Wednesday, October 12, 2011

Umno masih syok sendiri di Selangor

Umno masih syok sendiri di Selangor

Oleh SAFAR JUMAAT

http://www.humanrightspartymalaysia.com/wp-content/uploads/2010/01/khalid22.jpgBN bercita-cita mahu merampas Selangor. Mereka anjurkan kempen selamatkan Selangοr. Padahal, Selangor sudah jelas lebih selamat di tangan Pakatan Rakyat dengan simpanan berjumlah RM1.1 bilion.

KETIKA Kerajaan Selangor, kerajaan negeri termaju di Malaysia mengumumkan mereka mempunyai simpanan RM1.1 bilion, khabarnya bekas pemimpin-pemimpin utama Selangor, terpaksa menahan sesak nafas dan mereka yang bercitacita mahu merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat, terkedu lidah masing-masing.

Sejak 28 tahun lalu, belum pernah Kerajaan Negeri Selangor mempunyai simpanan sebanyak ini, bukan kerana hasil negeri berkurangan, tetapi disebabkan sifat amanah tidak ada di kalangan mereka yang selama ini menerajui Selangor.
Baru-baru ini, bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo mendedahkan, usaha “mengenakannya” dibuat oleh mereka yang berjawatan menteri kerana alasan mudah untuk merampas kembali Selangor dari Pakatan ialah dengan “mengenakannya.”

Dakwaan Dr. Mohamad Khir yang disiarkan di blognya itu tidak mendapat respon yang baik dari Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tetapi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar enggan memberi komen.

Suatu ketika dahulu, ketika Dr Mohamad Khir menjadi Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang, Noh adalah timbalannya. Tetapi apabila Bahagian Tanjung Karang dipecah dua, satu menjadi Bahagian Sungai Besar, Dr Mohamad Khir dan Noh berpisah bahagian.

Masing-masing menjadi ketua bahagian di tempat masing-masing. Namun, Dr Mohamad Khir sudah melepaskan jawatannya itu kerana kesnya dibicarakan di mahkamah dan tempatnya kini disandang Dato’ Ramli Norani, seorang bekas Adun di zaman Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi Menteri Besar.

Sejarah Umno Selangor memang berwarna warni. Boleh dikatakan semua Menteri Besarnya mengakhiri karier masing-masing secara tragis, kecuali Allahyarham Dato’ Hormat Rafie.

Sejarah kejatuhan Menteri Besar terdahulu ini tidak memberi pengajaran kepada Dr. Mohamad Khir yang akhirnya membawa Barisan Nasional (BN) rebah dalam PRU 12, Mac 2008.

Hari ini, BN Selangor bercitacita mahu merampas kembali Selangor. Mereka menganjurkan kempen selamatkan Selangor.

Padahal, Selangor sudah jelas lebih selamat di tangan Pakatan Rakyat dengan simpanan berjumlah RM1.1 bilion.

Kenapa dalam zaman BN memerintah dahulu, simpanan negeri tidak pernah sampai ke tahap itu? Jawapannya tentulah ada di kotak pemikiran rakyat dan pengundi di Selangor.

Masalah pembangunan Bukit Botak Selayang pun hanya selesai di zaman Pakatan Rakyat memerintah, padahal, boleh dikatakan semua penduduk Bukit Botak adalah penyokong tegar Barisan Nasional (BN).

Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Umno Negeri Selangor berkali-kali bertempik, “sepatutnya kita bukan yakin boleh merampas kembali Selangor tetapi hendaklah insaf dengan kehilangan kuasa.”

Maknanya, Najib tidak mahu mereka yang diharapkan di Selangor menganjurkan program syok sendiri, hanya kerana mesti ada program untuk mengundangnya memberikan ucapan tetapi dalam masa yang sama, para pemimpin di peringkat bahagian, tidak mampu menyelesaikan masalah dalaman.

Najib nampak, beberapa orang wakil rakyat BN di Selangor bergelumang dengan kes mahkamah. Ada ketua bahagian yang belum mampu menyelesaikan masalah yang dibicarakan dan beberapa ketua bahagian yang baru menang, tidak mahu menerima pasukan yang kalah dalam pertandingan di peringkat bahagian.

Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib masih “membisu sampai kini” kerana enggan meneruskan tugasnya sebagai ketua bahagian.


Setahun yang lalu, beliau mengatakan, beliau lebih seronok menjadi pemerhati dalam perkembangan politik di Selangor.

Hakikatnya, Umno Selangor sedar, sokongan masyarakat Cina dan India belum kembali menyokong BN. Walaupun mereka memasang keyakinan yang pengundi Melayu akan kembali ke pangkuan BN namun, rata-rata kepimpinan bahagian di Selangor tidak dapat mengesahkan apakah Umno boleh memenangi kesemua kerusi yang mereka tandingi.

Contoh paling ketara, tiada siapa dalam BN yang yakin BN mampu memenangi semula kerusi Parlimen Gombak dan ketiga-tiga kerusi Dun di bawah Parlimen tersebut, iaitu Hulu Kelang, Gombak Setia dan Batu Caves.

Apa yang lebih menarik untuk diperkatakan, ada bekas-bekas Menteri Besar Selangor “saling tidak bersetuju” antara satu sama lain kerana masing-masing bimbang kalau-kalau ada salah seorang dari mereka diangkap semula menjadi pemimpin utama Umno negeri.

Tidak hairanlah apabila Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) menganjurkan pemukiman wakil-wakil rakyat di Kuala Selangor, kawasan di mana Menteri Besar Selangor sekarang, Tan Sri Khalid Ibrahim datang.

Mungkin ia secara kebetulan tetapi, dalam masa yang sama, tentulah bersebab mengapa Kuala Selangor, di mana kerusi Parlimen itu diwakili Dr Zulkefli Ahmad dijadikan tempat mereka berhimpun.

Malangnya, krisis dalaman Umno Bahagian Kuala Selangor antara ketua bahagian sekarang, Ameruddin Sutero dengan bekas ketua bahagian, Mohd Daud Tarihep seperti tiada kesudahan.

Dari segi logiknya, selagi mereka tidak menyelesaikan masalah dalaman, mustahil untuk mereka memenangi kembali kerusi yang sudah kalah.

Gerakan, salah sebuah parti komponen BN juga mengimpikan untuk merampas kembali empat kerusi Dun di Selangor, iaitu Bukit Lanjan, Teratai, Bukit Gasing dan Kota Alam Shah serta kerusi Parlimen Puchong.

Apakah impian Gerakan di bawah kepimpinan Tan Sri Koh Tsu Koon akan menjadi kenyataan? Tsu Koon sendiri seperti ditolak di Pulau Pinang, negeri di mana beliau menjadi Ketua Menteri selama 18 tahun.

Tiada minggu yang tidak kendengaran kecaman dan kritikan terus kepada kepimpinannya hingga ada yang mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya melantik Tsu Koon menjadi Menteri Pengiring bagi memudahkannya mengiringi ke mana-mana Perdana Menteri berada.

Dari 56 kerusi Dun Selangor, mana-mana parti yang ingin memerintah mesti memenangi lebih dari 28 kerusi. Jika Umno yang dikatakan mewakili 30 kerusi Dun, boleh memenangi kesemua kerusi yang ditandingi, memang BN boleh kembali memerintah Selangor tetapi jika mereka awal-awal lagi sudah tidak mampu untuk memikirkan cara mahu memenangi kerusi Dun Hulu Kelang dan Gombak Setia (Dun Batu Caves dipunyai MIC), ia sudah cukup untuk memberitahu mereka, lupakanlah hasrat untuk merampas kembali Selangor.

Noh sendiri, perlu menjaga kerusi Parlimen Tanjung Karang dan Dun di bawah Parlimen itu jika beliau mahu menjadikan impiannya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan bukan timbalan seperti sekarang ini.

Kredit tο: http://www.kedahlanie.info/2011/10/umno-masih-syok-sendiri-di-selangor.html

No comments: