Tuesday, May 28, 2013

Misi & Visi ADUN Sri Muda Selepas PRU-13




Makalah ini merupakan kesinambungan kepada “Mengenali DUN dan ADUN Sri Muda” (Free Malaysia Today, 18 Februari 2013) dan “Jom Ubah Taman Sri Muda” (Free Malaysia Today, 12 Mac 2013). Sekurang-kurangnya boleh dijadikan rujukan silang dan indeks prestasi utama (KPI).

Sebagai pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda dan penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sejak tahun 2000, tentulah saya tidak mahu Mat Shuhaimi Shafiei “berehat” selepas mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Hasil pengiraan undi pada 5 Mei 2013 menunjukkan bahawa beliau mendapat 27,488 undi sementara Mohd Raof Mokhtar mendapat 14,978 undi (majoriti 12,510 undi). Seorang lagi calon yang tidak pernah saya temui/kenali, Ramaswree Duraisamy, berjaya mendapat 242 undi tetapi tetap hilang wang deposit.

Saya bertemu Shuhaimi di Restoran Sri Mayuri, Taman Sri Muda pada petang 23 Mei 2013 untuk minum teh dan berbual tentang perancangan beliau bagi DUN Sri Muda berikutan kejayaan mendapatkan mandat lebih besar daripada pengundi dalam PRU-13.

Politikus berumur 45 tahun itu melihat peningkatan majoriti sebagai bukti bahawa pengundi mahu menunjukkan “kuasa rakyat” (people’s power atau The Third Force) sambil menghantar isyarat yang jelas kepada Kerajaan Pusat supaya jangan mengabaikan pengundi di kawasan bandar dan separa bandar.

Sambil menyifatkan kejayaan ini sebagai “kemenangan bergaya”, Shuhaimi berkata, peningkatan majoriti daripada 5,984 undi pada PRU-12 (8 Mac 2008) kepada 12,510 undi pada PRU-13 (5 Mei 2013) menunjukkan bahawa beliau perlu bekerja lebih keras untuk memenuhi harapan tinggi yang diletakkan oleh para penduduk pelbagai kaum dan agama di DUN Sri Muda.

Dalam perbualan kami, saya turut bertanya sama ada peningkatan undi pada kali ini datang daripada pengundi muda (Saluran 5, 6 dan 7) atau pengundi lama (Saluran 1, 2 dan 3). Maklumat ini pasti boleh membantu untuk “membaca” harapan penduduk sekitar DUN Sri Muda.

“Kebanyakan Saluran 1 (warga emas) di kawasan kampung menunjukkan peningkatan sokongan dalam bentuk undi. Di saluran anak muda pula, bagi kawasan bandar, majoriti mengundi saya. Tetapi di kawasan kampung dan luar bandar, nampaknya sokongan kurang sedikit daripada pengundi muda,” Shuhaimi berkongsi analisis yang dilakukan berdasarkan data dan fakta.

Pengundi muda (khususnya pengundi kali pertama) di kawasan kampung dan pinggir bandar didapati menggunakan konsep “warisan” dalam memutuskan calon atau parti yang mahu diundi. Maknanya, ibu, bapa, ahli keluarga atau saudara-mara terdekat mereka memegang jawatan dalam parti politik tertentu.

“Misalnya, anak atau menantu yang merupakan pengundi kali pertama memilih untuk mengundi atas dasar sentimen keluarga. Hasil penelitian mendapati bahawa trend seperti itu hanya berlaku di kawasan kampung, bukan di kawasan bandar,” bapa kepada empat anak itu menghuraikan.


Visi lima tahun

Kalau diperhatikan, terdapat 80 saluran pengundi muda di kawasan bandar dalam DUN Sri Muda semasa PRU-13. Shuhaimi hanya tewas di 17 saluran berkenaan. Maknanya, sokongan anak-anak muda adalah lebih daripada dua pertiga.

Persoalan seterusnya yang amat wajar dikemukakan adalah mengenai perancangan ADUN berkenaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Menjadi visi saya untuk meletakkan perbezaan antara kawasan bandar (taman) dan luar bandar (kampung) pada suatu garis pemisah yang paling tipis,” katanya sambil menghuraikan mengenai pelbagai projek pembangunan prasarana yang sudah mula dirancang.

Dalam jangka masa panjang, ADUN yang selalu turun padang itu berharap dapat merealisasikan impian melihat perkhidmatan oleh kerajaan tempatan yang memberi tumpuan kepada semua kawasan; bandar mahu pun kampung.

Untuk makluman, DUN Sri Muda terbahagi kepada daerah Petaling dan Klang; selain terletak di bawah pentadbiran tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Maka, bukan mudah untuk menyelaraskan kesemuanya bagi memastikan mutu perkhidamatan PBT yang seimbang dan setara.

Walau bagaimanapun, Shuhaimi tetap optimis dalam impian berkhidmat kepada penduduk mengikut kemampuan dan bidang kuasa. Sebagai permulaan, beliau antara lain sedang berusaha mengenal pasti padang atau kawasan tanah lapang di Kampung Jalan Kebun untuk dijadikan tempat menganjurkan majlis perkahwinan.

“Kalau kita mampu menyediakan ruang meletak kereta bagi tetamu, ruang untuk menjamu selera dan pentas khas bagi acara, maka pasti dapat menyelesaikan masalah penduduk pelbagai kaum pada setiap kali muncul musim perkahwinan atau apa-apa sambutan yang memerlukan ruang yang luas bagi tetamu yang ramai,” politikus yang berasal dari Bagan Serai, Perak itu menceritakan dengan penuh praktikal.

Cadangan beliau mungkin kelihatan “kecil” pada pandangan sesetengah pihak tetapi saya menganggapnya sebagai usaha murni dan penting yang sebenarnya mampu menyelesaikan pelbagai masalah serta mengurangkan beban penduduk berpendapatan rendah. Malah, tapak berkenaan boleh dijadikan lokasi aktiviti kemasyarakatan yang mampu memupuk perpaduan dan semangat muhibah.
“Satu lagi perkara penting yang saya titik beratkan adalah pembangunan belia-belia kampung. Dalam PRU-13, saya nampak sendiri sebilangan remaja dan belia dipergunakan ahli politik tertentu yang tandus idea. Saya dimaklumkan oleh sekumpulan remaja bawah umur 18 tahun bahawa mereka dibayar upah RM50 untuk mengelilingi pekan, kampung dan bandar sambil menunggang motosikal, mengibarkan bendera parti politik dan berkempen.

“Amat malang bahawa mereka tidak diberikan peluang pendidikan atau kesedaran politik yang betul. Hal ini merugikan masa depan remaja terbabit kerana mereka adalah bakal pengundi pada PRU-14. Maka, saya bercadang mengadakan program kesedaran khas melibatkan golongan belia dan remaja,” katanya yang mengakui golongan muda sebagai modal insan dan aset penting negara.


Memenuhi KPI


Dalam pada itu, ada dua perancangan jangka pendek Shuhaimi bagi DUN Sri Muda. Pertama, pembinaan pasar baru di Taman Sri Muda dilaksanakan segera selepas menyelesaikan “masalah birokrasi yang luar biasa” sejak lima tahun lalu.

ADUN itu mengakui bahawa memang amat menyedihkan kerana masalah birokrasi sepatutnya tidak berlaku selepas Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008.

Perancangan kedua adalah untuk berbincang dengan Exco Belia (yang baru) supaya sekitar 300 Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di 12 PBT diberikan ruang dan peluang melaksanakan aktiviti melibatkan golongan belia. Usaha memperkasa PeBT haruslah selaras dengan keinginan golongan belia tempatan serta memberi “kuasa” kepada mereka sendiri membuat keputusan.

Shuhaimi yang tinggal di Taman Mewah Jaya, Klang menekankan pentingnya aktiviti riadah, konvoi, futsal, kembara dan sebagainya bagi mengisi masa lapang golongan belia dan remaja.

“Selaras dengan itu juga, sebuah gelanggang futsal dan dewan sukan akan dibina di sebelah stesen minyak (Petronas) di Taman Sri Muda. Saya juga menerima baik cadangan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mahu menggunakan ruangan berhampiran Kawasan Rukun Tetangga (Zon B) untuk dijadikan laman budaya bagi mengendalikan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya melibatkan khalayak pelbagai kaum di sekitar Taman Sri Muda,” katanya.

Saya percaya bahawa pengundi dan penduduk di DUN Sri Muda akan memantau segala usaha dan aktiviti Shuhaimi dengan penuh teliti bagi memastikan mandat yang diberikan kepada beliau dalam PRU-13 adalah “berbaloi”.

Berdasarkan rekod cemerlang beliau sejak 2008, saya optimis bahawa politikus ini akan mampu memenuhi KPI dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk. Jika tidak, beliau berdepan risiko kehilangan undi saya pada PRU-14. Ini bukanlah ugutan tetapi peringatan mewakili pengundi dan bakal pengundi.

fmt

No comments: