Thursday, August 19, 2010

Mahkamah Persekutuan tangguh permohonan Anwar

Thursday, 19 August 2010 | Ruangan: Berita

PUTRAJAYA, 19 Ogos – Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya mengenai rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan (COA) dan Mahkamah Tinggi yang telah menolak permohonan beliau
untuk memberikannya kenyataan saksi termasuk saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria menangguhkan keputusan setelah mendengar hujah-hujah peguam perayu Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili responden, Peguam Negara.
Pada proseding hari ini, Ariffin mengetuai tiga panel hakim dengan dua yang lain Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong dan Datuk Seri Md Raus Shariff.
Karpal dalam hujahnya berkata pihak pembelaan sepatutnya diberikan akses kepada kenyataan berhemah Mohd Saiful Bukhari mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah kerana beliau memberitahu polis bahawa perlakuan seks adalah dipersetujui bersama dan bercanggah dengan keterangannya dalam Mahkamah Tinggi bahawa ia tidak dipersetujui bersama.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan adalah salah apabila memutuskan bahawa mahkamah itu tidak ada bidangkuasa untuk mendengar dan menetapkan rayuan dan memutuskan rayuan perayu merupakan rayuan interlokutori yang berlaku semasa perbicaraan.
“Hakim-hakim telah tersilap apabila tersalah menyatakan bahawa rayuan itu bukanlah satu rayuan interlokutori tetapi pada hakikatnya perintah Mahkamah Tinggi adalah perintah terakhir yang menyelesaikan hak pihak-pihak berkenaan dan boleh membuat rayuan,” tambah Karpal.
Pada 25 Jun, Hakim mahkamah Rayuan, Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim mengekalkan bahawa mereka tidak ada bidangkuasa untuk mendengar dan melayan rayuan itu kerana keputusan Mahkamah Tinggi mengenai perkara tersebut bukanlah yang terakhir yang mempunyai kesan yang akhirnya
menetapkan hak-hak pihak berkenaan.
Panel hakim tiga orang menolak rayuan ketua pembangkang dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang disampaikan pada 12 Mei lepas, menafikan beliau daripada akses kepada kenyataan Mohd Saiful Bukhari, yang telah dicatatkan oleh polis.
Anwar mahukan semua kenyataan, termasuk kenyataan saksi Mohd Saiful Bukhari, kerana beliau mendakwa bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan Mohd Saiful Bukhari yang diperoleh semasa perbicaraan, dan pertuduhan liwat untuk menganiaya beliau (Anwar), yang boleh membawa kepada kemungkinan kredibiliti Mohd Saiful
Bukhari di cabar.
Anggota Parlimen Permatang Pauh berusia 63 tahun itu mendakwa bahawa saksi utama itu, Mohd Saiful Bukhari telah memberikan keterangan bahawa dakwaan liwat itu berlaku tanpa persetujuannya, tetapi Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, persetubuhan dengan persetujuan.
Semasa berhujah, Karpal juga mahukan mahkamah paling tinggi untuk memutuskan definisi “keputusan” dalam Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman, 1964.
Sementara itu ketika memberikan hujah, Yusof berkata Mahkamah Rayuan tidak ada bidangkuasa mengenai perkara itu, kerana apa sahaja keputusan Mahkamah Tinggi semasa perbicaraan bukan perintah terakhir.
Beliau berkata perintah itu bukan yang akhir dan pihak-pihak masih boleh membuat rayuan pada akhir perbicaraan.
Yusof juga mengulangi bahawa Peguam Negara boleh memutuskan dalam seksyen mana seseorang itu dituduh, di mana dalam kes Anwar ia bukanlah satu isu sama ada pertuduhan itu mengikut Seksyen 377B atau 377C tetapi ia lebih untuk
pendakwaan membuktikan wujudnya persetubuhan di luar tabii.
Terdahulu, Karpal mendesak agar penghakiman Mahkamah Rayuan diberikan dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengarahkan mahkamah itu untuk penghakiman sewajarnya.
“Tanpa butir-butir penghakiman rayuan, yang perayu berhak mengikut undang-undang, perayu adalah prejudis dalam memberikan satu petisyen yang sewajarnya,” tegas beliau.
Yusof berkata alasan penghakiman telah dinyatakan dan tidak perlu untuk penghakiman lain.
“Ia hanya perkara terminologi yang digunakan dan kita menyatakan bahawa alasan untuk penghakiman telah ada dan mahkamah hendaklah meneruskan proseding rayuan,” tambah Yusof.
Ariffin berkata panel itu bersetuju dengan Yusof dan mengarahkan kedua-dua pihak untuk mengemukakan merit rayuan. – BERNAMA

No comments: