Thursday, October 27, 2011

Kes mata lebam: Mat Zain dakwa Najib tahu salah laku Gani Patail


Datuk Seri Najib Razak pernah mengatakan Tan Sri Abdul Gani Patail tidak wajar terlibat dalam kerja memalsukan bukti dalam siasatan kes mata lebam 1998 Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian menurut seorang bekas pegawai kanan polis yang mendakwa bertemu secara peribadi dengannya pada Oktober 2008.

Ketika itu Najib merupakan timbalan perdana menteri dan menjadi perdana menteri pada April 2009.

Datuk Mat Zain Ibrahim, yang sedang menggerakkan kempen seorang diri untuk mengalihkan peguam negara itu berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Najib untuk membincangkan dakwaan pembabitan Abdul Gani dan juga Ketua Polis Negara masa itu Tan Sri Musa Hassan.

“Komen YAB terhadap Gani Patail antara lainnya, ‘memang salah untuk memalsukan keterangan'.

Walaupun boleh jadi tujuan Gani adalah untuk 'menolong IGP’ (merujuk kepada bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor), membuat keterangan palsu, adalah suatu kesalahan dan tidak patut dia lakukan,” kata Mat Zain dengan merujuk kepada apa yang diperkatakan oleh Najib pada pertemuan mereka.

Rahim digantikan oleh Tan Sri Norian Mai dan kemudian oleh Musa sebagai ketua polis negara.

Mat Zain seterusnya menulis, “komen terhadap Musa Hassan pula, YAB menyatakan antara lainnya, ‘saya mendapat tahu peranan Musa tidaklah seteruk Gani.

Saya rasa beliau (Musa) boleh melepaskan diri.”

Mat Zain mengatakan demikian dalam surat terbuka kepada Najib.

Dalam surat terbuka itu, Mat Zain menambah, “selanjutnya YAB telah memberi jaminan akan membincangkan perkara pelantikkan panel bebas dengan Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu) oleh kerana YAB mengatakan tidak tahu-menahu mengenai pelantikkan panel ini, jika saya tidak maklumkan pada hari tersebut . . .”

No comments: