Friday, May 17, 2013

Barisan EXCO Selangor Dari DAP





SHAH ALAM - Setelah beberapa ketika menjadi teka-teki, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari DAP akhirnya disahkan untuk menyertai barisan Exco Selangor selepas Pakatan Rakyat (PR) berjaya membentuk semula kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  

Ean Yong Hian Wah yang dipilih menyertai barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor mahu memastikan masalah air di negeri ini dapat diselesaikan.

Katanya, sasaran pada penggal ini ialah supaya kerajaan negeri dapat mengambil alih industri air daripada Syabas.

"Kita mahu memastikan tarif air tidak dinaikkan sesuka hati," katanya kepada Sinar Harian Online.

Selain Ean, DAP juga meletakkan bekas Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Khim untuk memenuhi Kabinet Selangor.

Menurut Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng, Teng meminta supaya beliau ditukar daripada jawatan Speaker kepada Exco.

Teng merupakan Adun Sungai Pinang sementara Ean merupakan Adun Seri Kembangan.

Sinar Harian sebelum ini ada menyiarkan sumber mendedahkan Teng dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh bakal melengkapkan kuota DAP bagi menggantikan dua bekas Exco dari parti itu, Teresa Kok dan Ronnie Liu.

Nasib Chang Khim dan Hannah lebih baik berbanding kedudukan Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong  yang kini dikatakan seperti telur di hujung tanduk.

Sementara itu, Ean ketika dihubungi memberitahu, beliau belum mengetahui portfolio yang akan dikendalikannya.

Namun berharap, beliau dikekalkan sebagai Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram.

"Ya, ada mengharap," katanya.

Dalam senarai barisan exco sebelum ini, DAP dan Pas mempunyai tiga wakil sementara PKR memiliki empat wakil.

Komposisi barisan exco dijangka mengalami perubahan kerana DAP dan Pas masing-masing memenangi 15 kerusi sementara PKR hanya memperoleh 14 kerusi.


sinarharian

No comments: