Loading...

Tuesday, March 30, 2010

Ucapan Perasmian Ketua Cabang kota Raja




Saudara Pengerusi Majlis

Yang Berhormat Suhaimi Shafie – ADUN Seri Muda merangkap Timbalan Ketua Cabang Kota Raja

Naib-Naib Ketua Cabang Kota Raja,

Ahli-ahli Jawatan Kuasa Cabang Kota Raja

Tuan-tuan dan Puan-Puan hadirin yang saya hormati

SALAM SEJAHTERA DAN SALAM PERJUANGAN …..

Pertamanya saya ingin merakam ucapan syabas kepada Saudara Kamarulzaman dan pasukan urusetia persiapan MATC ini kerana telah bertungkus lumus dalam menjayakan mesyuarat ini.

Tahniah juga kita ucapkan kepada sayap Wanita dan Angkatan Muda yang telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing semalam.


Tuan-tuan dan Puan-Puan,

Sudah lebih 2 tahun kita menerajui tampuk pemerintahan Negeri Selangor selepas kita berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU ke 12 pada 8 Mac 2008 yang lalu.

Kejayaan kita ini merupakan satu anjakan perubahan pola mengundi oleh rakyat Selangor secara keseluruhannya. Selain Negeri Kelantan, 3 Negeri lain di Semenanjung berubah tampuk pemerintahan seperti mana tuan puan sedia maklum.

Tsunami Mac 2008 juga begitu ‘signifikan’ kerana ianya merupakan pertama kali rakyat menolakan penguasaan 2/3 kerajaan Barisan Nasional di Parlimen semenjak Negara mencapai kemerdekaan 53 tahun yang lalu.

Selangor yang dikatakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional ‘tumbang’ kerana rakyat di luar sana mahukan perubahan, lantaran mereka memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan di Negeri Selangor untuk pengisian terhadap agenda perubahan tersebut.

Sebagai kerajaan apakah yang telah kita lakukan selama 2 tahun ini?? Ramai yang mahukan kita melakukan pelbagai perkara dengan serta merta dan ada yang beranggapan kita mampu meluluskan itu dan ini dengan sekelip mata.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Adun-Adun Pakatan Rakyat lebih-lebih lagi dari Keadilan berkerja keras untuk merealisasikan agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ demi kepentingan Rakyat.

Pelbagai program telah dijalankan bagi tujuan tersebut. Pemberian 20 meter padu air percuma merupakan salah satu dari 7 program kerajaan Negeri bagi kemudahan dan kesejahteraan rakyat Selangor.

Adun-adun Pakatan Rakyat sering turun padang bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

Sejak kebelakangan ini Pakatan Rakyat terutamanya di Negeri Selangor diasak oleh Barisan Nasional dari segenap penjuru bagi mengugat kestabilan Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor.

Polis dan SPRM diperkudakan untuk memberi tekanan terhadap kita.

Kita juga mendapati beberapa agensi kerajaan Persekutuan bukan sahaja tidak memberikan kerjasama kepada kita sebaliknya menjalankan usaha-usaha sabotaj bagi mengagalkan projek-projek dan program-program kerajaan Negeri.

Ini bertujuan untuk membangkitkan perasaan marah rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor. Walaubagaimana kita tetap teguh dengan mendapat sokongan Rakyat Selangor dan kepercayaan ahli-ahli parti kepada tampuk pemerintahan kerajaan Negeri.

Tuan-tuan dan Puan-puan.

Kita juga mengalami satu senario politik sejak kebelakangan ini apabila beberapa orang wakil rakyat kita ‘melompat’ menjadi wakil rakyat bebas.

Kita berpendapat bahawa ini adalah proses politik biasa dalam mematangkan parti kita yang masih muda ini. Kita juga beranggapan bahawa ianya juga merupakan satu proses pembersihan dalaman parti dalam memantapkan lagi parti.

Kita berpendapat bahawa perbezaan pendapat di antara ahli-ahli parti merupakan satu proses yang sihat tetapi kita juga harus mendisplinkan diri demi kepentingan parti. Kita harus membawa apajua perbezaan pendapat dalam satu perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian.

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

Apajua tindakan kita akan terus diperhati oleh musuh-musuh kita di luar sana. Mereka akan mengambil kesempatan untuk memecah belahkan kesepakatan kita demi kepentingan mereka.

Kita harus terus bersatu dan mengenepikan apajua perbalahan di antara kita. Musuh sebenar kita adalah UMNO dan Barisan Nasional. Mereka sedang giat menjalankan pelbagai aktiviti bagi memenangi hati Rakyat dalam usaha mereka untuk merampas Dun-dun dan Parlimen yang kita kuasai.

Dua tahun adalah tempuh yang begitu singkat bagi kita melaksanakan aktiviti-aktiviti kita. Rakyat melihat apa yang kita lakukan. Jadi kita harus menunjukkkan bahawa kita di dalam parti adalah bersatu padu dan bekerja keras dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Hubungan kita dengan pihak PAS Kota Raja adalah baik dan kita sering mengadakan aktiviti bersama dengan mereka. Kita juga berharap Wanita dan AMK terus menjalinkan hubungan yang akrab dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan dengan rakan PAS kita di kawasan Kota Raja.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Tuan Puan merupakan tunjang kepada kekuatan Cabang Kota Raja. Dengan keahlian kita yang berjumlah lebih 7,000 orang Cabang kita merupakan Cabang yang paling besar sekali di seluruh Malaysia. Dengan sokongan padu Tuan/Puan kita kan terus memastikan bahawa Kota Raja akan terus dikuasai oleh Pakatan Rakyat dalam piliharaya yang akan datang.

Sekian Terima kasih dan Salam Perjuangan.

KETUA CABANG KOTA RAJA
Tarikh : 28 Mac, 2010

No comments: