Thursday, October 20, 2011

Abdul Aziz Bari: Majoriti yang sokong saya Melayu

Lim Hong Siang | Oct 19, 2011 04:59:43 pm

Di bumi Malaysia yang serba-"BOLEH" ini, pertikaian sejarah boleh diheret ke mahkamah. Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akhirnya hanya boleh berbahas dengan pendakwaraya, selepas cabarannya untuk berdebat tidak disahut Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin.

Kini, pertikaian seorang pakar perlembagaan terhadap penggunaan kuasa oleh Sultan Selangor, mungkin juga boleh diheret ke mahkamah. Abdul Aziz Bari, Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), disoal-siasat polis di bawah Akta Hasutan pada pagi ini, berikutan satu laporan yang dibuat oleh Senator Mohd Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober 2011.

Abdul Aziz Bari (gambar kiri), 52, dipetik pandangannya oleh Malaysiakini pada 11 Oktober 2011, bahawa tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim. Kenyataan beliau dibidas dalam Utusan Malaysia, malah ada yang membuat aduan polis terhadap Abdul Aziz Bari dan Malaysiakini. Ekoran daripada itu, Abdul Aziz Bari dan wartawan Malaysiakini disoal-siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 17 Oktober 2011.

Meskipun isu ini dilihat agak "sensitif", sehingga tidak ramai yang berani tampil untuk mempertahankan kebebasan bersuara seorang ahli akademik, namun, dalam satu wawancara melalui email bersama MerdekaReview, Abdul Aziz Bari memaklumkan, "... dari sokongan yang saya terima secara individu, ramai orang Melayu yang bersama saya sebenarnya. Majoriti yang menyokong saya ialah orang Melayu."

Ikuti bahagian pertama wawancara Abdul Aziz Bari (AAB) bersama MerdekaReview (MR):

MR: Seandainya diimbas kembali kenyataan dan tulisan Prof sebelum ini, akan didapati bahawa ini bukan kali pertama Prof mengemukakan kritikan terhadap institusi Raja. Untuk prof, mengapa kritikan kali ini mengundang reaksi yang sebegitu besar, sehingga Prof disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan kemudian pihak polis?

AAB: Saya tak tahu; soalan itu perlu diajukan kepada mereka. Saya jangka mungkin ia kerana adanya report terhadap saya kali ini. Cuma soalannya mengapa sekarang. Mungkin kerana pilihan raya dah dekat. Mungkin juga kerana dulu mereka tak sedar, mereka tidur.

MR: Pada hakikatnya, adalah tidak sukar untuk memahami pendirian Prof dalam isu institusi raja, seandainya mengikuti tulisan Prof yang disiarkan sebelum ini. Prof sejak awal menegaskan bahawa Sultan/Raja boleh dikritik dalam ruang batas yang dibenarkan.
Garis itu jelas apabila dalam satu kes yang melibatkan Karpal Singh, Prof menulis Karpal "yang dilaporkan menyebut soal perlunya kita tidak kembali ke zaman feudal" mungkin boleh dianggap "menyindir institusi beraja", lantas memberi kesempatan kepada musuh politik untuk menghentam Karpal, malah disabitkan dengan Akta Hasutan. Pendirian sedemikian seolah-olah tidak difahami, sehingga Prof diheret untuk disoal-siasat.

AAB: Pendirian mereka memang sukar difahami oleh logik biasa. Apalagi media berkenaan begitu kuat menghentam Raja-Raja sewaktu krisis antara mereka dengan kerajaan persekutuan pada 1983 dan 1993. Dan hari ini mereka yang menghentam Raja-Raja ketika itu pun mengatakan saya kurang ajar. Sedangkan kenyataan saya tidaklah seteruk kenyataan mereka. Saya tidak pertikai kedudukan dan peranan Raja, hanya sekadar memberi pandangan tentang cara kuasa yang ada di tangan mereka digunakan.

MR: Apakah soalan yang diajukan polis kepada Prof sepanjang soal-siasat tadi? Daripada soalan-soalan yang diajukan, apakah Prof menganggap ia lebih kepada menyiasat individu Prof, atau kenyataan Prof dalam isu ini? Dari situ, apakah Prof menganggap bahawa wujudnya motif politik di sebalik soal-siasat ini - memandangkan Prof begitu lantang dalam kritikan terhadap kerajaan yang sedia ada?

AAB: Saya tak ingat, tapi ia termasuk soal-soal peribadi seperti tarikh dan tempat lahir. Saya tak pasti sama ada ia ke atas saya sebagai individu atau kepada kenyataan saya. Logiknya kedua-dua ini boleh berkait. Contohnya orang yang lebih berusia mungkin lebih lembut dan seumpamanya. Saya tak pasti ada motif politik atau tidak, dan tidak taktikal untuk saya menyentuh soalan begini. Apa pun saya dimaklumkan bahawa laporan polis juga dibuat ke atas Prof. Datuk Dr Zainal Kling tetapi tidak ada tindakan setahu saya. Walaupun ia tidak berkaitan dengan institusi Raja ia menimbulkan kemarahan masyarakat, atau sebahagian dari mereka.

MR: Jelas, Prof telah menyentuh satu isu (institusi Raja) yang dianggap "sensitif" dalam konteks politik Malaysia. Hampir tiada pemimpin politik yang berani untuk menyokong Prof secara terbuka. Lebih-lebih lagi, ahli akdemik yang lain juga berdiam diri dalam isu ini, melainkan bekas mufti Perlis, Dr.Mohd Asri Zainul Abidin yang tampil memberi sokongan kepada Prof melalui laman sosialnya. Apakah prof terkilan dengan keadaan sedemikian?


AAB: Sebenarnya ada walaupun tak ramai. YB Sallahudin Ayub ada buat kenyataan mempertikai siasatan SKMM itu semalam. Tengah hari ini CheGu Bard dari SAMM membuat kenyataan umum menyokong saya. Saya faham kenapa orang politik tidak ramai yang ke depan. Ini kerana mereka melihat isu ini ada kesan kepada pengundi Melayu walaupun dari sokongan yang saya terima secara individu, ramai orang Melayu yang bersama saya sebenarnya. Majoriti yang menyokong saya ialah orang Melayu. (Bahagian pertama, bersambung)

Bahagian kedua: Abdul Aziz Bari: Keluhuran perlembagaan bukan untuk diulang-ulang seperti burung kakak tua

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Wawancara ini dijalankan melalui email.

No comments: