Loading...

Sunday, March 7, 2010

BBC membidas tindakan keluar parti dan menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim

Ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor di sini ingin melafazkan sokongan kami terhadap Pakatan Rakyat (PR) Selangor dan kepimpinan Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Khalid bin Ibrahim.

BBC juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keluar parti oleh ketiga-tiga orang Ahli Parlimen kawasan Bayan Baru, Nibong Tebal dan Bagan Serai, iaitu Zahrain Hashim, Tan Tee Beng dan Mohsin Fadzli Samsuri, yang sekarang merupakan Ahli Parlimen bebas.

BBC melihat tindakan yang membelakangi mandat yang diberikan rakyat ini sebagai sebahagian daripada rancangan Barisan Nasional (BN) untuk menghalang hasrat rakyat dan menghancurkan PR.

Kejadian ahli-ahli parlimen mengisytiharkan mereka hilang keyakinan kepada PKR dan mahu membina "barisan indipenden" bukanlah suatu hal yang terjadi tiba-tiba. Tindakan pelompat ini didorong oleh imbuhan kewangan. BBC percaya bahawa sebab-sebab yang diberikan oleh mereka merupakan alasan semata-mata untuk menutup kelemahan-kelemahan mereka sendiri.

BBC yakin dengan kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan EXCOnya yang telah bekerja keras untuk membangunkan negeri Selangor. Di bawah konsep besar "Merakyatkan Ekonomi Selangor", kerajaan PR Selangor telah membawa perubahan dalam mentadbir kerajaan negeri berbanding dengan kerajaan dahulu. Pelbagai program telah dilancarkan untuk memanfaat golongan anak-anak kecil, pemuda yang menuntut di IP, golongan usia emas dan sebagainya.

BBC juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk dasar-dasar kerajaan. BBC juga bergiat aktif dalam kesemua jawatankuasa tetap dan jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan Dewan Negeri Selangor untuk memantau pentadbiran. Mesyuarat PR Selangor diadakan dua atau tiga minggu sekali untuk membincangkan perkara-perkara berkenaan dengan pentadbiran kerajaan negeri dan mesyuarat PR di Selangor merupakan antara yang terawal diadakan berbanding dengan PR di negeri-negeri lain.

Bagi menunjukkan komitmen dan perpaduan sesama kita, Pakatan Rakyat Selangor juga akan mengadakan Konvensyen PR Selangor yang pertama pada 7 Mac 2010 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Semua wakil rakyat PR Selangor dan pemimpin-pemimpin pusat akan bersama kita dalam konvensyen itu sempena ulang tahun kedua PR mentadbir Selangor untuk berwacana tentang halatuju pentadbiran negeri Selangor.

YB Dr. Abdul Rani bin Osman

Timbalan Pengerusi BBC

ADUN Meru, Selangor.

No comments: