Friday, October 28, 2011

PKR S'gor: Gantung lesen(tapak - E) peniaga tindakan kejam

PKR Selangor hari ini mencabar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar supaya menarik balik sekatan yang didakwa telah dikenakan ke atas sekumpulan peniaga, termasuk seorang ibu tunggal daripada berniaga di tapak pasar tani Shah Alam.

Ketua penerangan PKR negeri, Shuhaimi Shafiei berkata Noh perlu memberikan tempat semula kepada individu berkenaan dalam tempoh tujuh hari untuk membuktikan bahawa menteri berkenaan benar-benar mendahulukan rakyat.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Noh perlu bertanggungjawab ke atas nasib yang ditimpa individu berkenaan kerana "surat penggantungan ini pasti dibuat atas restu menterinya."

ADUN Sri Muda itu juga berkata, Noh perlu memastikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memansuhkan penggantungan lesen pada Oktober dan November itu dengan segera.

"Peniaga ini memerlukan tapak niaganya semula kerana itu sahaja punca pendapatannya. Ke mana dia harus pergi jika tapak niaganya digantung? Apakah Noh Omar mahu membiayai semua keperluan peniaga ini dan keluarganya?," soalnya lagi.

Shuhaimi turut mengulangi permintaannya supaya Noh menjelaskan dakwaan penggantungan lesen yang disifatkan "kejam" kerana menyekat rezeki individu tersebut.

Ibu kepada tiga anak itu merupakan antara sekumpulan individu yang didakwa telah dikenakan tindakan berkenaan, atas alasan tidak menghadiri satu program anjuran kementerian tersebut pada 19 September lalu.

"Apakah wajar anak-anak peniaga ini dibiar menjadi mangsa kelaparan kerana tiada wang untuk berbelanja atas ketidakhadiran ibunya berbaris menyambut Noh Omar?

"Kesalahan ini pun belum tentu dapat dibuktikan tetapi hukuman telah dijalankan. Undang-undang dan peraturan manakah yang agensi di bawah kawalan kementerian guna pakai?," soalnya lagi.

Malaysiakini


komen

No comments: