Saturday, March 7, 2009

Kerajaan Negeri Pulihkan Projek Terbengkalai


Sinar Harian 06.03.2009 - SHAH ALAM - Sebanyak 144 projek terbengkalai dianggarkan bernilai sekitar RM7 hingga RM9 bilion telah dikenal pasti di seluruh negeri Selangor sehingga 31 Disember 2008 yang melibatkan 45,449 pembeli.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Task Force Projek Terbengkalai ditubuhkan untuk membuat penilaian semula sama ada projek terbengkalai itu berdaya maju dan dapat dipulihkan.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib dengan kerjasama tiga konsultan iaitu Rimbun Capital Sdn Bhd, RSS-PMC Sdn Bhd dan Kumpulan Muhandis Sdn Bhd.

“Setakat ini 80 projek telah disenaraikan ‘Task Force’ dalam proses kajian pihak konsultan dan berdasarkan kajian konsultan, terdapat 46 projek yang dilihat berpotensi untuk dipulihkan.

“Pada 2008, sebanyak lapan projek telah dipulihkan iaitu projek di daerah Hulu Langat, Shah Alam, Gombak, Puchong, Klang dan Hulu Selangor. Kelapan-lapan projek tersebut telah 100 peratus siap dengan jumlah unit sebanyak 2,710, “ katanya dalam ucapan di majlis Taklimat Prestasi ‘Task Force’ Projek-Projek Perumahan Terbengkalai dan Majlis Menandatangani MOU Antara Pemaju Asal Dan Pemaju Penyelamat di sini semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Mazalan Mohd Noor, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib; ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei; ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.

Bagi 2009, terdapat empat projek terbengkalai akan dipulihkan iaitu Projek Perumahan Desa Kerayong Indah di Kuala Selangor, Projek Platinum Damansara dan Projek Cadangan Pembinaan Pusat Perniagaan Perniagaan & Pangsapuri Perkhidmatan di daerah Petaling serta Projek Perumahan di Gombak.

“Ada empat lagi projek yang sedang dalam perhatian 'Task Force’ kita dan mungkin jumlah bilangan unit yang akan dipulihkan adalah hampir kepada 7,000 hingga 8,000 unit. Kita bercadang untuk memulihkan dan menyiapkannya dalam tahun ini.

“Selepas ini, terdapat banyak lagi projek-projek yang akan diambil alih kontraktor-kontraktor baru. Saya rasa inilah cadangan kita supaya mereka yang berkemampuan sama-sama memberikan satu penyelesaian di mana kontraktor lama dapat menyelesaikan bebanan hutang dan kontraktor baru dapat keuntungan dari projek ini.

“Apa yang penting, kepada pembeli yang terpaksa bayar ansuran, tetapi belum tentu rumah mereka disiapkan dan kita berharap ketiga pihak ini dapat sesuatu yang bermanfaat dari apa yang dilakukan ini,” katanya.

Iskandar berkata, sebanyak lima projek perumahan terbengkalai berjumlah 694 unit yang telah diambil alih untuk dimajukan semula di negeri ini di mana pemaju asal dan pemaju penyelamat (baru) telah menandatangani perjanjian persefahaman semalam.

Ia melibatkan projek perumahan di daerah Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang dan Ampang.

Pembangunan semula projek perumahan terbengkalai ini adalah salah satu daripada lima ‘Rangsangan Baru Pakej Ekonomi Negeri Selangor yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kelmarin.

Editor : PAnet juga mendapat maklumat bahawa kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM240j kepada Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) bagi meneruskan semula pembangunan terbengkalai di Alam Perdana, Bandar Puncak Alam.

No comments: