Loading...

Wednesday, August 25, 2010

Hormati Dasar PR, DAP minta PAS tidak bangkit hudud, negara Islam

August 24, 2010
KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Penasihat DAP Lim Kit Siang mengulangi pendirian parti itu menolak idea mahu melaksanakan undang-undang hudud dan negara Islam atas alasan ia tidak pernah disentuh dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat (PR).

“Ia sudah jelas bahawa pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam bukan dasar PR.

“Jadi tidak perlu PAS untuk bangkitkan perkara ini lagi kerana ia bukan agenda kita (PR),” kata Lim ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Lim juga mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata kedua-dua aspek tersebut langsung tidak disebutkan dalam Dasar Bersama PR yang diumumkan Disember 2009.

“Itu sebab kedua-dua aspek itu tidak pernah dibangkitkan dalam Dasar Bersama PR.

“Oleh itu PAS perlu faham, itu sahaja saya boleh cakap. Yang lain saya tidak mahu komen,” kata beliau yang dua hari lalu mempertahankan pendirian Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh.

Dasar itu diputuskan pada konvensyen sulung PR, yang dibentuk April 2008, akhir tahun lalu.

Di bawah Dasar Bersama itu, PR membuat pendirian akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.

Semalam PAS meminta DAP memahami dasar perjuangan PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, sekiranya menawan kerajaan persekutuan, bagi mengatasi masalah jenayah dan sosial membabitkan orang Islam.

Parti itu juga menegaskan, ia tidak akan kompromi sama sekali dalam soal menegakkan hukum hudud dan cita-cita menjadikan Malaysia negara Islam.

Minggu lalu, Karpal mengumumkan bahawa beliau kekal menentang undang-undang sedemikian jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan.

Kata Karpal, undang-undang sedemikian “tidak berperlembagaan” dan setiap orang perlu menghormati perlembagaan.

DAP mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadinya.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz, yang dibuat Khamis lalu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Sumber: Malaysian Insider

No comments: