Arab lihat nasib Muammar Gaddafi mesej buat pemimpin lama berkuasa
“Ini nasib seorang pemimpin yang memusnahkan kehidupan rakyatnya selama beberapa dekad dan melepaskan tembakan terhadap mereka sebelum kematianya,” kata Mohamed Beltagy, seorang anggota kanan Ikhwanul Muslimin Mesir yang berpengaruh.
“Nasib Muammar seharusnya menjadi satu pengajaran bagi pemimpin Syria Bashar al-Assad dan (Presiden) Yemen (Ali Abdullah) Saleh,” kata beliau dengan merujuk kepada dua pemimpin negara Arab yang masih berhadapan dengan kebangkitan rakyat sejak awal tahun ini.
Presiden Tunisia dan Mesir merupakan pemimpin-pemimpin awal menjadi sasaran dan digulingkan dalam siri kebangkitan politik di negara-negara Arab, di mana presiden-presiden dan raja-raja memerintah sejak beberapa dekad.
Bagaimanapun pemimpin Tunisia Zine al-Abidine Ben Ali dan Hosni Mubarak di Mesir digulingkan selepas protes yang rata-rata kecil lagi singkat berbanding dengan Libya.
Rakaman saat-saat akhir Muammar menemui ajal disebarkan menerusi media massa dan Internet sebaik sahaja kematiannya diumumkan. Muammar ditangkap hidup-hidup tetap mati beberapa minit kemudian dan teori siapa melepaskan tembakan masih menjadi persoalan.
Jenazah Muammar akan dikebumikan di tempat yang dirahsiakan hari ini.
“Neraka menunggu Muammar. Saya benci sesiapa yang meraikan kematian seseorang, tetapi apa yang beliau lakukan ke atas rakyatnya sesuatu yang sungguh kejam,” kata Nancy El Kassab, seorang penerbit eksekutif televisyen Mesir.
“Kematian Muammar akan menakutkan diktator-diktator Arab seperti Bashar dan Ali, dan menjadikan pemimpin-pemimpin Arab yang lain lebih berhati-hati dengan rakyat mereka selepas mereka pulih daripada kejutan berita ini,” kata Alia Askalany, 27, seorang pengurus pemasaran Mesir.
Di Libya ramai rakyatnya melahirkan kegembiraan mereka dengan kematian Muammar yang memerintah selama 42 tahun. Kebangkitan rakyat bermula awal tahun ini.
“Terima kasih kepada Allah . . . dengan iltizam pemberontak, yang ini telah dapat dicapai dan kami mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang membantu dan kami sangat gembira,” kata Khaled Al-Asoud, pejuang Libya berusia 35 tahun.
Di Jordan, Abdullah al-Khatib, bekas duta PBB ke Libya dan bekas menteri luar Jordan berkata: “Sistem-sistem yang serupa di rantau ini seharusnya membuat rumusan mereka dan mendengar suara rakyat dan seharusnya mengadakan satu keadaan di mana penduduk rantau itu boleh dengan bebas dan terbuka menentukan masa depan mereka.”
Aktivis di bandar tengah Syria, Homs memberitahu Avaaz, satu pertubuhan hak asasi kempen, bahawa orang ramai meraikan kematian Muammar di jalan-jalan.
Ada yang membawa sepanduk tertera mesej: “Tikus Libya sudah ditangkap, selepas ini kuman Syria.”
Pun begitu persoalan yang timbul ialah berkenaan dengan kesan domino yang bakal dibawa oleh kematian Muammar ke atas rantau negara-negara Arab termasuk di Yemen dan Syria. — Reuters
No comments:
Post a Comment