Thursday, May 30, 2013

Sidang DUN Selangor 28 Jun- TSKI



KLANG: Selangor akan memulakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal pertama pada 28 Jun ini dan upacara pembukaan akan dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bagi pelantikan rasmi Adun Subang Jaya Hannah Yeoh sebagai Speaker dan Timbalannya Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia), upacara angkat sumpah akan diadakan pada 21 Jun depan.

Manakala bagi jawatan Pegawai Perhubungan Politik (political liaison) yang akan diberikan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, beliau berkata pihaknya masih meneliti proses lantikan tersebut dan akan memutuskannya dalam masa terdekat

Beliau turut mengarahkan Exconya supaya mengisytiharkan harta masing-masing sebelum sidang DUN bermula, sama seperti yang dilakukannya dalam pentadbiran negeri penggal lalu.
“Setiap penambahan aset semasa Exco itu bertugas juga perlu dilaporkan  termasuk Exco lama dan baru,” katanya dalam sidang media selepas istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Aku Janji Ahli Majlis di Istana Alam Shah disini hari ini.

Mengenai isu air, beliau berkata pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Air, Tenaga dan Teknologi Hijau, Datuk Maximus Ongkili bagi mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkan proses penstrukturan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang.
Turut diberi keutamaan adalah menaik taraf jalan raya melalui Ops Tampal Jalan dengan membelanjakan RM120 juta untuk membaiki 2.7 juta meter persegi termasuk menampal lubang pada harga RM35 setiap meter persegi.


Destinasi pelaburan utama

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapan Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Menyimpan Rahsia sebagai Exco dihadapan Sultan Selangor pagi tadi, pihaknya berjanji untuk berusaha mengekalkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama para pelabur dari dalam mahupun luar negara.

“Di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, negeri Selangor berjaya mencapai tahap negeri maju dan dengan restu Duli Yang Maha Mulia Tuanku patik hamba tua bertekad untuk meneruskan kecemerlangan Selangor selaku penyumbang utama terhadap pembangunan dan pendapatan negara Malaysia.

“Hanya dengan kedudukan dan tahap pencapaian sedemikian, maka seluruh rakyat Tuanku dapat sama menikmati limpahan pembangunan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka,” katanya.

Adun Pelabuhan Klang itu juga berikrar untuk terus berusaha mencari jalan meningkatkan pendapatan rakyat terutama di kawasan luar bandar dan dipinggir bandar agar mereka dapat menikmati kehidupan yang “serba ada” sekaligus dapat merapatkan jurang dengan penduduk di kawasan bandar.

“Tiada gunanya jika negeri Selangor bergelar negeri maju sedangkan sebilangan penduduk, terutama penduduk luar bandar masih tercicir dalam hal menikmati kemajuan di negeri ini,” katanya.

fmt

No comments: