Loading...

Wednesday, January 4, 2012

Noh diminta hentikan sabotaj kutipan sampah | Print |
Muhammad Faizal   
SHAH ALAM, 4 Jan: PAS meminta agar Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menghentikan segala sabotaj jika beliau ada rancangkan untuk mengganggu kutipan sampah di Selangor.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib (gambar) dalam satu sidang medianya di sini.
Turut serta dalam sidang media itu adalah Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

"Kita tahu isu sampah adalah rancangan sabotaj di mana Noh dan Umno Selangor didakwa terlibat, isu tersebut adalah sengaja ditimbulkan apabila kontrak Alam Flora telah ditamatkan oleh kerajaan negeri," sambung beliau lagi.

Isu kutipan sampah menjadi hangat dalam media Umno sejak kebelakangan ini.

Ia bermula apabila kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk menamatkan kontrak pengutipan sampah dari Alam Flora selepas tidak berpuashati dengan kerjanya.

Buat sementara ini, anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Hebat Abadi Sdn Bhd telah diberikan amanah untuk menjalankan kerja-kerja ini di Shah Alam sehingga kontraktor yang kekal diperolehi.

Kerajaan Selangor memutuskan, kontraktor ini perlu diberikan kepada penender terbaik melalui tender terbuka untuk mempastikan kerja terbaik yang dibuat nanti bukannya orang kedua tetapi penerima kontrak berkenaan.

Pada hari pertama dan kedua kerja ini berjalan, iaitu pada 1 dan 2 Januari, Pengurus Besar Hebat Abadi, Ramli Mohd Tahir telah membuat tiga laporan polis ekoran kerja-kerja pemungutan sampah mereka diganggu.
(Salah satu salinan laporan polis yang dibuat oleh Ramli)
Pada 1 Januari, Ramli membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11 bahawa kompaktor (lori pengangkut sampah) mereka telah ditahan dari memasuki jalan Seksyen 17/23 dekat sini.

Pada 2 Januari, Ramli membuat dua laporan polis lagi berkaitan perkara yang sama.

Dalam laporan itu, Ramli melaporkan, pada jam 11 pagi, kompaktor milik Cemerlang Endas Sdn Bhd ditahan dari memungut sampah di Seksyen 9.

Dalam satu lagi laporan polis, beliau berkata, pemilik syarikat Aminora Enterprise (kontraktor kepada Hebat Abadi) menerima panggilan telefon yang mengugut supaya mereka tidak memasuki Seksyen 7 untuk memungut sampah di situ.

"Saya bimbang akan ancaman ini kepada Kumpulan Darul Ehsan dan kontraktor kami memandangkan kami hanya syarikat yang diamanahkan bagi menyelesaikan masalah kutipan di kawasan ini," kata Ramli dalam laporan polisnya.

Salinan semua laporan polis ini diserahkan kepada Harakahdaily oleh KDEB.

No comments: