Thursday, May 16, 2013

Pulihkan Profesionalisme PDRM

 

PETALING JAYA 15 MEI: Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) baru berkuatkuasa Jumaat ini perlu bersikap adil dan bertanggungjawab untuk mengangkat tahap profesionalisme ke tahap lebih baik.

Ini dinyatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat parti selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat tengahari tadi.

“Pakatan berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Khalid bagi mengeratkan lagi hubungan antara polis dan Pakatan dalam usaha untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Ujarnya, Khalid juga perlu bertindak adil terhadap semua pihak agar tidak dinilai rakyat sebagai cenderung untuk menekan pihak lain khususnya pembangkang.

Turut dilantik Datuk Seri Mohd Bakri Zinin sebagai Timbalan KPN.

Khalid, 56, merupakan Timbalan KPN menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang akan tamat tempoh pelantikan secara kontrak esok.

Mohd Bakri, 59, merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli mahu Khalid menjadikan isu perkauman sebagai ujian pertama.

“Konflik ini bermula dengan kenyataan Najib yang menggunakan istilah ‘Tsunami Cina’ selepas PRU 13.

“Akhirnya, masalah ini semakin tidak terkawal seperti mencurah minyak ke dalam api malah cuba menjadikan Pakatan dan bangsa Cina kambing hitam atas kegagalan mereka menguasai majoriti dua pertiga dan merampas Selangor,” ujar Ahli Parlimen Kuala Krai itu.

Dalam isu sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mengecam akhbar kawalan Umno, Berita Harian kerana memanipulasi kenyataannya dalam sebuah ceramah di Ipoh seolah-olah beliau menggelarkan Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘syaitan’.

“Pengarang akhbar ini kurang ajar, tiada etika kewartawanan dan merosakkan keharmonian rakyat dengan menyiarkan berita fitnah seperti ini.

“Walhal kenyataan saya itu menggunakan analogi yang digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu ‘Better the devil you know than you don’t', (lebih  baik syaitan yang dikenali berbanding yang tidak dikenali) bukan bermaksud saya panggil Najib sebagai ‘syaitan’,” tempelak Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

kd

No comments: