43 SJKT Terima Bantuan RM1.38 Juta Perkasa Pendidikan
Wednesday, 19 October 2011 | Ruangan: BeritaOleh Hafizan Taib
SHAH ALAM, 19 OKTOBER : Kira-kira 43 buah Sekolah Jenis Kangsaan Tamil (SJKT) di Selangor menerima bantuan pendidikan Fasa Kedua berjumlah RM1.38 juta oleh kerajaan negeri .
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata bantuan ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri komited memperkasa sistem pendidikan selain meningkatkan taraf infrastruktur sekolah-sekolah di negeri ini.
Menurutnya, bantuan pendidikan bagi fasa pertama dengan jumlah RM6.69 juta, Kerajaan Negeri mengagihkannya kepada 97 SJKT serta 121 SAR dan 75 SJKC.
“Untuk fasa kedua ini adalah untuk infrastruktur dan pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah ini termasuk makmal komputer. Ini di antara cara-cara Kerajaan Negeri Selangor membuktikan bahawa Kerajaan Selangor memang mengambil kira keperluan pendidikan itu.
“Bantuan infrastruktur dan pembangunan pendidikan itu juga diberikan secara terus kepada pihak sekolah dan PIBG pula yang lebih rapat dengan sekolah boleh memantau perkembangan itu bagi Kerajaan Negeri,” katanya.
Dr Halimah berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Penyampaian Cek Bantuan Peruntukan Pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Lobi Bangunan SUK di sini .
Sebagai rekod, sekurang-kurangnya kerajaan negeri memperuntukan RM16 juta untuk pembangunan pendidikan .
Daripada jumlah tersebut, RM4 juta adalah untuk pembangunan SJKT agar sekolah aliran itu menikmati kemajuan seiring dengan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Sementara itu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, sememangnya Kerajaan Negeri memberi tumpuan bagi pembangunan infrastruktur di SJKT di Selangor pada tahun ini yang didapati daif dan ketinggalan.
“Infrastruktur SJKT di Selangor memang daif kalau kita tengok dengan keadaan sekarang yang ada walaupun sekolah di bandar atau di luar bandar dengan keadaan yang teruk. Mereka gunakan peruntukan ini untuk membaikpulih sekolah mereka,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penilai SJKT menjelaskan Kerajaan Negeri kini dalam proses pewartaan 22 buah SJKT di Selangor dan dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan.
Jelasnya, sekiranya pewartaan dibuat maka bantuan dapat disalurkan dengan lebih mudah kepada sekolah berkenaan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi; ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman; ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.
Selangorkini
No comments:
Post a Comment