Singkir MB cerita mengarut- KEADILAN Selangor
Posted in Politik on 10 Oktober 2011 by AdminKUALA LUMPUR: Desas desus mengatakan hubungan antara Adun Selangor dengan Menteri Besarnya semakin rapuh merupakan cerita mengarut dan tidak berasas, kata Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei.
Beliau merujuk laporan portal berita Antarapos.com, kononnya terdapat kumpulan wakil rakyat parti itu yang mendesak pimpinan parti memecat Tan Sri Khalid Ibrahim.
Kata Shuhaimi, hubungan antara Adun Selangor dengan Khalid I bukan sahaja baik, malah mereka juga menyatakan sokongan dan ikrar taat setia untuk mempertahankan Khalid sebagai MB Selangor.
“Kita akan mempertahankan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor sehingga selesai term (tempoh) lima tahun, sehingga parlimen dibubarkan atau DUN dibubarkan.
“Kita akan mempertahankan beliau habis-habisan kerana beliau pemimpin yang begitu transparen, berkualiti dan bertanggungjawab.
“Di peringkat Majlis Pimpinan Negeri Selangor, kita akan bersama dengan Tan Sri Khalid untuk mendepani rakyat, membawa isu rakyat dan memastikan BN terus kempunan untuk mengambil alih Selangor,” tegasnya.
Menyifatkan laporan Antarapos itu sebagai tidak berasas, beliau juga mengingatkan isu itu sengaja direka bagi mengadu domba KEADILAN serta parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
“Ini lebih kepada adu domba dan perang saraf yang dilakukan oleh pihak musuh politik (Umno),”ujarnya yang juga Adun Seri Muda.
Beliau turut menafikan bahawa Adun Pakatan di Selangor tidak berpuas hati dengan prestasi Khalid, sebaliknya berkata dari segi standard pengurusan, Khalid lebih baik berbanding menteri pusat dan menteri-menteri besar BN yang lain.
“Prestasi Tan Sri Khalid tidak ada cacat celanya. Dari segi pengurusan kerajaan negeri, standardnya lebih baik daripada menteri di peringkat pusat dan MB dari BN. Standardnya mencecah antarabangsa, dari segi ketelusannya, kecekapan dan kebertanggungjawaban.
“Sebagai sebuah organisasi, sudah pasti ada pro dan kontra dalam pentadbiran, tetapi kita ambil pendekatan secara bersama untuk semua isu, memantapkan pengurusan bagi memastikan pentadbiran mencakupi semua keperluan rakyat,”
“Bukan mudah menjadi Tan Sri Khalid Ibrahim,” katanya.
Ketika ditanya tentang memorandum yang dikatakan dihantar oleh wakil Rakyat KEADILAN Selangor kepada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu, Shuhaimi berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
“KEADILAN amalkan budaya bercakap secara imliah di dalam bilik mesyuarat. Sebarang cakap-cakap di luar itu kita tidak ambil kira.
“Kita tak mahu dengar cerita kedai kopi yang remeh temeh,” tambah beliau.
Dari Keadilandaily
Bajet Najib gagal Tawan Hati Semua Lapisan Rakyat – Azmin
Posted in Politik on 10 Oktober 2011 by AdminTimbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menyifatkan Bajet 2012 yang dibentang Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘gula-gula’ untuk meraih sokongan pengundi pada pilihan raya umum ke-13.
Beliau menyifatkan Bajet 2012 itu gagal menawan hati semua lapisan rakyat sebagaimana Belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentang tiga hari lebih awal.
“Ini bajet pilihan raya tetapi Pakatan Rakyat sudah bersiap sedia dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan melancarkan bajet Pakatan.
“Kita tidak menolak kepentingan kakitangan awam kepada kemajuan negara, sumbangan perkhidmatan awam penting. Namun begitu tumpuan juga harus diselaras kepada semua pihak.
“Dalam pembentangan semalam, tidak ada insentif untuk kakitangan swasta,” katanya kepada Suara Keadilan selepas menyampaikan ucaptama di forum bertajuk Malaysia dan Sejarah yang belum berakhir anjuran Akademi Pak Sako di sini, malam tadi.
Untuk menjana ekonomi, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, Najib harus beri keadilan kepada kedua-dua sektor, bukan hanya mengutamakan sebelah pihak sebagai gula-gula pilihan raya.
Azmin juga menyifatkan Bajet 2012 yang meneruskan defisit untuk tahun ke-14 berturut-turut sebagai ancaman ekonomi dan memerlukan pengurusan kewangan dalam keadaan bajet berhemah.
“Kerajaan menyasarkan kutipan hasil tahun hadapan berjumlah RM186 bilion tetapi RM181 bilion akan digunakan untuk operasi mengurus manakala baki 50 bilion ringgit akan digunakan untuk pembangunan,” katanya.
Beliau berkata, tata kelola yang baik harus meletakkan bajet pembangunan melebihi perbelanjaan pengurusan tetapi Bajet 2012 memperlihat 70 peratus peruntukan pengurusan melebihi pembangunan.
“Masalah defisit tidak akan dapat ditangani disebabkan peruntukan pengurusan melebihi pembangunan.
“Justeru, rakyat melihat secara komprehensif tentang bajet yang dibentangkan dan tidak hanya memfokus kepada satu dua perkara yang dilihat sebagai gula-gula pilihan raya BN,” katanya.
Anwar: Kenaikan elaun hanya untuk kepentingan MP
Posted in Politik on 10 Oktober 2011 by AdminKetua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, cadangan kenaikan elaun untuk ahli parlimen hanya memberi kepentingan besar kepada peruntukan elaun dan bukannya untuk menggaji kakitangan.
Atas dasar itulah beliau menolak cadangan berkenaan, kata Anwar (kiri) ketika ditanya wartawan di bangunan parlimen hari ini.
“Sebahagian besarnya pergi kepada elaun ahli parlimen, ini tidak boleh diterima.
“Jika (jawatankuasa kecil) kembali dengan cadangan baru, kata mereka hendak sediakan pegawai penyelidik, pembantu di parlimen, itu perkara lain.
“Tapi apa yang dicadangkan ialah perkara khusus lain,” katanya lagi.
Namun beliau tidak menghalang sekiranya ahli parlimen Pakatan Rakyat menyokong cadangan berkenaan, katanya lagi.
Tambahnya, perkara itu juga tidak dapat diterima pada waktu rakyat berdepan dengan beban kos sara hidup.
“Saya tidak kata ahli parlimen tidak boleh pertimbang. Tapi, macam mana anda boleh buat begini.
“Anda lihatlah harga barangan dan harga makanan…,” katanya lagi.
Dari Malaysiakini
No comments:
Post a Comment