Wednesday, May 15, 2013

Kemenangan PR Dirompak - DSAI




KUANTAN: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa Pakatan Rakyat telah memenangi Piliihan Raya Umum ke 13 (PRU13) pada 5 Mei lalu dan layak membentuk kerajaan baru.
Ketika berucap di Perhimpunan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ dan juga disebut sebagai ‘Blackout 505′ kerana para penyokong digalakkan memakai pakaian serba hitam di Kuantan malam tadi, beliau berkata,
“Pakatan sudah memenangi PRU13 dan perhimpunan ini adalah manifestasi bantahan rakyat terhadap “kemenangan yang dirompak.”
Menurut Anwar, Barisan Nasional telah ‘merompak’ kemenangan itu dari Pakatan Rakyat berdasarkan dakwaan beliau bahawa proses pengundian PRU13 sarat dengan penipuan dan sekali gus mencemari sistem demokrasi di negara ini.
“Perhimpunan ini hasrat rakyat. Kami menang pilihan raya kamu rompak kemenangan ini. Orang Umno kata terimalah keputusan ini. Keputusan apa, keputusan rompak!
“Kamu terima orang rompak kereta kamu, harta kamu, tanah kamu, kamu nak suruh rakyat terima? Perhimpunan ini mengenai maruah rakyat menuntut pilihan raya bebas dan adil,” tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Perhimpunan yang diadakan di kawasan letak kereta berhampiran pejabat PKR di Jalan Beserah, Kuantan berjaya menarik lebih 30,000 penyokong dari segenap lapisan masyarakat.
Seperti biasa, pelbagai spanduk dan poster membawa mesej bantahan terhadap ketelusan pilihan raya turut dibawa oleh peserta.
Selain Anwar, pimpinan parti itu yang hadir termasuk Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin; Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail serta Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman.
Wakil PAS pula termasuk Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa serta Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli.

fmt

No comments: