KENYATAAN PENERANGAN
KEADILAN SELANGOR
SURAT TERBUKA KEPADA YB.
DATO’ DR. HASAN MOHD. ALI
Penerangan KEADILAN Selangor
terpanggil untuk memberikan sedikit kenyataan terhadap YBhg. Dato’ Dr. Hasan Mohd.
Ali dalam beberapa liputan media kebelakangan ini. Kenyataan ini pastinya adalah
pendirian yang dilahirkan setelah sekian lamanya tersimpan hingga “senak terasa
di perut!. Hendak di buang ‘angin bimbang berbau busuk, hendak di tahan sakit
sudah melata kedada’.
Saya percaya Dato’ adalah seorang
yang istimewa. Saya sendiri, malah ramai rakan-rakan saya bersetuju bahawa
Dato’ mempunyai kelebihan dan perwatakan yang menarik, petah dan tegas. Namun
saya juga mempercayai bahawa Dato’, dengan sesungguhnya tanpa ragu ragu,
mempercayai bahawa Dato’ sendiri terlebih-lebih istimewa. Perkara ini dapat
disimpulkan dalam pelbagai tindakan, ulasan dan gaya Dato’ sehingga kini,
terutamanya apabila melihat isu pertelagahan ‘dalam kain’ antara pimpinan Parti
Islam SeMalaysia (“PAS”) di Selangor.
Saya tidak begitu ‘berani’
mempersoalkan pentadbiran dalaman sahabat seperjuangan PAS dalam menangani isu
ini kerana ‘amat hormatkan saudra tua’, namun apabila saya terlihat temubual
Dato’ agar adik-adik siswa dan siswi menjauhkan diri daripada menghadiri hari ‘penultimate’
Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penerangan KEADILAN Selangor tidak terdaya lagi
menahan jari untuk menulis kenyataan ini dengan menyatakan ‘perasaan menyampah
sangat’ dengan tindakan Dato’.
Apakah siswa dan siswi akan
secara otomatisnya gagal dan mencapai CGPA yang rendah apabila memperjuangkan
kebenaran dan keadilan? Apakah perjuangan hanya digalas oleh mereka yang
berintelek dan berijazah daripada Universiti Pittsburgh?
Secara tidak langsungnya Dato’
telah menghina mereka yang turut merasakan kezaliman rejim UMNO dan BN dan
mereka yang dianiaya tanpa pembelaan sewajarnya. Umum mengetahui bahawa di
Malaysia ini ‘justice is only available to those who could afford it’ dan sekiranya
manusia Anwar Ibrahim ini dapat menyatukan rakyat untuk menyatakan tidak kepada
kes fitnah 2 tanpa bukti kukuh, dan membelakangi undang-undang Syari’ah kepada kedudukan ‘second-tier’,
apakah salahnya mereka hadir untuk menyatakan dan menzahirkan sokongan mereka?
Sekurang kurangnya sebagai sokongan moral kepada Anwar Ibrahim: simbol kepada
mangsa fitnah berterusan!
Pencapaian akademik tidak
selama-lamanya merupakan pre-requisite kejayaan kerana ‘otak tanpa ruh Islam’
akan menyebabkan keruntuhan akhlak para genius Melayu sepertimana berlaku sekarang
di United Kingdom dan Eropah.
KEADILAN Selangor hairan, Dato’ seolah-olah
terperangkap dengan hujah ‘counter-intelligence’ UMNO bahawa isu ini hanyalah
isu peribadi. Sebenarnya Dato’, isu ini adalah isu nasional. Buktinya adalah
perjuangan beliau dan rakan-rakan semuanya berlandaskan kepentingan rakyat.
Polisi Pakatan Rakyat dimodelkan atas
premis primer ini dan kini Rakyat dapat merasakan hasil titik peluh mereka
sendiri walau dinafikan oleh UMNO selama ini.
Sedangkan UMNO dan PDRM sendiri
menyatakan bahawa ini melibatkan keselamatan persekutuan! Bagaimana Dato’ boleh
mengatakan ia peribadi?
Parti Keadilan Rakyat telah
menunjukkan solidaritinya bersama PAS dan Pakatan Rakyat apabila mengheret ahli
Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan menyingkirkannya walaupun
dalam keadaan genting. Namun tindakan Dato’ Cuma menambahkan derita dengan
tidak menggalakkan secara terbuka (melalui RTM dan TV3 juga) agar tidak hadir
ke Mahkamah. Apakah Dato’ sebegitu buta hati terhadap masalah Dato’ Seri Anwar
Ibrahim (“DSAI”)? Apakah sebegitu gelap dan jijik pandangan Dato’ terhadap
DSAI? Bukankah isu DSAI itu sendiri membantu Dato’ mendapat kemenangan dalam
pilihanraya yang akhirnya menjayakan Dato’ menduduki kerusi empuk di Bangunan
SSAAS Shah Alam? Inilah padahnya jika ‘terlalu kerap terlewat hadir di taklimat
dan mesyuarat yang diadakan’. Saya percaya Dato’ tertinggal semua taklimat
penting hingga Dato’ tenggelam punca.
Tindakan Dato’ seolah-olah
menyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menuduh zina kepada mana-mana Rakyat dan
kita harus mendiamkan diri. Tindakan ini adalah tindakan pengecut, pentingkan
diri sendiri dan kebas terhadap penderitaan mereka yang difitnah.
Dato’ juga sebegitu pasif dan
naïf dalam membuat kenyataan. Dato’ sehingga hari ini gagal menjawab Harakah
berkenaan dakwaan Dato’ bahawa pertemuan Dato’ bersama Tuan Guru Nik Aziz di
Kelantan adalah berkenaan permohonan maaf. Apabila kes diumumkan tutup, Dato’
tanpa segan silu menggunakan media UMNO lagi untuk membuat serangan
selanjutnya. Apakah sebegitu dendam Dato’ sehingga sanggup membakar rumah
sendiri? KEADILAN Selangor yakin Dato’ sudah ‘terkena sesuatu’.
YB. Dato’ Hasan, sama ada setuju
atau tidak Dato’ kini merupakan liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Dato’ mungkin
merasakan Dato’ berjuang berlandaskan jalan Allah SWT namun saya ingin Dato’
bermuhasabah diri sendiri dan bertanya sama ada Dato’ benar-benar dipihak yang
benar atau benar-benar keliru. Kedua-duanya
lain dan melihat tindakan Dato’ yang terkini, seolah-oleh Dato’ menyatakan
bahawa Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tersilap dan
tersasar. Apakah Dato’ sebegitu fasih, qatam dalam agama sehingga sanggup
menyatakan sedemikian?
Sejak bila Islam dan Melayu itu
satu Dato’? Islam tidak memerlukan Melayu malah Melayu dan manusia amnya yang
memerlukan Islam. Menyatukan keduanya adalah sesuatu yang jahil melihatkan
kepada kes perkahwinan jantina sejenis bersongkok dan keruntuhan moral anak
bangsa diluar Negara kini.
Saya menyeru agar Dato’ jangan
terlalu mengikut perasaan. Masa Dato’ untuk menjadi Menteri Besar masih ada.
Jangan kita merajuk sampai terlupa kita sebenarnya membakar rumah kita sendiri.
Masih ada ruang ‘untuk berjiwa besar’ dengan menoleh sejenak ke belakang.
Apakah langkah Dato’ sederap dengan pimpinan, atau ia semakin sumbang? Dato’
lebih mengerti dengan maksud ‘kura kura dalam perahu’.
Saya memohon maaf sekiranya
tulisan saya menyakiti hati dan perasaan Dato’. Sesungguhnya tulisan, ucapan
dan tindakan Dato’ telah melukakan hati saya dan ramai teman seperjuangan yang
lain termasuk Dato’ Sri Anwar dan keluarganya. Dalam keadaan mereka
memerlukan, sekurang-kurangnya janganlah kita merendahkan moral dan menjatuhkan
lagi semangat mereka yang mungkin perlu dipaksa berpisah lagi sekali dan
berhubung hanya melalui jeriji besi.
Sila bayangkan sekiranya perkara
yang sama berlaku kepada Dato’.
Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor /
ADUN Sri Muda
No comments:
Post a Comment