Thursday, October 20, 2011

Pas, PKR Selangor tidak ikut serta

SHAH ALAM – Pas Selangor tidak akan mengambil bahagian pada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) kerana menghormati keputusan kepimpinan parti.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, parti itu juga menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar menjaga keamanan negeri dan tidak menimbulkan kekacauan yang memecah belahkan penduduk.

“Pas sebuah parti politik bukannya NGO. Kita telah memaklumkan kepada semua pucuk pimpinan Pas negeri ini supaya tidak menyertai perhimpunan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Pas Pusat tidak menyertai Himpun di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober nanti.

Beliau berkata, penularan murtad berlaku disebabkan akidah individu itu sendiri dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berperanan besar menanganinya.

“Kita juga perlu lihat ancaman lain yang lebih besar contohnya sekularisme dan fahaman perkauman,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru berkata, pihaknya mengalu-alukan penganjuran program meningkatkan akidah umat Islam tetapi jangan sampai berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

“Kita tidak menghalang ahli Pas ke sana walaupun kita mendapat maklumat ada beberapa buah bas daripada pihak lain akan menyertai Himpun walaupun sekretariat program itu menjelaskan ia bukan berunsurkan politik,” katanya.

Sementara itu PKR Selangor turut membuat keputusan seperti Pas untuk tidak akan menyertai Himpun kerana bimbang majlis itu akan dipolitikkan.

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, PKR Selangor melihat ada cubaan pihak tertentu untuk mempolitikkan perhimpunan berkenaan.

“Hasil daripada maklum balas diterima ialah program tersebut cuba dipolitikkan dengan cara yang tidak sewajarnya. Kita bimbang dengan penyertaan itu, kita (PKR Selangor) akan disalah anggap,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments: