Anwar : Keputusan 9 Jan Tidak Jejas Peluang Jadi PM
Wednesday, 04 January 2012
Oleh : Mohd Hafiizh Mokhtar
PETALING JAYA, 04 JANUARI
: Soal siapa yang akan menjadi Perdana Menteri di dalam kerajaan
Pakatan Rakyat sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang dari
bertanding tidak timbul kerana muafakat yang kukuh di antara parti
komponen.
Sebaliknya, Anwar berkata, jika PR dan
rakyat tetap mahunya sebagai Perdana Menteri, soal kelayakannya
bertanding tidak relevan kerana dia masih boleh dijadikan Perdana
Menteri.
Anwar menjelaskan bahawa jika berlaku
senario di mana PR menubuhkan kerajaan pusat selepas pilihanraya umum
ke-13, seorang pemimpin dari PR boleh menjadi Perdana Menteri sementara
dan mengembalikan kelayakan bertanding kepada beliau.
Beliau berkata ini berlaku di dalam kes
negara Turki, di mana Perdana Menteri sekarang, Recep Tayyib Erdogan,
dihalang daripada bertanding semasa partinya AKP (Parti Keadilan dan
Pembangunan) memenangi pilihanraya umum pada 2002.
“Siapa yang pegang sementara itu bukan
perkara pokok. Sepertimana beberapa pemimpin PR kata kalau kita pilih
Anwar dalam atau luar penjara bukan soalnya. Rakyat sokong maka dengan
izin Allah ia akan berlaku.”
Beliau berkata demikian di dalam temubual Fokus Berita terbitan TVSelangor.
Anwar tidak akan layak bertanding pilihanraya sekiranya mahkamah menjatuhi hukuman di dalam kes liwatnya pada 9 Januari .
Seorang hilang kelayakan bertanding
dalam pilihanraya selama satu penggal sekiranya dia dihukum tidak kurang
dari setahun penjara atau denda dua ribu ringgit.
Tambah Anwar, soal siapa calon Perdana
Menteri Pakatan Rakyat bukan perkara perlu dirunsingkan kerana Pakatan
Rakyat membawa dasar bersama yang jelas.
“Hubungan saya dengan Tuan Guru Hadi dan
Tok Guru Nik Aziz terlalu baik. Kami saling mempercayai, saling memohon
nasihat dan pendapat.
“Saya tidak fikir ada masalah. Kalau ada
muafakat esok siapa yang harus jadi pemimpin sementara dari PKR atau
PAS, DAP tidak menawarkan mana-mana calon, saya tidak fikir itu satu
masalah.”
PR dijangka menurunkan lebih ramai muka muda dan profesional kali ini berbanding pilihanraya umum lalu.
Bahkan sudah ada tokoh individu
menawarkan diri dan badan-badan bukan kerajaan turut menyarankan calon
tersendiri untuk membantu Pakatan Rakyat.
“Kes yang saya hadapi ini sudah hampir
tiga tahun. Sejak saya didakwa kita sudah jangka muslihat untuk
melemahkan Pakatan Rakyat.
Maka oleh yang demikian kita memulakan
beberapa langkah dan persiapan menjangkakan (muslihat) ini dan
Alhamdulillah kita sudah hampir selesai.
Anwar yakin pemenjaraan beliau di tangan pemerintah Barisan Nasional tidak akan mengugat kerjasama PAS-DAP.
“Apakah ia akan jadi longgar andai Anwar
dipenjara? Saya tidak percaya kerana hal ini (pilihanraya, dasar
bersama) telah ditandatangani oleh pemimpin ketiga-tiga parti.”
Anwar berkata, harapan Pakatan Rakyat
menakluki Putrajaya cerah kerana mereka telah membuktikan yang mereka
mampu mentadbir dengan baik di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan
Selangor.
Tambahnya rundingan tentang strategi pilihanraya dan pembahagian kerusi antara PAS, DAP dan PKR sudah hampir selesai.
Bahkan Pakatan Rakyat kini lebih
bersedia untuk mengancam kedudukan pemimpin-pemimpin kanan Barisan
Nasional walau tanpa beliau selaku tonggak dalam PRU-13 nanti.
Jentera ini dikendalikan pemimpin ketiga
parti oleh Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak), Anthony Loke (Ahli
Parlimen Rasah) dan Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai).
Urusetia dikendalikan oleh wakil
ketiga-tiga parti. Walau ada sedikit gambaran seolah-olah saya memainkan
peranan yang besar, sebenarnya ia adalah rangkaian pemimpin bekerja
sebagai satu pasukan.
No comments:
Post a Comment