AMK nekad pertahan kerusi
TAMAN SENTOSA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kota Raja nekad tidak akan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) merampas dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Ketuanya, Azmizam Zamanhuri berkata, mereka akan bekerja keras memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus mentadbir Parlimen Kota Raja serta Dun Sri Andalas dan Sri Muda, dalam usaha mereka mengangkat Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pertama PR.
“Saya yakin PR berkelayakan berdasarkan sokongan pengundi dan orang ramai kepada semua pemimpin tiga parti gabungan ini, kita akan memastikan kemenangan besar PR bagi melayakkan mengambil alih Putrajaya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan AMK Kota Raja kali ke-4 di Dewan Sentosa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jalan Sungai Jati, di sini.
Hadir sama, Ketua AMK Malaysia, Syamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua PKR Cabang Kota Raja, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalannya, Suhaimi Shafie.
Azmizan yang juga Naib Ketua AMK Malaysia menyatakan kesediaan untuk terus menyokong pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sedia ada (Dr Xavier-Sri Andalas dan Suhaimi-Sri Muda) pada PRU 13 kelak.
Menurutnya, sokongan itu berdasarkan kecemerlangan kedua-dua pemimpin mentadbir dan menjaga kebajikan rakyat di Dun masing-masing.
“Kita akan sokong sepenuhnya pencalonan ini, justeru kita minta Majlis Pimpinan Pusat (MPP) melaksanakan hasrat ini berdasarkan permintaan suara ramai,” katanya.
Dalam majlis itu, AMK turut menyampaikan penghargaan Ikon Anak Muda Kota Raja 2011 kepada dua belia tempatan, salah seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU).
Penghargaan itu diberikan kepada Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PebT) Dun Sri Andalas, Amiruddin Md Arif dan pemain bola sepak Selangor, Safee Sali atas pencapaian mereka yang memberangsangkan dalam bidang masing-masing.
Penghargaan turut diberikan kepada Jingga 13 atas usaha menghargai jasa dan pengorbanan kumpulan berkenaan yang banyak menyebarkan informasi terkini berkenaan AMK dan PKR Kota Raja kepada umum melalui laman blog.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment