, Seksyen 7 dan Seksyen 17.
Bagaimanapun, jelasnya tiga laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini.

No comments: