Loading...

Saturday, October 22, 2011

HIMPUN SEJUTA UMAT : KEADILAN MENYOKONG PENGUKUHAN AKIDAH TETAPI MENOLAK PROVOKASI

Merujuk kepada perhimpunan yang dianjurkan oleh Himpunan Pertubuhan-pertubuhan Islam (HIMPUN) pada hari ini, 22 Oktober di Stadium Shah Alam. KEADILAN Selangor membuat ketetapan untuk tidak terlibat dengan menghormati pihak penganjur perhimpunan ini yang mahu ia bebas dari sebarang penglibatan parti politik dalam menjayakan objektif himpunan ini.

KEADILAN Selangor menghormati kebebasan berhimpun dan menyokong sebarang usaha demi memantapkan akidah umat yang mana dengan jelas telah termaktub di Perlembagaan Malaysia bahwa Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni. Di atas semangat ini , sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketidaktenteram melibatkan agama lain hendaklah dielakkan.

Ini juga merupakan pendirian yang telah diambil oleh rakan parti di dalam Pakatan Rakyat yang mana PAS Selangor juga telah menyatakan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam himpunan ini sejajar dengan arahan PAS Pusat.

Kesejahteraan dan keamanan untuk semua rakyat merupakan satu teras penting yang wajib dipertahankan. KEADILAN Selangor ingin mengingatkan UMNO Selangor jangan menangguk di air yang keruh dengan mempolitikkan himpunan yang dianjur oleh Pertubuhan-pertubuhan Islam ini. Beberapa isu sensitif yang membabitkan umat Islam dengan sewenangnya dan tidak tanggungjawab telah dijadikan bahan politik UMNO Selangor yang sewajibnya menginsafi penolakan rakyat Selangor kepada mereka akibat kerakusan kuasa sewaktu mentadbir Selangor dahulu.

Namun ditegaskan, pendirian KEADILAN Selangor ini tidaklah menghalang ahli parti untuk hadir dalam kapasiti peribadi. Ketegasan yang diambil oleh KEADILAN Selangor ini adalah satu cerminan bahwa KEADILAN membawa mesej yang cukup jelas bahawa sebarang provokasi kepada keharmonian rakyat pelbagai agama di dalam negara ini hendaklah sedaya upaya dihalang. KEADILAN yang senantiasa konsisten dalam mempertahankan keadilan untuk semua kaum amat berlapang dada dalam sebarang himpunan atau wacana dalam menjadikan negeri ini sebuah negeri yang aman dan makmur.

SHUHAIMI HJ SHAFIEI
KETUA PENERANGAN KEADILAN SELANGOR / ADUN SRI MUDA


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: