Thursday, May 16, 2013
Kuasa Melayu Tidak Akan Hilang
SHAH ALAM: Hak keistimewaan orang Melayu dijamin takkan terhapus sampai bila-bila sekalipun DAP menjadi kuasa terbesar memerintah di peringkat Pusat.
Ahli Parlimen DAP-Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, perkara itu dilihat berdasarkan tiga perkara utama.
Pertama, dari segi demografik menunjukkan komposisi masyarakat Melayu adalah majoriti di Malaysia dan semakin berkembang, namun tidak bagi masyarakat Cina yang semakin mengecil.
Keduanya, menurut Zairil hak kaum Melayu dilindungi oleh undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.
“Selain itu ada kuasa Raja-Raja Melayu yang menjadi pelindung bagi memastikan hak keistimewaan Melayu terus terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjadi panel forum Wacana Sinar Harian Siri 20: Pasca PRU 13: Ke Mana Haluan Politik Melayu di Kompleks Karangkraf di sini semalam.
Perlu optimis
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah menolak dakwaan wujudnya fenomena ‘tsunami’ pengundi masyarakat Cina semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 5 Mei lalu seperti yang digambarkan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, beliau menegaskan BN perlu optimis dan menerima perubahan tersebut, bukannya bersikap tuding jari serta cuba meniupkan api perkauman.
“BN perlu minta maaf atas kesilapan masa lalu dan (berjanji) tidak akan ulangi kesilapan.
“Kemudian baru boleh mulakan kehadapan dengan cara urus tadbir baru, dan perlakuan itu harus bentuknya baru,” katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, untuk kekal relevan Umno mesti terus melakukan transformasi bagi menjamin kelangsungan bangsa Melayu.
“Kalau tidak semasa PRU nanti Umno akan kalah lagi teruk,” katanya.
Beliau juga mendakwa trend PRU13 bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana fenomena yang sama berlaku pada setiap kali musim pilihan raya.
Beliau merujuk kepada PRU tahun 1999 apabila berlakunya ‘tsunami’ pengundi Cina dan perkara sama berlaku terhadap pengundi India semasa PRU tahun 2008.
“BN atau mana-mana parti mampu memperbaiki kelemahan maka mereka akan dapat semula undi PRU akan datang.
“Apa yang kekal hanya perubahan harapan rakyat yang mengharapkan perubahan pembangunan serta demokrasi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan BN membuka keahlian terus dan tidak lagi keahlian berlandaskan parti.
Katanya, ini perlu memandangkan sekarang berlakunya ‘politik rabun warna’ apabila pengundi tidak lagi melihat pemimpin secara tunggal sebaliknya kekuatan gabungan antara parti.
“Transisinya berlaku kerana bangsa Malaysia sudah rabun warna sebab itu kita lihat orang Melayu bawa bendera DAP,” katanya.
Tsunami nilai
Sementara itu Ahli Parlimen PAS-Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata ini bukan tsunami bangsa.
Sebaliknya ia lebih kepada tsunami nilai yang mana pengundi tidak memilih berdasarkan warna kulit tapi apa wakil mereka akan perjuangkan dalam Parlimen dan DUN.
“Ia termasuk nilai-nilai yang berlaku tidak ditangani oleh wakil rakyat sedia ada, disitulah letaknya kebangkitan,” katanya.
fmt
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment