Wednesday, August 11, 2010

Peringatan Allah : Lebih 1,500 Terbunuh Banjir

Pakistan bah paling teruk

8 negara Asia, Eropah tangani banjir terburuk kesan tsunami

BERLIN: Empat negara Eropah Tengah dan empat lagi di Asia bertungkus lumus menggerakkan operasi membantu dan menyelamat ketika krisis kemanusiaan disebabkan banjir bertambah buruk dan disifatkan paling teruk di Pakistan, semalam.

Banjir kilat berikutan hujan lebat termasuk di rantau Baltik membunuh sekurang-kurangnya 15 penduduk. Air sungai yang melimpah menyebabkan banjir di Bogatynia, barat laut Poland dan Goerlitz di timur Jerman.

Sungai Neisse di sempadan Poland mencecah rekod tertinggi di Goerlitz. Tiga penduduk di Poland dan Jerman serta lima penduduk Republik Czech dilaporkan terbunuh manakala di Lithuania, empat penduduk maut.

Di Pakistan, lebih 1,500 penduduk maut dan berjuta-juta lagi merayu bantuan akibat banjir terburuk dalam sejarah negara itu.

Harga buah-buahan melambung tinggi sejak kelmarin berikutan lebih satu juta ekar kawasan tanaman musnah dan sekurang-kurangnya empat juta penduduk memerlukan bantuan makanan untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

Kematian terbaru membabitkan sekurang-kurangnya 53 penduduk akibat tanah runtuh yang menimbuskan dua perkampungan di Gilgit-Baltistan, kata pegawai kanan kerajaan, Ali Mohamad Sikandar.

Bilangan mangsa bamjir di Pakistan mungkin melebihi korban tiga bencana besar lalu termasuk tsunami pada 2004, gempa bumi Kashmir pada 2005 dan gempa bumi Haiti pada tahun ini.

Setiap bencana itu mengorbankan lebih ramai mangsa tetapi kerajaan Pakistan menganggarkan lebih 13 juta orang terjejas, dua juta lebih tinggi daripada tiga bencana itu.

Di China, pasukan penyelamat mencari sekurang-kurangnya 1,300 penduduk yang dikhuatiri hilang selepas banjir melanda kawasan pedalaman di barat laut China manakala di negara berjiran Pakistan, dianggarkan empat juta penduduk berhadapan dengan masalah kekurangan makanan dalam banjir paling buruk di negara itu.

Selain itu, banjir di wilayah Kashmir di bawah pentadbiran India pula dilaporkan menyebabkan 500 penduduk hilang dan 132 terbunuh. Media Korea Utara pula melaporkan, banjir di negara itu memusnahkan beribu-ribu rumah dan merosakkan tanaman.

Bencana alam di wilayah Gansu, China kelmarin dilaporkan menyebabkan sekurang-kurangnya 127 orang terbunuh manakala seluruh kampung diliputi dengan air, lumpur dan batu.

Pihak berkuasa berusaha memulihkan semula bekalan kuasa, air dan komunikasi di kawasan terjejas di bahagian selatan dan jumlah sebenar mereka yang hilang atau terputus hubungan tidak dapat diketahui.

Pakar cuba membersihkan kotoran yang menghalang aliran Sungai Bailong untuk mengelak banjir lebih buruk di bandar Zhouqu yang masih tenggelam berikutan bencana alam sejak semalam.

Halangan itu membentuk satu tasik buatan sepanjang 3 kilometer yang melimpahi sungai sejak awal pagi.

Pihak berkuasa turut menghantar bekalan air, khemah dan selimut serta bekalan kecemasan lain sementara Perdana Menteri Wen Jiabao turut melawat usaha menyelamat di kawasan terjejas.

Beliau turut melawat Lembah Sanyan, tempat 300 penghuni rumah kampung itu tertimbus akibat tanah runtuh, lapor agensi berita Xinhua.. – AP/Agensi



Disalin dari blog rakan blogers

No comments: