Friday, May 17, 2013

SPR Wajib Reform



GEORGE TOWN — Pakatan Rakyat (PR) akan terus mendesak kerajaan untuk melakukan reformasi menyeluruh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika Malaysia mahu melihat pilihan raya bersih pada masa akan datang, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Bercakap dalam satu forum mengenai fakta di belakang kemenangan undi popular PR dalam Pilihan Raya 2013 di sini malam tadi, beliau mengatakan satu-satunya cara adalah dengan terus melawan dan memberikan tekanan supaya SPR benar-benar diubah dan digantikan oleh mereka yang adil dan percaya dengan pilihan raya bersih.
“Kita perlukan SPR direformasikan sepenuhnya di mana pengerusi sehingga semua pegawainya digantikan oleh pegawai baru yang dipersetujui oleh PR dan orang awam untuk menjamin mereka tidak berpihak kepada mana-mana parti,” katanya.
Menurutnya, hanya selepas SPR direformasikan secara menyeluruh pilihan raya semula akan diadakan bagi membuktikan terdapat kecurangan dan penipuan terutamanya di 30 kerusi marginal.
Beliau memberitahu ratusan hadirin di Komtar, PKR telah menyediakan pasukan untuk menyiasat penipuan pilihan raya di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebaik sahaja bukti dikumpulkan, petisyen pilihan raya akan difailkan.
“Kita diberitahu untuk memfailkan petisyen, ia berkos RM50,000 untuk setiap petisyen bagi setiap kerusi, ini bermakna, 27 kerusi yang kini kami sedang siasat akan menyebabkan kos menghampiri RM1.5 juta jika kita failkan petisyen,” katanya.
Beliau mengatakan mengapa parti itu untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan meneliti semua penyelewengan selain daripada mengumpul sumber yang cukup agar dapat memfailkan petisyen.
“Kita perlu terus melawan, sama ada di mahkamah, di jalanan atau di Parlimen untuk mendesak perubahan menyeluruh bagi SPR atau Barisan Nasional (BN) akan terus menipu untuk menang,” kata ahli Parlimen Pandan itu.
Semasa sesi soal jawab, sesetengah penonton bertanya apa PR boleh lakukan mengenai pertuduhan persempadanan semula yang akan menyebabkan BN terus menang dalam semua pilihan raya akan datang.
Ahli strategi pilihan raya DAP Dr Ong Kian Ming, yang juga merupakan ahli panel forum mengatakan satu-satunya cara untuk memperjuangkan reformasi SPR adalah untuk memastikan proses persempadanan semula yang dijangka bermula pada tahun ini akan dilakukan secara adil dan tiada lagi percubaan untuk manipulasi.
Terdapat tiga ahli panel bagi forum tersebut Rafizi, Ong dan Dr Dzulkefly Ahmad — sementara Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari bertindak sebagai moderator.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang turut diundang untuk bersama-sama terlibat tidak hadir sehingga forum berakhir pada pukul 11 malam.

MalaysianInsider

No comments: