Tuesday, October 11, 2011

Anwar cabar unjur semula Bajet 2012

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar kerajaan mengunjurkan semula Bajet 2012 kepada RM220 bilion, seperti bajet bayangan Pakatan Rakyat (PR), Belanjawan Kesejahteraan Untuk Semua yang dibentang 4 Oktober lalu.

Menurutnya, bajet RM232.8 bilion melibatkan angka besar, tidak mengambil kira penambahan beban hutang rakyat dan negara serta tidak berasaskan angka unjuran defisit.

“Unjuran defisit pada angka 4.7 peratus tidak tepat kerana bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tahun 2011 dan unjuran 2012, serta unjuran jumlah pendapatan negara dalam tahun 2012.

“Unjuran pertumbuhan lima hingga enam peratus tahun 2012 juga, perlu dikaji semula kerana terlalu ting:gi, sedangkan analisa dari sumber lain menunjukkan pertumbuhan lebih rendah,” katanya ketika membahaskan Bajet 2012 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan terpilih dibuat Bank Dunia ialah 5.7 peratus; Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), 5.5 peratus dan Bank RHB, 4.5 peratus.

“Unjuran terkini dibuat Bank Pembangunan Asia menerusi :Asian Development Outlook 2011 yang diterbitkan pertengahan September lalu, turut mengambil kira risiko keadaan ekonomi global.

“Dalam bajet kali ini, terdapat unjuran tidak bertanggung jawab, sekiranya unjuran pertumbuhan, pendapatan, defisit itu jauh berbeza daripada apa diumumkan Menteri Kewangan, ia wajar dibentangkan semula,” katanya.

Anwar berkata, beliau menekankan angka yang bertanggungjawab yang dikira tidak munasabah dan dipertikaikan oleh penganalisis ekonomi.

“Unjuran pertumbuhan ekonomi dan jumlah pendapatan terlalu optimistik dan tidak realistik memburukkan lagi keadaan defisit negara.

“Pendapatan negara sebagaimana diumumkan akan tumbuh pada kadar lima hingga enam peratus dalam Bajet 2012, jauh tersasar daripada jangkaan penganalisis ekonomi tempatan dan dunia,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments: