Thursday, January 5, 2012

KENYATAAN MEDIA BIRO PENERANGAN, PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SELANGOR

KENYATAAN MEDIA

BIRO PENERANGAN, PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SELANGOR

5 JANUARI 2012

KEADILAN Selangor sangat mengalu-alukan kenyataan positif yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hishamuddin Hussein yang sedia mempertimbangkan untuk membenarkan perhimpunan aman pada 9 Januari di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara dalam kenyataannya juga membayangkan kesediaan untuk berbincang dengan pihak penganjur. Kenyataan oleh kedua mereka yang berkuasa ini, di lihat sebagai satu cara bagi membolehkan kelancaran perhimpunan yang hanya bertujuan menyatakan sokongan moral secara aman kepada Dato Sri Anwar Ibrahim.

KEADILAN Selangor dengan ini menyeru semua anggota parti untuk berhimpun dengan cara seaman yang boleh di Mahkamah Jalan Duta bermula dari 8 Januari depan. Komintmen KEADILAN Selangor ini diterjemahkan dengan cara mengerahkan sekurang kurangnya, 20000 anggota parti dari Selangor duduk secara aman sejak awal pagi lagi di kawasan Mahkamah Jalan Duta.

Ditegaskan, perhimpunan rakyat pada 9 Januari di ini bukanlah di atas niat untuk mencetus huru-hara ataupun revolusi sebagaimana yang diputarbelitkan oleh beberapa pihak termasuk PERKASA.

Sebagai rakyat yang faham pada Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang Undang sudah tentu keamanan merupakan satu aset penting yang wajib dipertahankan oleh semua pihak termasuklah Polis, anggota parti dan orang awam. Hak untuk berhimpun secara aman adalah dijamin oleh undang undang dan Perlembagaan Negara ini tidak harus disempitkan oleh gesaan PERKASA dan mereka yang tidak matang.

Perhimpunan 901 ini merupakan satu manifestasi sokongan rakyat kepada idealisma perjuangan yang dibawa oleh Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh dunia yang telah banyak berjasa dalam melaksanakan reformasi atas rasa denyut nadi kesusahan rakyat terbanyak.

Satu perkara yang sering dilupakan oleh pemfitnah beliau adalah merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang mewakili puluhan Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang dipilih rakyat. Harus di sedari, semestinya sokongan padu rakyat yang menyokongnya pada 9 Januari bukan satu perkara yang wajar dihalang secara paksaan.

KEADILAN Selangor berasakan sebagai sebuah negara yang rakyatnya menghormati demokrasi berparlimen, sewajarnnya anggota parti turun dan menyatakan sokongan moral kepada Dato Seri Anwar Ibrahim yang jelas di fitnah secara berterusan selama hampir 15 tahun.

Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998 menyatakan; Gerakan Reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan' mestilah terus dipertahan dan diperjuangkan.

Kesediaan mendengar oleh Ketua Polis Negara dan nada lembut Menteri Dalam Negeri sudah lama di tunggu tunggu oleh rakyat Malaysia.

Besar harapan rakyat negara ini jika kedua dua mereka bijak untuk menggunakan secebis keadilan yang tersisa ini bagi mencuci arang yang sekian lama terpalit di muka agensi keselamatan.

Kepada anggota parti, inilah saatnya untuk menunjukkan disiplain tinggi anggota Parti Keadilan Rakyat.


SHUHAIMI HJ SHAFIEI
KETUA PENERANGAN KEADILAN SELANGOR /
ADUN SRI MUDA
 

No comments: