Kongres Nasional KEADILAN 2013
Ucapan Dasar Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Saudara-saudari anggota parti yang dihormati,
Selamat datang ke Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat Ke-9 pada
tahun ini. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa
syukur kehadrat Allah SWT kerana diberi peluang dan kesempatan untuk
berkumpul di sini. Kita juga merasa cukup bertuah kerana sekali lagi
diraikan sebagai tetamu di negeri Selangor Darul Ehsan. Selepas melalui
pelbagai cabaran di medan perang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
baru-baru ini, kita berkumpul kembali di sini – bermuhasabah,
memperkemas dan mempersiapkan parti untuk menghadapi pertempuran baru di
masa akan datang.
Kita juga merakamkan jutaan terima kasih atas kesudiaan Kerajaan
Negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Menteri Besar Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim kerana sudi meraikan kita di sini. Setinggi-tinggi
tahniah di atas perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor bagi
penggal keduanya.
Alhamdulillah, kejayaan mempertahankan Negeri Selangor membuktikan
bahawa usaha Pakatan Rakyat pada penggal yang lalu – mengangkat ekonomi
negeri, melakukan pelbagai perubahan, menambahbaik pengurusan dan
menaiktaraf kebajikan rakyat – telah berjaya mempertahankan negeri
Selangor di bawah teraju Pakatan Rakyat.
PRU13: Mandat dirampas lantaran kecurangan SPR
Pada 5 Mei yang lalu, rakyat sudah membuat keputusan yang jelas.
Keputusan yang disaksikan seluruh dunia – bahawa 51% rakyat Malaysia
telah memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat. Mandat ini semestinya
mewakili suara dan aspirasi rakyat yang menaruh harapan dan impian untuk
melihat Malaysia yang lebih baik, lebih adil dan lebih berdaya saing.
Walaupun rakyat berdepan dengan proses pilihan raya yang tempang,
akses media yang berat sebelah ditambah pula dengan liputan berunsur
fitnah dan propaganda jahat serta penyalahgunaan jentera dan
agensi-agensi kerajaan oleh Barisan Nasional, namun rakyat tetap bangkit
melawan dan membuat perubahan di peti undi. Hasilnya, Barisan Nasional
telah dihukum dan hanya meraih sokongan dari 47% rakyat, menjadikan
mereka sebuah kerajaan minoriti yang mana keabsahan (legitimacy) mereka
boleh dipertikai dan dipersoalkan. Rentetan dari perkembangan ini,
integriti dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sewajarnya
dipersoalkan!
Sesungguhnya mandat yang telah diberikan kepada Pakatan Rakyat dalam
PRU baru-baru ini telah dinafikan dan ‘dirampas’ oleh Barisan Nasional
lantaran kecurangan SPR yang mengkhianati proses pilihan raya. Pelbagai
bukti penyelewengan yang dilakukan oleh SPR telah berjaya dikenalpasti
dan kini dikumpulkan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh
Pengarah Strategi parti, YB Rafizi Ramli. Penggunaan dakwat hitam kekal
yang kononnya mampu bertahan pada jari pengundi selama lima (5) hari
ternyata satu pembohongan. Banyak laporan yang diterima bahawa dakwat
hitam tersebut tidak berkesan dan ada pengundi yang mendakwa dakwat
tersebut hilang sebaik saja dibasuh beberapa minit selepas mengundi!
Dakwat kekal yang tidak kekal ini adalah bukti jelas bahawa proses
PRU13 yang dikendalikan oleh SPR adalah tidak telus dan dicemari dengan
penipuan. Tujuan asal penggunaan dakwat kekal ini dilaksanakan
sebetulnya adalah untuk mengelakkan pengundian berulang akibat
ketidakyakinan rakyat terhadap kewibawaan dan ketelusan daftar pemilih
SPR. Namun apa yang berlaku, dakwat hitam yang dikatakan kekal bertahan
selama lima (5) hari ini rupa-rupanya hanya indah khabar dari rupa!
Lebih mengejutkan adalah alasan-alasan dangkal yang diberikan oleh pihak
SPR untuk menutup penipuan ini kononnya botol dakwat tersebut perlu
digoncang terlebih dahulu sebelum digunakan.
Selain itu, kita juga turut mendapat bukti tentang kes di mana jumlah
kertas undi yang berada di dalam peti undi selepas pengundian adalah
lebih banyak dari jumlah kertas undi yang dikeluarkan pada peringkat
awal. Ini berlaku di kerusi Parlimen Balik Pulau yang ditandingi oleh
calon KEADILAN dan di kerusi-kerusi DUN dibawahnya iaitu DUN Telok
Bahang dan DUN Pulau Betong. Kejadian ini membuktikan bahawa peristiwa
undi yang dikira melebihi dari kertas undi yang mulanya dikeluarkan
memang berlaku. Jika ia boleh berlaku di Parlimen Balik Pulau, sudah
tentu juga ia boleh berlaku di tempat-tempat lain.
KEADILAN dengan ini mencadangkan supaya ditubuh satu suruhanjaya
siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat projek pemberian kad pengenalan
sepertimana yang terbukti berlaku di Sabah agar diperluaskan ke seluruh
negara.
Kepimpinan SPR wajar letak jawatan
Rakyat pastinya akan menghakimi SPR yang ternyata gagal untuk
melaksanakan proses pilihan raya yang adil dan bersih walaupun tuntutan
rakyat yang dibuat berkali-kali melalui BERSIH ditolak kesemuanya
melainkan penggunaan dakwat kekal.
Sesungguhnya, seluruh rakyat Malaysia merasa amat kesal atas
kegagalan SPR melaksanakan amanah yang diberi rakyat dengan adil dan
saksama. Tindakan SPR ini mengingatkan kita kepada nasihat yang
diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada seorang sahabat, Abu Dzar
Al-Ghiffari:
“Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia
merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai
dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya”. (Hadis
riwayat Muslim)
Baginda SAW juga pernah bersabda:
“Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya
kiamat.” Ditanya kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, bagaimana
melenyapkan amanah itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah itu
diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya
kemusnahan!”
Justeru, kita akan terus menuntut agar kepimpinan SPR meletakkan
jawatan! Tuntutan rakyat yang disuarakan oleh BERSIH ternyata tidak
dilaksanakan sepenuhnya. SPR bukan sekadar gagal menjamin proses pilihan
raya yang bersih dan adil malah terlibat pula secara langsung dalam
jenayah penipuan bagi pihak Barisan Nasional.
Himpunan Blackout 505: Majoriti rakyat menuntut Reformasi sebelum rekonsilisasi
Susulan daripada kepincangan dan penipuan dalam PRU13 yang lalu,
Pakatan Rakyat telah menggerakkan Himpunan Blackout 505 (Gelita 505)
untuk menyatakan bantahan, kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap
proses pilihan raya yang tempang, tercemar dan curang.
Jelajah Black 505 di beberapa buah negeri – setakat ini di Selangor,
Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Terengganu
dan semalam di Melaka telah menyaksikan kehadiran ratusan ribu rakyat
yang turun menyatakan bantahan terhadap penipuan dalam PRU13 yang lalu.
Tawaran Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak yang dibuat selepas
kemenangan palsu PRU13 agar diadakan rekonsiliasi (reconciliation)
terbukti tidak ikhlas apabila ada pemimpin Barisan Nasional dengan
angkuh dan sombong mencabar sesiapa yang tidak bersetuju dengan sistem
pilihan raya negara supaya berpindah ke negara lain. Apakah pemimpin
Barisan Nasional tersebut mahu 51% rakyat Malaysia berpindah ke negara
lain? Sememangnya, di negara lain pun ada sistem ‘first past the post’.
Tetapi, jurang jumlah pengundi di kawasan yang besar tidaklah begitu
jauh bezanya dengan kawasan yang kecil jumlah pengundinya.
Sesungguhnya, kita telah menyaksikan dengan jelas bahawa SPR secara
terancang dan halus memastikan Barisan Nasional tetap memperolehi jumlah
kawasan Parlimen atau DUN lebih banyak berbanding parti lain, meskipun
jumlah undi popular yang diperolehi jauh lebih rendah. Maka itulah, apa
yang kita dapati sebagai hasil PRU13 ini, Barisan Nasional yang
memperoleh 47% undi popular (sekitar 5.2 juta pengundi) telah membolot
133 kawasan Parlimen. Manakala Pakatan Rakyat yang memperoleh lebih 51%
undi popular (iaitu sekitar 5.6 juta pengundi) hanya dapat menguasai 89
kawasan Parlimen.
Oleh yang demikian, sebagai suara majoriti rakyat, kita akan terus
menuntut agar kerajaan minoriti Barisan Nasional bersama-sama kita untuk
melaksanakan Agenda Pemulihan Demokrasi melalui reformasi politik yakni
reformasi pilihan raya dan reformasi Parlimen sebelum menawarkan
rekonsiliasi.
Pakatan Rakyat akan terus komited mempertahankan rakyat daripada
pelbagai kesusahan yang bakal diwujudkan dengan melaksanakan manifesto
suara majoriti rakyat termasuk memberikan pendidikan percuma,
menghapuskan perancangan cukai GST dan saman AES, menurunkan harga
barangan, menghapuskan rasuah dan kronisme daripada terus berleluasa.
Pakatan Rakyat untuk semua
Sesungguhnya, PRU13 yang baru berlalu menjadi saksi bahawa KEADILAN
telah mendapat dokongan yang cukup kukuh dan mantap terutamanya daripada
generasi muda, tanpa mengira agama dan kaum. Komitmen anak-anak muda
secara konsisten hingga ke hari ini (melalui perhimpunan Black 505)
jelas menyaksikan bersemaraknya budaya baru yang merakyat. Dengan jiwa
reformasi penuh membara, mereka berganding bahu dengan rasa mahabbah dan
persaudaraan, tanpa mengenal hujan dan panas.
Sesungguhnya, generasi muda adalah generasi harapan masa depan kita.
Merekalah penerus perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi
Malaysia tercinta ini. Penahanan dan pendakwaan seorang anak muda
bernama Adam Adli baru-baru ini menggambarkan ketakutan kerajaan BN
terhadap suara anak muda yang berani menyatakan kebenaran dan membantah
penipuan pilihan raya. Beliau dilayan umpama penjenayah berbahaya hanya
kerana bersuara lantang mengkritik kepincangan sistem pilihan raya.
PRU13 telah menjadi saksi bahwa politik perkauman, politik samseng
dan keganasan, politik pecah dan perintah, politik adu domba dan ugutan,
politik lucah dan fitnah, politik rakus dan fanatik melulu telahpun
ditolak oleh rakyat. Tindakan UMNO dan Barisan Nasional yang bermain api
dengan segala unsur fanatik ini adalah sangat merbahaya dan mengancam
keharmonian masyarakat.
22. Nyata dan pasti, bahwa rakyat sebenarnya meletakkan harapan yang
cukup tinggi terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk mengisi agenda
arah dan halatuju masa hadapan negara. KEADILAN telah menjadi
satu-satunya parti yang memenangi kerusi di semua 14 negeri dan Wilayah
Persekutuan sekaligus muncul sebagai parti arus perdana, yang
mengamalkan budaya politik baru didalam setiap langkah dan tindakan.
Oleh yang demikian, komitmen kita kepada semua rakyat Malaysia bahawa
KEADILAN adalah untuk semua rakyat akan tetap menjadi teras perjuangan
kita. Inilah yang menggerunkan kerajaan minoriti Barisan Nasional.
Meluncur kemenangan masa depan
Sebagai pejuang sejati, apa jua yang kita alami, perlu juga kita
selami kembali. Bersama kita bermuhasabah diri, agar harapan tinggi
rakyat tidak kita kecewakan. KEADILAN mempunyai pengaruh nasional yang
cukup hebat, namun perlu diseimbang dengan jentera yang mantap,
berdisiplin dan kemas di peringkat akar umbi. PRU13 mengajar kita bahawa
penipuan berlaku secara sistematik dan berleluasa, dan tumpuan kita
kini adalah untuk mendedahkan penyelewengan PRU kepada rakyat.
Dalam masa yang sama, adalah amat kritikal agar program-program
pemantapan pimpinan, organisasi, jentera parti dan keahlian
diperkukuhkan demi menjana kemenangan dalam masa terdekat. Usaha-usaha
pemantapan jati diri anggota dengan kefahaman serta penghayatan ideologi
parti perlu diperhebatkan. Dengan meluncur sehati, sejiwa, barulah kita
mengecapi kemenangan.
Penambahan anggota di peringkat cabang perlu dirancakkan,
ranting-ranting di setiap daerah mengundi kawasan pilihanraya perlu
dibuka dan diaktifkan. “Espirit de corps”, semangat persaudaraan,
pengorbanan, sokong menyokong dan saling memberi motivasi sesama anggota
perlu dirancakkan. Pemantapan organisasi, peningkatan bilangan anggota
parti dan pengukuhan semangat persaudaraan ini lebih kritikal di kawasan
luar bandar yang akan menjadi tumpuan utama parti.
Oleh yang demikian, ruh reformasi perlu ditiupkan kembali. Dalam masa
yang sama, muafakat melalui wadah Pakatan Rakyat perlu disemarakkan
berteraskan prinsip hormat menghormati disamping membina konsensus
bersama demi rakyat.
Sesungguhnya, bersama kita menyedari bahawa perjuangan untuk membina
Malaysia yang lebih baik dan saksama, bukanlah mudah dan senang. Maka
bersedialah kita semua dari segi spiritual, mental dan fizikal untuk
menghadapi cabaran dan tekanan yang akan ditimpakan. Jangan ada di
antara kita yang tewas dalam perjalanan. Buat anggota parti yang tidak
terpilih menjadi calon dalam PRU lalu, janganlah goyah dan berkecil
hati. Perjuangan harus diteruskan.
Justeru, marilah juga bersama kita menginsafi bahwa perjuangan untuk
menegakkan kebenaran dan keadilan rakyat ini adalah amat mulia di sisi
Allah dan insan. Maka itu, janganlah kita merasa ragu-ragu dan merasa
tidak pasti. Setiap perjuangan yang mulia dan tinggi pasti melalui
dugaan dan cabaran. Ini merupakan ketentuan Ilahi. Keyakinan kita kepada
rahmat dan redhaNya pasti akan menjadikan kita istiqamah dalam
perjuangan ini.
Firman Allah:
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan menegakkan
keadilan dan kebenaran), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap dugaan
yang menimpa kamu). Sesungguhnya kamulah orang-orang yang tertinggi
(termulia, mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang sungguh-sungguh
beriman.” (Ali Imran: 193)
Kita juga tidak sekali-kali lupa bahawa perjuangan kita adalah satu
amanah besar lagi mulia di sisi rakyat. Oleh yang demikian, kepentingan
rakyat dan kepentingan prinsip perjuangan menjadi keutamaan kita.
Akhir sekali, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dan
juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang
memberikan amanah untuk kita menjadi suara majoriti rakyat Malaysia
tercinta. Suara rakyat, suara keramat!
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti KEADILAN Rakyat
No comments:
Post a Comment