Monday, May 20, 2013

BN Kalah Teruk Di Selangor




PETALING JAYA: Meskipun pilihanraya umum telah berlalu hampir tiga minggu lalu, namun kekalahan besar Barisan Nasional di Selangor masih diperkatakan.
Walau dikemudi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta dibantu bekas menteri kabinet, Datuk Seri Noh Omar, BN hanya memenangi 12 kerusi negeri daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi.
Malah Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin saban minggu turun berkempen ke negeri itu dalam usaha untuk merampas semula kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat.
Persoalannya mengapa BN dan Umno gagal merampas Selangor meskipun beratus juta telah dibelanjakan sejak lima tahun lalu.
FMT sempat membuat tinjauan ringkas ke atas beberapa pemimpin BN Selangor bagi mengetahui sebab sebenar kekalahan tersebut.
Turut memberi komen ialah NGO pro BN,  Gerakan  Prihatin  Rakyat Selangor (GPRS). Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, BN negeri kalah kerana banyak faktor.
Salah pilih calon
“Antaranya,  kawasan penduduk majoriti Cina yang tidak menyokong BN,; undi orang Melayu yang berpecah kepada dua kumpulan iaitu BN dan Pakatan Rakyat dan sesetengah pengundi muda yang terpengaruh dengan berita media baru.
“Faktor lain ialah rakyat telah terpengaruh dengan janji-janji pembangkang, dan kerana itu kita lihat BN hanya banyak menang di kawasan utara Selangor majoriti pengundi Melayu,” katanya.
Seorang pemimpin Umno di Ampang memberitahu, salah pilih calon juga menyebabkan pengundi menolak BN.
Selain itu tambah beliau, rakyat muak dengan senarai calon BN yang tidak menepati kehendak mereka.
Sebelum itu, bekas Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo berkata, antara faktor kekalahan BN di Selangor ialah ketiadaan penyelarasan di kalangan parti-parti komponen BN.
“Saya tidak tahu berapa kali BN negeri mengadakan mesyuarat dalam sebulan, mungkin empat kali,” katanya.

fmt

No comments: