Wednesday, May 22, 2013

Persempadanan Semula Wajib Dilaksana Secara ADIL




KUALA LUMPUR, 22 Mei — Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) berikrar akan menggunakan peningkatan kerusi Parlimen mereka untuk memastikan kawasan pilihan raya dilakar semula secara adil apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula akhir tahun ini.


Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengingatkan aktiviti itu akan menyebabkan peningkatan jumlah kerusi dan undi majoriti dua pertiga diperlukan untuk mengesahkan perubahan sebelum diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dengan hanya 133 kerusi berbanding PR 89 kerusi dan memerlukan undi dari ahli Parlimen pembangkang untuk mengesahkan aktiviti itu.

“Akan tetapi jika mereka (SPR) tidak menambah kerusi dan proses hanya melibatkan pengarisan semula sempadan, ini adalah bahaya kerana ia membenarkan manipulasi dan tidak perlu undi dua pertiga,” kata Rafizi kepadaThe Malaysian Insider.

“Pada masa lalu mereka (BN) menang besar dalam pilihan raya kerana aktiviti persempadanan semula sentiasa memihak kepada mereka… mereka memindahkan sokongan kami ke kerusi lain.”

Akan tetapi pengarah strategi PKR itu mengatakan kali ini persempadanan semula akan melibatkan penambahan dalam bilangan kerusi.

Beliau berkata sejajar dengan desakan kempen “satu undi, satu nilai” DAP, ahli parlimen PR akan berjuang habis-habisan untuk menggunakan kuasa Parlimen bagi memastikan pengundi lebih adil tersebar tidak seperti keadaan sekarang.

Pertuduhan pengagihan pengundi yang tidak adil telah digunakan sebagai hujah utama oleh penggubal undang-undang PR untuk menyokong pertuduhan manipulasi berpihak kepada BN telah menyebabkan gabungan pemerintah itu terus berkuasa.

Wan Saiful Wan Jan: Tidak ada logik. — Gambar fail
Dalam artikel terbaru portal berita FZ.com, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan membangkitkan persempadanan kawasan pilihan raya yang sedia ada tidak logik dari segi saiz dan bilangan pengundi.

“Putrajaya mempunyai 15,791 pengundi berbanding Kapar yang mempunyai 144,159 pengundi. Ini tidak masuk akal.

“Dan kita mempunyai kerusi DUN Sri Serdang dengan 72,769 pengundi jauh lebih tinggi dari kerusi Parlimen Putrajaya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Perkara ini juga telah menarik perhatian media antarabangsa.

Dalam Wall Street Journal semalam, wartawan Hong Kong Philip Bowring memberikan pandangan mengapa PR kalah pilihan raya walaupun menang 51 peratus undi popular — keputusan yang ahli Parlimen pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil menyalahkan manipulasi kawasan pilihan raya.

“Terima kasih kepada amalan berat sebelah anti-bandar melampau dan pemansuhan peraturan yang mengawal saiz relatif kawasan pilihan raya, kawasan pilihan raya terbesar mempunyai sembilan kali lebih ramai pengundi daripada paling kecil,” tulis Bowring.

“Atas dasar itu, dan mengambil kira bilangan kerusi dilawan sengit, pembangkang mungkin akan perlu menang sekurang-kurangnya 58 peratus undi popular untuk mendapatkan majoriti kerusi.”


Bercakap kepada The Malaysian Insider, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mengatakan dengan pilihan raya berakhir dan usaha akan dilakukan untuk mencabar sesetengah keputusan melalui petisyen pilihan raya, langkah seterusnya bagi PR adalah untuk menumpukan kepada proses persempadanan semula.

SPR mengatakan baru-baru ini aktiviti itu akan bermula hujung tahun ini selepas proses enam bulan mendengar petisyen pilihan raya selesai. Petisyen mesti difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya digazetkan.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses persempadanan semula perlu dilakukan sekurang-kurangnya setiap lapan tahun. Kali terakhir SPR melakukan persempadanan semula adalah pada 2003.

“Tumpuan akan lebih kepada satu orang, satu undi, satu nilai selain dari mengetengahkan reformasi lain,” kata Pua. “Apa yang kami mahu adalah padang lebih sama rata dalam pilihan raya umum akan datang.

“Dalam erti kata lain, kita tidak sepatutnya melihat gabungan yang menang undi popular akan tetapi kalah dalam kiraan kerusi Parlimen.

“Oleh kerana BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, aktiviti tersebut mestilah dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke bersetuju dengan rakan partinya, mengatakan adalah penting bagi PR menggunakan sepenuhnya pengaruh di Parlimen dan melawan jika tidak bersetuju dengan cadangan persempadanan semula SPR.

“Kita mempunyai lebih daripada satu pertiga ahli Parlimen dalam Dewan. Kita cukup kuat untuk memastikan persempadanan dilakukan dengan betul dan profesional,” katanya.

“Penentu undi tidak boleh menjadi tidak masuk akal seperti hari ini.”

Khalid Samad
Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS Khalid Samad mengatakan perlu ada pengagihan pengundi yang “masuk akal” di kawasan pilihan raya bagi memastikan setiap undi mempunyai nilai sama di semua kawasan pilihan raya.

“Dalam sesetengah kes, terdapat kawasan Parlimen yang kurang daripada 10,000 pengundi… di tempat lain, anda mempunyai kerusi dengan lebih 100,000 pengundi.

“Kita akan cuba mengetengahkan perwakilan lebih adil secara menyeluruh,” katanya.

BN mendapat 133 kerusi Parlimen berbanding PR 89 dalam pilihan raya 5 Mei akan tetapi buat pertama kali semenjak 1969, gabungan pemerintah itu hilang undi popular, hanya mendapat 48 peratus undi berbanding PR yang mendapat 51 peratus.

Pemimpin PR secara serta merta mendakwa terdapat penipuan apabila pemimpin de facto mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangkang persekutuan telah menang pilihan raya.

malaysianinsider

No comments: