Selepas diserang bertalu-talu di media sosial berhubung keputusannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan beliau akan menjelajah kawasan tersebut bagi memberikan penerangan.
Anwar juga berkata beliau akan menjelaskan mengenai keputusan dan strategi seterusnya dalam menjadikan kerusi DUN Kajang bagi melonjak Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya.
"Ia antara strategi, kita halusi dan akan jelaskan di Kajang," kata Anwar dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
"Kita perlu lonjakan sekarang."
Ketua Pembangkang itu mengakui keputusan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang sebagai batu loncatan ke Putrajaya, selepas gagal dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
Anwar berkata, sekiranya menang di Kajang, misi pertamanya adalah untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri contoh dan kemudiannya menakluk Putrajaya.
"Dalam perbincangan awal, konsensusnya kita perlu bergerak dan meluaskan tahap pencapaian sebagai sebuah negeri bersederhana dan dilihat mampu menggunakan kepimpinan Pakatan secara keseluruhan sebagai batu loncatan untuk menakluk ke Putrajaya," katanya.
Anwar mengakui berhutang dengan rakyat dan penyokong parti terhadap keputusannya bertanding di Kajang, bagaimanapun perkara tersebut akan diterang semasa berlangsung pilihan raya nanti.
"Beberapa kebimbangan adalah adil dan kami berhutang penjelasan dengan mereka.
"Kami perlu jelaskan beberapa isu yang dibangkitan dan mereka mahu dengar daripada saya, kenapa saya terima dengan cadangan untuk berpindah ke Dewan Undangan Negeri," kata Anwar.
Beliau juga berkata akan menemui DAP dan PAS bagi menjelas lebih lanjut tentang langkah mengosongkan kerusi di Kajang.
"I informed PAS and also DAP that because of the tekanan, tak beri ruang bincang lebih panjang. Saya terima teguran itu dengan baik dan saya juga tahu perlu ada penjelasan lebih lanjut dan akan saya lakukan dalam masa terdekat," katanya .
PKR di Selangor ketika ini sedang bergolak selepas dikatakan wujud usaha untuk menjatuhkan menteri besar penggal kedua, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada tampuk pemerintahan.
Krisis dan kontroversi tercetus sejak pengumuman kenaikan gaji oleh Abdul Khalid yang dikatakan tidak dibuat secara konsensus.
Kemudian disusuli insiden pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali daripada anak syarikat negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini.
Kemelut PKR berterusan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusinya pada Isnin.
Semalam, pengumuman dibuat PKR untuk meletak Anwar sebagai calon di kerusi yang dianggap selamat untuk dimenangi.
Langkah meletak Anwar dilihat pengkritik sebagai usaha meredakan ketegangan antara kem Abdul Khalid dan Azmin yang menyukarkan pentadbiran Selangor. – 29 Januari, 2014.
Datuk Seri Najib Razak (gambar) memberi isyarat positif mangatakan akan membawa tawaran konsensus nasional dari Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mesyuarat Kabinet.
Semalam, Anwar sekali lagi mengulangi tawaran konsensus nasional dan hari ini Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara terawal menyambut cadangan oleh bekas bosnya itu.
"Kami akan bincang perkara ini dalam Kabinet," kata Najib selepas ditanya wartawan semasa menghadiri pelancaran buku peta Malaya dan Borneo di Kuala Lumpur hari ini.
Najib bagaimanapun menegaskan yang lebih penting adalah supaya negara terus aman dan mendahului kepentingan rakyat terlebih dahulu.
Anwar, pada Ahad sekali lagi, mengulangi cadangan mewujudkan konsensus nasional dengan kerajaan BN walaupun cubaannya sebelum ini gagal.
"Maka telah tiba waktunya untuk kita semua mencapai satu konsensus nasional terhadap isu-isu yang teramat penting ini yang mendatangkan impak terhadap identiti kita sebagai sebuah bangsa dan negara.
"Dengan memegang kukuh pada semangat perlembagaan, semua pihak perlu berhenti mempersoal kedudukan utama agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan," kata Anwar dalam satu perutusan di Selangor semalam.
Anwar sebelum ini membuat jemputan sama kepada Putrajaya bagi menyelesaikan kemelut berkenaan ekoran beberapa siri demonstrasi dan tindakan rakyat yang agak keterlaluan sehingga dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Namun, sehingga kini Barisan Nasional (BN) tidak pernah melayan gesaan ketua pembangkang itu.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid dalam kenyataan awal hari ini menyambut baik gesaan konsensus nasional tersebut kerana menurutnya ia adalah langkah proaktif yang harus diterima semua pihak.
"Saya memandang cadangan daripada ucapan penasihat PKR itu dalam persidangan Pemuda PKR merupakan satu langkah yang proaktif yang harus diterima baik oleh Umno dan pemimpin BN,” katanya.
Perkara seumpama itu jelas Naib Presiden Umno itu juga belum pernah berlaku dan ini menunjukkan sifat terbuka antara program yang harus dilakukan bersama antara parti kerajaan dan pembangkang.
"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan ini melihatkan sifat dan rasa keterbukaan mereka terhadap program yang harus dijalankan bersama antara parti pemerintah dan pihak pembangkang," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya pagi ini.
Selepas pilihan raya umum ke-13 di mana BN mendapat keputusan paling buruk dalam sejarah, pentadbiran Najib dilihat bergelut menangani hubungan antara kaum dan agama dalam negara dan diburukkan lagi dengan kenaikan harga barang. – 27 Januari, 2014.
SHAH ALAM, 26 JAN : Kerajaan Negeri berharap laporan mengenai pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Petaling Jaya, awal bulan lalu dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata JAIS perlu menjalankan kajian dengan teliti dan cepat supaya kes yang membabitkan sensitiviti kaum ini tidak lagi disalah tafsir orang ramai.
Katanya beliau juga sedang menunggu jawapan bertulis daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika kitab yang diambil daripada PBM itu memenuhi Resolusi 10 Perkara yang ditetapkan Kerajaan Pusat.
“Kita sudah tulis surat kepada KDN, tetapi mereka tak jawab surat itu secara bertulis sebaliknya disampaikan melalui ucapan.
“Walaupun mereka bersetuju dengan cara-cara bible digunakan tetapi ini tertakluk kepada negeri masing-masing.
“Saya ingin tunggu jawapan bertulis kerana bible yang ambil ini kesemuanya diimport dan dibawa masuk ke Pelabuhan Klang yang mana Kerajaan Negeri tiada kuasa jagaan. Itu yang saya nak tanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina di tempat letak kereta Stadium Shah Alam, di sini.
Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk meminda Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 seperti yang digesa pihak tertentu.
Beliau berkata, pihaknya sudah mula mengadakan perbincangan bersama ketua agama bukan Islam bagi memberi pemahaman tentang penggubalan enakmen berkenaan.
“Meminda enakmen adalah satu hal yang sungguh serius. Buat masa ini Kerajaan Negeri belum terlintas lagi untuk memikirkan perkara ini (membuat pindaan).
“Kita sudah mula mengadakan perbincangan untuk memahami enakmen tetapi belum menuju kepada penukaran enakmen. Tiada tujuan atau langkah-langkah untuk mengubahnya,” katanya lagi.
PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyatakan bantahannya terhadap keputusan kerajaan negeri Selangor menaikkan kadar lesen perniagaan sehingga 400 peratus.
Meskipun sesetengah peniaga berkemampuan untuk membayar nilai kenaikan itu, namun ini bukan masa yang sesuai, kata Anwar.
"Sebab itu bila naik lesen perniagaan, kita tak setuju. Kita minta kerajaan Selangor timbang balik. Keadaan ekonomi teruk. Memang ada beberapa syarikat boleh bayar, tapi ini bukan masanya," kata Anwar ketika menjawab soalan daripada peserta Forum Belia bersama Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, pada Ahad.
Kerajaan negeri Selangor sebelum ini mengumumkan kenaikan kadar lesen perniagaan dibawah peruntukan Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2007 (UUK-PTPP) yang diluluskan pada tahun 2007, setelah beberapa tahun ditangguhkan pelaksanaannya.
Sebelum ini Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains dan Teknologi Dan Inovasi, Daroyah Alwi berkata kenaikan itu perlu memandangkan sudah lama kedar itu tidak disemak kembali.
Kali terakhir kadar kenaikan itu dikaji adalah 1987.
"Kesan kenaikan itu hanya dirasai kepada mereka yang terlibat dalam industri tersebut sahaja," dakwanya.
“Pada tahun 2007, kerajaan negeri cuba naikkan tapi tak kesampaian dan tertangguh. Kadar tersebut kekal sejak 26 tahun lalu jadi kerajaan negeri berpandangan perlu naikkan kadar lesen.
“Mereka sudah mendapat untung berlipat ganda jadi kita rasa perlu naikkan sedikit mengikut harga kadar terkini. Jadi mungkin kenaikan itu dilihat terlampau tinggi kerana ia sudah lama tidak dinaikkan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar senada dengan Daroyah apabila berkata kenaikan itu adalah keperluan khususnya bagi perniagaan berasaskan perindustrian dan perkilangan.
Menurut beliau, kenaikan kadar tersebut tidak menimbulkan masalah kepada kedua-dua jenis perniagaan berkenaan kerana peningkatan permintaan dan persekitaran perniagaan yang memberangsangkan, apatah lagi ia telah tertangguh sejak sekian lama.
"Yang saya boleh katakan, permintaan dari peniagaan dan kawasan masing-masing telah meningkat dengan perbelanjaan. Ikut kadar itulah mereka (kerajaan negeri) ambil tindakan (menaikkan) sekarang," katanya kepada Antarapos.
Namun beliau menyokong pendapat beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Selangor yang meminta kerajaan negeri untuk mengkaji semula kadar kenaikan tersebut terhadap pengusaha perniagaan runcit.
Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, Ganabatirao Veraman pula berpandangan kenaikan itu perlu dikaji semula sementelah rakyat kini dihimpit kos sara hidup yang semakin memuncak.
“Saya rasa pandangan daripada akar umbi dan masyarakat perlu diambil kira. Pandangan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad juga akan diambil kira oleh kerajaan negeri untuk mengambil jalan penyelesaian mengenai isu ini,” katanya.
PERUTUSAN KHAS UNTUK RAKYAT MALAYSIA 26 JANUARI 2014, SUNWAY HOTEL
KE ARAH SEBUAH KONSENSUS NASIONAL
1. Lebih empat bulan sudah berlalu sejak kita menyambut Hari Merdeka dan Hari Malaysia. Namun menyambut hari-hari bersejarah ini kurang maknanya jika kita tidak mengamati kerangka lebih besar bagi negara kita di kala ini.
2. Perlu saya tekankan betapa pentingnya kerangka lebih besar ini.
3. Inilah sebabnya saya mengambil peluang untuk memberikan satu perutusan bukan sahaja untuk kalian yang hadir di majlis ini, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia di dalam dan juga di luar negara.
4. Yang saya maksudkan dengan ‘seluruh rakyat Malaysia’ adalah keseluruhan keluarga anak Malaysia – tanpa mengira kaum, agama, kumpulan budaya mahupun bahasa ibunda; tidak kira sama ada anda menetap di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak; dan tanpa mengira pendirian politik.
5. Tidak kira sama ada anda bersama Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, atau anda tidak bersama kedua-duanya, atau anda bebas ataupun menjauhi politik, saya tujukan perutusan ini kepada seluruh warga Malaysia.
6. Perutusan ini dilakar dengan penuh rasa cinta terhadap nusa dan bangsa, tanpa rasa benci terhadap sesiapa. Ianya dikarang dengan nawaitu penuh harapan, dan bukannya dipenuhi dendam kemusnahan. Ianya dikarang agar semua termasuk diri saya sendiri akan membawa intipatinya pulang dan disebarkan kepada keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, dan sanak saudara agar kita sebagai satu umat akan dapat maju ke hadapan.
7. Di awal kalam saya ada menyebut tentang menyambut Hari Merdeka dan Hari Malaysia dan bagaimana untuk memaknai hari-hari bersejarah itu. Pertama sekali, ianya merupakan sambutan hak-hak kita sebagai warga negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebuah dokumen kenegaraan yang dipersetujui bersama oleh pimpinan negara di kala kita merdeka.
8. Perlembagaan ini bukan hanya kata-kata. Ia adalah sebuah dokumen berdaulat yang dizahirkan daripada satu persetujuan di kalangan para pemimpin yang mewakili pelbagai komuniti yang tinggal di tanah air tercinta ini.
9. Ia menjamin hak kita kepada kehidupan dan kebebasan, kepada kebebasan bersuara, berhimpun dan berkesatuan. Ia menegaskan kesaksamaan rakyat di bawah naugan undang-undang dan menjamin kebebasan beragama.
10. Prinsip-prinsip ini wajib dihormati semua komuniti, sama ada mereka dari kalangan majoriti mahupun minoriti. Prinsip-prinsip ini wajib disanjung tinggi ahli-ahli politik dalam percakapan dan perilaku sama ada mereka berkuasa mahupun di kalangan pembangkang. Semua kumpulan masyarakat sivil, badan-badan bukan kerajaan, dan semua organ-organ negara wajib mematuhi hak-hak di dalam perlembagaan ini.
11. Identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum cukup terikat dengan keeratan silaturrahim di kalangan semua kaum yang tinggal di bumi tercinta ini. Jika keutuhan silaturrahim ini tercalar, maka identiti kita sebagai warga Malaysia juga bakal terhapus.
12. Maka, selepas 56 tahun merdeka pertalian silaturrahim ini bukan sahaja wujud malah bertambah kukuh dan erat. Namun, mutakhir ini, beberapa keadaan dan kejadian telah mengakibatkan silaturrahim ini, yang merupakan tiang seri identiti kita, semakin renggang.
13. Malah kejadian-kejadian ini seperti semakin menjadi-jadi hingga kelihatan seperti mampu menggugat perpaduan. Walaupun perpaduan di kalangan kita belum lagi musnah, bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
14. Kita tidak boleh leka. Ini kerana kita sedang menyaksikan tindakan beberapa pihak yang sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa negara ke ambang kemusnahan.
15. Kita sebenarnya belum menyaksikan usaha sebegini rupa semenjak kejadian-kejadian yang berlaku sebelum tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Suara-suara kebencian dan kemarahan, suara-suara berprasangka buruk dan penuh syak wasangka, dan suara-suara kemusnahan dan kebobrokan yang cuba menghancur-leburkan keharmonian, kerjasama dan persefahaman yang telah kita bina dari runtuhan tragedi ini.
16. Saya menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit dan bersuara. Biarlah suara-suara rakyat yang penuh rasa hormat dan mahabbah, suara-suara yang penuh timbang rasa dan kepercayaan, suara-suara perpaduan dan integrasi mengalahkan suara-suara sumbang yang penuh kebencian, dendam kesumat, perbalahan dan kemusnahan.
17. Kita perlu mengubah halatuju kita dari arah polarisasi yang menjadi-jadi menuju arah penyepaduan yang lebih jitu. Kita perlu hentikan semangat perkauman yang keterlaluan, hentikan budaya menghasut persengketaan dan kebencian terhadap penganut agama, dan merapatkan silaturrahim sesama kita di dalam semangat perpaduan.
18. Para pemimpin dari kedua-dua belah pihak perlu mengenepikan isu kepartian dan menunjukkan semangat kepimpinan sejati untuk meleraikan ketegangan ini dan berusaha memperbaiki keadaan.
Konsensus nasional
19. Maka telah tiba waktunya untuk kita semua mencapai satu konsensus nasional terhadap isu-isu yang teramat penting ini yang mendatangkan impak terhadap identiti kita sebagai sebuah bangsa dan negara.
20. Dengan memegang kukuh pada semangat perlembagaan, semua pihak perlu berhenti mempersoal kedudukan utama agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
21. Dalam menegaskan kedudukan Islam dan mengakui bahawa orang Islam merupakan majoriti penduduk di negara ini, kita mesti menolak tanggapan bahawa Islam sedang terancam. Kita mesti menolak tanggapan bahawa wujudnya satu konspirasi jahat untuk merubah status Islam sebagai agama bagi Persekutuan kepada satu agama yang lain.
22. Pada masa yang sama kita perlu memperakui hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan terpakai buat semua agama lain di tanah air kita. Kita adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai komuniti agama. Dari sudut ini, penganut agama Buddha, Taoisme, Kristian, Hindu, Sikh dan penganut-penganut agama etnik lain perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan agama mereka sebagaimana yang mereka pilih.
23. Dalam menuju konsensus ini, marilah kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang amat mustahak untuk negara kita maju ke hadapan.
24. Marilah kita bekerjasama untuk mengatasi masalah-masalah dalam isu tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawapan. Tidak kira di peringkat Pusat mahupun di negeri-negeri, marilah kita menetapkan iltizam untuk menghapuskan barah rasuah yang menghantui kita.
25. Masalah kenaikan harga barang tidak mengenal batas kepartian. Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan mencari jalan penyelesaian yang tidak terus mendatangkan beban.
26. Daripada kita mengutuk isu-isu keselamatan negara berdasarkan khayalan kita, marilah kita membantu pasukan polis untuk membanteras jenayah dan dengan langsungnya membuatkan tempat tinggal kita, sekolah-sekolah kita, malah pusat-pusat membeli belah kita lebih selamat.
27. Adalah menjadi tanggungjawab moral kita, khusus di kalangan kita yang telah dipilih untuk mewakili rakyat, untuk melangkaui batas kepartian dan berganjak menuju suatu konsensus nasional demi membawa Malaysia ke hadapan.
28. Tugas kita terhadap negara, yang jelas lebih mustahak dari tugas kita terhadap parti, memaksa kita memikul cabaran ini. Kita mesti mengukuhkan azam dan mengumpul keseluruhan kekuatan moral kita demi memastikan kejayaan bersama.
KUALA LUMPUR 26 JAN: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata, isu berkaitan rakyat termasuk kos kenaikan sara hidup akan menjadi keutamaan untuk dibincangkan dalam konvensyen Pakatan Rakyat pada 8 Mac depan.
“KEADILAN akan menekankan isu-isu yang berkaitan isu-isu rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos akibat kegagalan kerajaan Barisan Nasional akan diberikan tumpuan. Selain itu, isu yang sekarang yang giat dicanangkan iaitu isu agama dan perkauman juga perlu diberi perhatian
“Namun secara khusus masih dibincangkan di peringkat sekretariat Pakatan, di mana hasil perbincangan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama pimpinan.
“Sebelum dibentangkan ke peringkat pimpinan, Mesyuarat dilaksanakan antara Seketariat Pakatan Rakyat, di mana antara anggotanya terdiri daripada Setiausaha Agung Pas, DAP, dan, KEADILAN. Mesyuarat antara seketariat dan pimpinan Pakatan Rakyat akan dilaksanakan minggu depan,” katanya.
Perkara sama turut dinyatakan ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menganggap Pakatan perlu menyediakan penyelesaian alternatif terhadap masalah utama rakyat sekarang, iaitu kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
“Kita fokus kepada isu nasional, iaitu kenaikan harga barang yang membebankan rakyat. Pakatan Rakyat perlu memberi penekanan isu ini dan memberi jalan alternatif kepada rakyat dalam menangai masalah kenaikan kos sara hidup, di mana perkara ini gagal diselesaikan oleh Umno BN,” katanya.
Selain itu, beliau menyatakan isu lain perlu diketengahkan dalam konvensyen tersebut adalah persediaan menghadapi Pilihan Raya Sarawak yang akan dilangsungkan dalam tempoh dua tahun.
“Pilihan raya Sarawak juga harus diberi penekanan, dari segi gerak kerja dan sebagainya, di mana ia akan berlansung dua tahun dari sekarang, dari pihak KEADILAN sendiri, gerak kerja pilihan raya sudah dimulakan, ” katanya.
Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen peringkat kebangsaan di Selangor pada 8 Mac 2014, bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam. Konvensyen kali ini adalah yang kelima semenjak 2008 dan yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 dilangsungkan pada Mei 2013.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat begitu serius apabila sekali lagi membuat tawaran perbincangan konsensus nasional dengan Barisan Nasional (BN), tiga hari selepas gesaan sama dikeluarkan beliau sebelum ini.
Walaupun sehingga kini BN tidak pernah melayan gesaan ketua pembangkang itu, Anwar dalam perutusannya hari ini berkata, isu-isu penting yang melanda negara ini memerlukan perbincangan antara kerajaan dan pembangkang bagi mencapai satu persetujuan.
"Maka telah tiba waktunya untuk kita semua mencapai satu konsensus nasional terhadap isu-isu yang teramat penting ini yang mendatangkan impak terhadap identiti kita sebagai sebuah bangsa dan negara.
"Dengan memegang kukuh pada semangat perlembagaan, semua pihak perlu berhenti mempersoal kedudukan utama agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan," kata Anwar dalam satu program di Selangor hari ini.
Isu berkaitan kenaikan kos sara hidup dan penggunaan kalimah Allah menjadi topik hangat di negara ini, apabila Putrajaya mula memansuhkan subsidi beberapa barangan dalam program rasionalisasi subsidi dan juga rampasan bible berbahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
"Dalam menegaskan kedudukan Islam dan mengakui bahawa orang Islam merupakan majoriti penduduk di negara ini, kita mesti menolak tanggapan bahawa Islam sedang terancam.
"Kita mesti menolak tanggapan bahawa wujudnya satu konspirasi jahat untuk merubah status Islam sebagai agama bagi Persekutuan kepada satu agama yang lain," katanya.
Anwar sebelum ini telah mengeluarkan jemputan sama kepada Putrajaya bagi menyelesaikan kemelut berkenaan ekoran beberapa siri demonstrasi dan tindakan rakyat yang agak keterlaluan sehingga dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Demonstrasi Umno Pulalu Pinang baru-baru ini juga membangkitkan isu 13 Mei akan berulang ketika mereka membantah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bubuk Machang Lee Khai Loon menyuapkan kangkung kepada replika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Dalam menuju konsensus ini, marilah kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang amat mustahak untuk negara kita maju ke hadapan.
"Marilah kita bekerjasama untuk mengatasi masalah-masalah dalam isu tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban. Tidak kira di peringkat pusat mahupun di negeri-negeri, marilah kita menetapkan iltizam untuk menghapuskan barah rasuah yang menghantui kita," katanya.
Masalah kenaikan harga barang jelasnya tidak mengenal batas kepartian, sehubungan itu, beliau menyeru agar pemimpin tanpa mengira perbezaan parti perlu berganding bahu untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan mencari jalan penyelesaian yang tidak terus mendatangkan beban.
"Daripada kita mengutuk isu-isu keselamatan negara berdasarkan khayalan kita, marilah kita membantu pasukan polis untuk membanteras jenayah dan dengan langsungnya membuatkan tempat tinggal kita, sekolah-sekolah kita, malah pusat-pusat membeli-belah kita lebih selamat.
"Adalah menjadi tanggungjawab moral kita, khusus di kalangan kita yang telah dipilih untuk mewakili rakyat, untuk melangkaui batas kepartian dan berganjak menuju suatu konsensus nasional demi membawa Malaysia ke hadapan.
"Tugas kita terhadap negara, yang jelas lebih mustahak dari tugas kita terhadap parti, memaksa kita memikul cabaran ini. Kita mesti mengukuhkan azam dan mengumpul keseluruhan kekuatan moral kita demi memastikan kejayaan bersama," saran Anwar dalam ucapannya. – 26 Januari, 2014.
KUALA LUMPUR 24 Jan - Barisan Nasional (BN) berkemungkinan akan kalah teruk pada pilihan raya akan datang sekiranya isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak diatasi dengan segera.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, biarpun kerajaan kini giat menjalankan operasi pemantauan dan kawalan harga di seluruh negara, namun jika kerajaan gagal menangani kemarahan rakyat itu, peluang mempertahankan kerusi kerajaan dikhuatiri tipis.
"Ya boleh, tapi sekarang ini saya nampak ada sedikit kawalan harga yang dilakukan oleh pemerintah, ini adalah usaha yang baik tetapi pendapat Tun Daim itu memanglah mempunyai asasnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum yang bertajuk 'Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam' di Pusat Islam, di sini, hari ini.
Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meramalkan BN akan tumbang sekiranya pilihan raya diadakan ketika kemarahan sedang memuncak berikutan isu kos sara hidup.
Menurut Daim, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak cekap dan boleh mendatangkan mudarat hilangnya kuasa BN dalam PRU 14 akan datang.
"Kerajaan gagal mengawal isu kenaikan harga barang.
"Isu pengurangan subsidi yang selama ini dinikmati rakyat perlu diteruskan dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan di mana rakyat nampak kerajaan boros dalam perbelanjaan negara," jelas beliau.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan satu kajian semula dilakukan ke atas sistem perbankan dan kewangan Islam untuk memastikan sistem itu berlandaskan prinsip ekonomi syariah. Beliau berkata pada awal-awal dahulu, ketika sistem itu baru mencari tapak dalam industri, terdapat kecenderungan untuk mencipta produk kewangan Islam tanpa mengikut piawaian dan prinsip Islam yang ketat. "Masanya kini sesuai dan tepat untuk menjalankan satu kajian semula ke atas sistem ini dengan tujuan memperkemaskannya. Ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan jaminan kualiti yang berterusan yang perlu kita lalui untuk memastikan amalan kita benar-benar mengikut kehendak syariah," katanya.
Tengku Razaleigh menegaskan dalam ceramahnya yang bertajuk "Islamic Finance: Straying From Syariah and Pioneer's Path" semasa melancarkan sebuah buku bertajuk "Islamic Transactions and Finance: Principles and Developments" di Institut Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) semalam.
Tengku Razaleigh berkata sistem tidak akan terjejas jika tujuannya adalah untuk mengkaji semula tentang apa yang halal dan haram dalam perbankan dan kewangan Islam. Beliau berkata ketika peringkat awal perbankan Islam di negara ini, sememangnya ini tidak dapat dielakkan kerana pemahaman dan pengukuran sistem ekonomi dan kewangan diasaskan kepada sistem konvensional.
Ini mungkin telah menyebabkan pembangunan produk yang kurang sempurna dan tidak menyeluruh apabila diukur berdasarkan ekonomi syariah, tegasnya. Mengenai buku itu, Tengku Razaleigh berkata ia adalah koleksi esei berdasarkan penyelidikan dan amalan kewangan Islam di negara ini. "Saya pasti ia amat bernilai dan amat membantu bagi pengamal dan pelajar perbankan Islam," kata beliau. Buku itu diterbitkan bersama oleh IAIS dan Malaysian Current Law Journal Sdn Bhd. Salah seorang daripada penyusun buku ini ialah Sheila Ainon Yusoff.
Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi mengulangi kesediaan mereka bebincang bersama pimpinan parti kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ekonomi dan isu pekauman yang timbul di negara ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perbincangan berkenaan perlu bagi mengelakkan tercetusnya insiden yang tidak diingini, lebih-lebih lagi apabila isu peristiwa berdarah 13 Mei dibangkitkan ketika demonstrasi di Pulau Pinang baru-baru ini.
"Kita ingin jelaskan isu ekonomi, kemiskinan, kenaikan harga barang adalah isu rakyat.
"Tidak harus diputarbelitkan dan menakut-nakutkan rakyat termasuk yang dikaitkan dengan isu kangkung, itu mahu dikaitkan dengan 13 Mei," kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
"Selalunya yang menjadi mangsa adalah rakyat bawahan. Sebab itu kami menggesa Perdana Menteri yang merangkap Pengerusi BN segera menyambut saranan ini," katanya lagi.
Sementara itu, rakan PR daripada DAP, Lim Kit Siang menjelaskan, bukan setakat DAP, malah semua pihak termasuk PKR dan PAS tidak mahu peristiwa berdarah itu berulang kembali.
"Tak pernah dalam negara kita lalui zaman macam ini. Ada satu pihak rela cetuskan kebencian kaum dan agama berasaskan kenyataan palsu dan tidak benar untuk menunjukkan keadaan tak baik di negara ini," kata Ketua Parlimen DAP itu.
Jelas Kit Siang, yang juga ahli Parlimen Gelang Patah, insiden-insiden menggunakan "senjata 13 Mei" adalah amat berbahaya.
"Apa yang kita lihat mungkin hasutan senjata 13 Mei kedua. Dulu sebelum PRU13. Siapa cinta negara, siapa khianat negara. Sudah jelas," katanya.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu turut menegaskan isu himpunan membantah kenaikan harga barang sehingga mencetuskan kontroversi itu bukan bertujuan untuk menimbulkan isu perkauman.
"Kami orang Melayu di Pulau Pinang tidak terpanggil langsung bahawa isu kangkung adalah isu perkauman.
"Ia adalah isu ekonomi, kemiskinan dan kenaikan harga barang. Memang BN Pulau Pinang yang lemas dan memainkan isu perkauman," katanya.
Minggu lalu, lebih 600 ahli Umno Pulau Pinang telah mengadakan demonstrasi di Seberang Jaya membantah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk Lee Khai Loon menyuapkan kangkung kepada replika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam demonstrasi tersebut, peserta turut didakwa membawa sepanduk tertulis: "Kerana mulut pemimpin DAP berlakunya 13 Mei 1969... adakah anda mahu lagi?"
Selain itu, sepanduk tertulis," Hina PM seperti hina Melayu, "Allahu Akbar", dan "Hidup Melayu" turut kelihatan. – 22 Januari, 2014.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mengkritik Putrajaya, mendakwa rasuah pada masa ini lebih teruk kerana birokrasi yang tidak berpenghujung dan pita merah kerajaan.
Beliau berkata, adalah lebih mudah untuk mencegah rasuah daripada cuba untuk menangkap si penjahat itu, dengan mencadangkan sistem kerja membabitkan lebih banyak pegawai dan borang permohonan yang lebih mudah difahami.
Dalam posting terbaru di blognya, Dr Mahathir berkata, penjawat awam di peringkat tertinggi perlu menunjukkan keputusan ketara dalam kerja mereka kepada kakitangan bawahan, dengan mengemukakan laporan bulanan secara terperinci yang menunjukkan prestasi mereia.
“Pemohon lazimnya tidak pertikaikan keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa atau mengadu kerana lewat,” katanya.
Dr Mahathir berkata, jika permohonan itu ditolak atau lewat, akan ada godaan untuk menawarkan rasuah bagi menyelesaikan isu itu.
“Memberi rasuah kurang bahaya jika dibandingkan dengan mencabar pihak berkuasa secara langsung dengan terus melakukan sesuatu tanpa kelulusan yang diperlukan,” katanya.
Beliau mencadangkan pihak berkuasa memastikan syarat kelulusan permohonan adalah jelas, ringkas dan diketahui orang awam.
“Apabila semuanya jelas dan terang, pegawai di depan akan terdedah sepenuhnya kepada penyelianya, yang akan menilai proses permohonan untuk memastikan terma dan syarat dipenuhi.
“Dalam keadaan di mana penyelia pegawai bersubahat dengannya untuk mendapat bahagian dalam rasuah, satu siasatan perlu dijalankan serta merta.
“Kedua-dua pegawai dan penyelia atasannya perlu bertanggungjawab atas akibat tindakan mereka,” katanya.
Dr Mahathir juga mencadangkan laporan bulanan mengenai prestasi pegawai, terutama yang berdepan dengan pemohon didedahkan kepada orang awam.
“Laporan itu juga perlu dengan jelas menyatakan jumlah permohonan yang ditolak dan sebabnya. Sebarang tindakan yang diambil, terutama membabitkan rasuah juga perlu dimaklumkan kepada umum,” katanya.
Katanya, bagi mengurangkan lagi peluang mewujudkan rasuah, borang permohonan perlu dibuat seringkas mungkin.
Penjelasan dan penerangan cara mengisi borang yang panjang berjela perlu dielakkan.
Dr Mahathir mencadangkan jawapan Ya/Tidak dalam bahagian kotak perlu diisi oleh pemohon sementara pegawai hanya perlu menanda atau memangkah kotak yang disediakan untuk setiap jawapan pemohon.
“Setiap pegawai hanya perlu memeriksa, meluluskan atau menolak jumlah kecil syarat yang diperlukan. Saya cadangkan carta alir kerja.
“Ia hanya memerlukan masa beberapa minit untuk tanda atau pangkah di kotak yang diperlukan sebelum memberikan permohonan itu kepada pegawai berikutnya,” katanya.
Dr Mahathir berkata, keseluruhan proses itu termasuk keputusan semua pegawai tidak patut mengambil masa lebih daripada tiga hari.
Selepas tiga hari, katanya, pemohon dikehendaki oleh undang-undang untuk datang sendiri ke pejabat untuk mengetahui hasil permohonannya.
Beliau berkata, semua pertemuan antara pegawai dan pemohon perlu dirakam dan direkodkan dalam diari.
“Jumlah pegawai yang berurusan dengan pemohon perlu mencukupi, dan jika perlu, lebih ramai pegawai patut dilantik.
“Pegawai kanan berhak untuk menyoal pegawai bawahannya jika mereka tidak berpuas hati dengan permohonan yang tidak diluluskan,” katanya.
Dengan cara ini, katanya, pegawai kanan dapat bertemu dan memberi penjelasan kepada pemohon punca permohonan mereka ditolak atau mungkin ada kesilapan yang boleh diperbetulkan dan borang dihantar semula.
“Mana-mana pegawai yang didapati melengahkan alir kerja lebih daripada tiga hari patut dipanggil untuk memberi penjelasan.
“Jika pegawai yang sama dipanggil lebih daripada tiga kali untuk beri penjelasan, dia patut disenaraihitamkan, sama ada tidak dinaikkan pangkat atau dipindahkan ke jawatan lain,” katanya.
Dr Mahathir berkata, cadangannya hanya pendapatnya dan berharap Putrajaya akan mempertimbang usulnya itu.
“Orang awam patut diberi ruang untuk memberikan cadangan dan bantahan berhubung prosedur dan borang,” katanya.
Beliau mendakwa, sepanjang 22 tahun memimpin Malaysia, beliau juga melaksanakan cadangan berkenaan setakat yang boleh.
“Contohnya ialah Kuala Lumpur pada awal 1980-an berkembang dengan pesat kerana pada masa itu, pemohon lebih mudah mendapatkan kelulusan,” katanya. – 22 Januari, 2014.
Pertukaran dua pegawai tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berkuat kuasa serta merta memalukan dan tidak mewakili PKR sebagai sebuah parti yang berprinsip dan demokratik, kata PKR Selangor.
Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie, berkata PKR Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan kepimpinan kerajaan negeri yang 'menghukum tanpa bicara' apabila mengarahkan pertukaran dua pegawai tertinggi PKNS ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Tidak wajar kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil tindakan terburu-buru menghukum penjawat awam tanpa memberi peluang pembelaan dan siasatan secara menyeluruh dilakukan.
“PKR bertegas mempertahankan prinsip keadilan dan hak setiap penjawat awam yang terlibat untuk membela diri dan disiasat secara berhemah tanpa memalukan sesiapa. Kami menyatakan rasa solidariti kepada Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan setiausaha kerjanya, Norita Mohd Sidek atas tindakan yang dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan Othman dan Norita ditukarkan serta-merta ke pejabat SUK dan dilarang menghadiri mensyuarat ahli lembaga pengarah PKNS.
Abdul Khalid berkata, keputusan pertukaran itu dimaklumkan kepada kedua-dua pegawai terlibat dan meminta mereka memberi kerjasama penuh kepada siasatan.
Shuhaimi berkata, malang bagi Selangor melaung-laungkan slogan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan tetapi mengambil langkah mengeruhkan lagi keadaan.
Katanya, PKR Selangor akan mengambil apa jua tindakan proaktif bagi mempertahankan maruah dan kredibiliti penjawat awam di Selangor.
“Amat malang bagi sebuah negeri yang melaungkan slogan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan tetapi mengeruhkan lagi keadaan seperti pepatah Melayu 'orang lain yang makan nangka, orang lain pula terkena getahnya',” katanya.
Abdul Khalid selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada minggu lalu menegaskan tindakan menggugurkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah PKNS dilakukan oleh Othman dan mesyuarat kerajaan negeri hanya bersetuju dengan perkara itu.
Kenyataan itu bagaimanapun disanggah Norita dengan mendakwa kuasa lantikan ahli perbadanan itu terletak di tangan exco.
Norita berkata, PKNS memaklumkan kepada Azmin mengenai penamatan jawatannya melalui sepucuk surat bertarikh 8 Januari.
"Tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan pada 4 Disember 2013.
"PKNS ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik ahli perbadanan adalah di tangan exco dan bukan di tangan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi memaklumkan Azmin kekal digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS dan tidak akan dilantik kembali.
Katanya, surat Othman pada 16 Januari lalu yang mengatakan PKNS menarik balik pengguguran tersebut adalah tidak benar.
"Kerajaan negeri Selangor tidak pernah mengarahkan PKNS supaya menarik semula surat penamatan perkhidmatan Mohamed Azmin yang bertarikh 8 Januari 2014 tersebut," katanya.
Media semalam melaporkan Azmin menerima surat mengatakan surat pengguguran beliau yang diterima pada 8 Januari adalah "tidak mengikut prosedur”.- 21 Januari, 2014.
SHAH ALAM, 21 JAN : Kerajaan negeri mensasarkan pembinaan 35,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh empat tahun untuk memberi peluang kepada semua rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah membina 10,000 unit rumah mampu milik di Kota Puteri dan Antara Gapi.
Katanya,beberapa siri perbincangan turut diadakan bersama syarikat pemaju lain seperti Kwasa Land yang juga anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan menetapkan dasar baru iaitu pemaju mesti membina 40 hingga 50 peratus rumah mampu milik bagi mencapai sasaran itu.
“Kerajaan negeri memperkenalkan dasar baru untuk memastikan kepelbagaian pembinaan rumah mampu milik yang wajib dibina pemaju dalam sesebuah projek.
“Polisi baru ini membabitkan lebih banyak jenis rumah bagi memenuhi kehendak rakyat yang berpendapatan rendah sehingga yang berpendapatan isi rumah RM8000 sebulan dan dibina bergantung kepada permintaan,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian, baru-baru ini.
Iskandar berkata, kerajaan negeri turut mensasarkan pembinaan 2,000 unit rumah sewa dengan peruntukan RM150 juta bagi penduduk yang tidak memiliki kediaman atau tidak berhasrat membeli rumah di Selangor.
Katanya, peruntukan RM100 juta juga turut digunakan bagi melaksanakan projek pertama pembangunan Rumah Selangorku yang mensasarkan pembinaan 2,600 unit di Sungai Sering, Hulu Kelang yang dijangka bermula tahun ini.
Sementara itu, ketika mengulas berkenaan halangan yang dihadapi rakyat Selangor untuk memiliki rumah sendiri, Iskandar berkata, ia seringkali tertumpu kepada isu pinjaman bank.
“Masalah itu akan cuba diselesaikan kerajaan negeri melalui peruntukan RM50 juta setahun sebagai bantuan pinjaman kepada pembeli yang mengalami kesukaran dengan pinjaman bank.
“Kita pernah berbincang dengan pihak bank untuk meletakkan sejumlah RM10 juta ke dalam akaun bank bagi memudahkan pinjaman dan urusan pembayaran.
“Malangnya, rancangan itu tidak mendapat kerjasama daripada pihak bank walaupun Bank Negara Malaysia menyatakan persetujuan mereka sebelum ini. Kita sememangnya mahu membantu daripada segi pinjaman perumahan, sebab itu menyediakan peruntukan untuk membantu pembeli,” katanya.