Wednesday, May 29, 2013

Pecat Ahli PKR Bertanding Calon Bebas

 

PETALING JAYA - Parti wajar mengenakan tindakan tegas terhadap ahli-ahli PKR yang merajuk tidak dicalonkan sebagai calon dan bertindak menamakan diri sebagai calon bebas pada PRU13.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, pucuk pimpinan parti disarankan memecat dan bertindak tegas terhadap ahli parti yang merajuk kerana tidak dipilih sebagai calon.

“Dah tak terpilih, calon itu menamakan diri sendiri sebagai calon bebas seperti yang berlaku di Hulu Selangor.

“Parti mesti ambil tindakan tegas, selayaknya pecat ahli seperti ini,” katanya dalam perbahasan Kongres Nasional Keadilan ke-9 2012, di sini, semalam.

Sementara itu, Shuhaimi turut mencadangkan kepada pimpinan PKR agar mengenakan tindakan tegas terhadap ahli parti yang tidak berdisiplin dan menyalah gunakan kedudukan di dalam parti.

“Ini menyentuh kepada keingkaran ahli-ahli PKR yang mengetepikan keputusan parti yang telah diputuskan dalam mesyuarat, kongres dan sebagainya tidak dipatuhi oleh segelintir mereka yang diberi tanggungjawab untuk dilaksanakan.

“Yang lebih buruk, ada yang mengabaikan keputusan penting. Disarankan mereka yang diberi amanah melaksanakan keputusan penting tetapi tidak dilakukan, mesti tertakluk kepada hukuman atau denda ditetapkan parti.

Shuhaimi berkata, bukan sahaja perlu berdisiplin malah disiplin terhadap mereka yang menyalah gunakan kedudukan dalam parti.

Mengulas perkara lain, Shuhaimi sekali lagi bertegas menyarankan supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai individu bertanggungjawab mempertimbangkan ahli PKR yang mempunyai potensi untuk diangkat atau dilibatkan dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan negeri.

“PKR  sudah 15 tahun diasaskan dan lima tahun di Selangor, dua penggal diberi tanggung jawab maka saya fikir kita sudah cukup bersedia untuk masuk mana-mana GLC atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membanteras penyelewengan dan ketirisan yang tidak selari dengan polisi parti,” katanya.

sinarharian

No comments: