Loading...

Thursday, October 27, 2011

Agensi di bawah Noh Omar zalimi peniaga!

KENYATAAN AKHBAR
PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SELANGOR
                                        27hb Oktober 2011

KEADILAN Selangor merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato Seri Noh Omar dalam maksud 'ketirisan' dan 'hutang' yang disiarkan akhbar hari ini. Jelas ia adalah satu respon mentaliti rendah dari seorang yang bergelar Menteri. Tiris dari segi maksud sudah tentulah berlaku kebocoran, tak kira kecil atau besar jumlahnya. Apakah bukan satu 'ketirisan' dalam pentadbiran Noh Omar apabila dengan nyata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyegerakan untuk melaksana sebanyak 135 projek kepada 1,746 sub projek (rujuk m/s 20 Laporan Ketua Audit Negara) tetapi 'berhutang' pemberian insentif kepada petani kecil dan miskin? Kementerian ini menerima peruntukan sebanyak RM2.894 billion tetapi perbelanjaan pula adalah sebanyak RM2.906 billion. Maka terlebih 'tiris' oleh kementerian sebanyak RM11.94 juta. (Sumber: m/s 14 laporan Ketua Audit Negara) Kalaupun saya dituduh tidak mengetahui makna tiris dan hutang oleh Menteri terlibat, yang pasti saya mengetahui sedalamnya derita beban yang ditanggung oleh petani kecil disebabkan kelemahan pentadbiran Noh Omar yang lebih mementingkan pelaksanaan projek-projek yang sudah tentu menguntungkan kroni tetapi daleh dengan seribu satu alasan apabila melibatkan petani kecil.

Adakah ini halatuju baru kementerian yang cuba digarap oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani? Projek dahulu, Petani kemudian?

Sewajibnya insentif kepada petani ini 'didahulukan' berbanding pelaksanaan projek terpilih yang mana boleh dikaji keutamaannya. Unjuran oleh kementerian juga telah berbeza besar yang bermaksud kementerian sendiri gagal memberikan resional bajet pemberian insentif. Insentif kepada petani yang susah, kepada orang miskin boleh berhutang, boleh di tangguh, boleh di kurang tetapi projek kepada kroni jika perlu boleh pula di pohon bajet tambahan tanpa perlu menunggu bajet baru. Rang Undang Undang yang di tarik sebelah pagi, boleh pula diselitkan sebelah petang oleh rakan Menteri Noh Omar kerana di sana ada banyak peluang 'ketirisan' untuk terus merompak harta orang kampung. Inikah visi baru kerajaan BN dan kementerian Noh Omar? Jawaplah kepada Ketua Audit Negara dan rakyat, bukan kepada saya atau kepada KEADILAN Selangor!

KEADILAN Selangor kembali bertanyakan soalan pokok kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkaitan penggantungan tapak perniagaan di pasar tani Shah Alam baru baru ini. Jawapan balas beliau berhubung persoalan ini langsung tidak di sentuh, bahkan menyimpang jauh dari topik isu. Kenapa tidak mahu menjawap persoalan sebenar? Gentarkah dengan bukti nyata yang ada di tangan KEADILAN Selangor?

Soalan yang dikemukakan amat mudah; kenapa zalim sangat memberhentikan perniagaan ibu tunggal yang lemah dan mempunyai tanggungan tiga anak ini? Sebagai seorang Menteri yang berkuasa penuh pada agensi di bawah kementerian, seharusnya jawapan Menteri adalah jujur, ikhlas dan membantu menyelesaikan sengsara yang terpikul di bahu pengadu. Apa yang cuba dipesongkan oleh Noh Omar tidak lebih sebagai alasan untuk lari dari tanggungjawap menjawap persoalan pokok!

Saya tidak teruja dan tidak 'terbakar dengan api provokasi' Noh Omar agar saya belajar semula kerana itu tidak membantu peniaga ini mendapat semula hak niaganya. Saranan itu tidak langsung mempercepatkan peniaga ini mencari rezeki semula bagi menyara dirinya sekeluarga.

Saya dengan rendah dirinya menyatakan tidak keberatan untuk berlajar lagi kerana menuntut ilmu adalah wajib, bahkan belajar sehingga sampai ke liang lahad adalah disarankan dalam agama dengan mencadangkan agar Noh Omar juga kembali ke sekolah semula bagi belajar cara cara menjawap soalan. Soalan saya mudah, kenapa begitu kejam tindakan pada seorang ibu tunggal yang kebetulan tidak dapat hadir menyambut Menteri hingga perlu di tabur pasir ke periuk nasinya? Kenapa lakukan kezaliman ini? Apakah ibu tunggal ini orang kaya seperti Khir Toyo? Dan jika amat kaya seperti ADUN Sementa sekalipun, perlukah di sekat rezekinya hanya semata mata tidak dapat hadir program Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani? Jawap soalan ini Dato Seri!

KEADILAN Selangor ingin tegaskan, surat hitam putih dan tindakan 'ala penguatkuasa Tunisia' ini benar benar berlaku di bawah seorang Menteri bernama Noh Omar!

Cabaran KEADILAN Selangor kepada Noh Omar adalah, jika benar Menteri mendahulukan rakyat, beri semula tempat niaga pada ibu tunggal ini dalam tempoh 7 hari. Jika Menteri gagal selesaikan aduan peniaga ini dengan menarik balik penggantungan yang di buat maka adalah jelas, Noh Omar 'kepala mahazalim' yang mewakili UMNO BN adalah kelompok orang sombong, kejam dan tidak berhati perut pada rakyat. Rakyat seluruh negara wajar menolak kepimpinan mereka yang tidak berperikemanusiaan seperti ini.

Untuk kesekian kalinya, KEADILAN Selangor ingin sebutkan peniaga ini di gantung atas alasan tidak hadir program perjumpaan bersama Noh Omar pada 19 september 2011 yang lalu. Apakah wajar anak anak peniaga ini di biar menjadi mangsa kelaparan kerana tiada wang untuk berbelanja atas ketidakhadiran ibunya berbaris menyambut Noh Omar? Kesalahan ini pun belum tentu dapat dibuktikan tetapi hukuman telah dijalankan. Undang undang dan peraturan manakah yang agensi di bawah kawalan kementerian guna pakai? Kita bukan di negara Afrika atau Timur Tengah yang perlu zalim pada rakyat sendiri seperti ini. Atau apakah ilmu zionis ajaran APCO sudah meresap masuk dalam agensi kementerian hingga tindakan melampau ini di buat? KEADILAN Selangor mencabar Noh Omar menjawap dengan tepat isu ini dan memohon maaf kepada semua peniaga terlibat. Usah berdolak dalik lagi dengan mengalih perhatian pada perkara lain.

Sekali lagi KEADILAN Selangor tegaskan, Noh Omar MESTI memastikan agensi di bawah kementeriannya yang bernama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA memansuhkan penggantungan kepada peniaga pasar tani pada 16, 23, 30 Oktober dan 6 November 2011 dengan segera. Peniaga ini memerlukan tapak niaganya semula kerana itu sahaja punca pendapatannya. Kemana dia harus pergi jika tapak niaganya di gantung? Apakah Noh Omar mahu membiayai semua keperluan peniaga ini dan keluarganya? Noh Omar adalah orang yang bertanggungjawap jika berlaku sesuatu pada keluarga ini kerana surat penggantungan ini pasti di buat atas restu Menterinya.

KEADILAN Selangor menyeru rakyat seluruh negara melihat tingkah laku Timbalan Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional Selangor yang bongkak dalam menunjukkan kekuasaannya. Inikah sikap seorang pemimpin yang kononnya bakal menjadi Menteri Besar Selangor?

Mari kita doakan bersama agar negeri ini tidak mempunyai seorangpun pemimpin yang bersikap sedemikian tidak kira dari Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat. Semoga kes ini membuka mata rakyat agar tidak sewenang wenangnya memberi kuasa kepada 'Singa yang menjadi pengawal kambing'. Lagak mereka tidak ubah seperti samseng jalanan. Jika mereka di beri kuasa lagi pasti habis semua peniaga di gantung jika tidak mengikut kemahuan mereka. Apakah ini yang rakyat mahu? Jawapannya TIDAK pada UMNO BN! Ayuh, selamatkan Malaysia!
 
Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor /
Ahli Majlis Pimpinan Pusat /
ADUN Sri Muda

No 6, Tingkat 2,
Jln Anggerik Vanilla R31/R,
Kota Kemuning,
40460 Shah Alam
Tel: 51220050


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: