Saturday, May 11, 2013

Azmin kecam fitnah Umno, terus berjuang bersama KEADILAN



(Oleh Aisha Geoffrey)

PETALING JAYA 10 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali mengecam khabar angin yang disebar Umno kononnya beliau akan meninggalkan parti.

Tegasnya, ia bertujuan menjatuhkan kredibiliti dan mempersoal kesetiaan beliau kepada parti bagi memporak perandakan Pakatan Rakyat.

Azmin
“Khabar angin itu dimulakan Umno BN, dan saya percaya ia dikaitkan dengan isu perlantikan sebagai Menteri Besar (MB) Selangor,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Azmin yang juga Pengerusi KEADILAN Selangor tegas menolak persepsi buruk yang dirancang Umno kononnya beliau kemaruk untuk menjadi Menteri Besar.

“Mereka telah bersungguh-sungguh membina persepsi bahawa saya terlalu kemaruk untuk menjadi MB. Fitnah ini adalah satu penghinaan terhadap integriti saya,” katanya.

Justeru, Azmin sekali lagi menegaskan akan tetap bersama KEADILAN dan kekal dengan jawatan beliau.

“Saya tidak akan meninggalkan perjuangan rakyat. Ia pembohongan yang dasyat bahawa saya akan menyertai Umno.

“Kepada saudagar khabar angin, saya menegaskan bahawa saya akan meneruskan perjuangan dengan lebih gigih dan tidak berhasrat meletakkan jawatan sama ada dari parti mahupun wakil rakyat,” kata Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu.


No comments: