Sunday, May 26, 2013

Walaupun kita lemah dari segi kewangan , namun ia tidak melemahkan kita- Shuhaimi Shafiei




KONGRES PKR Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei hari ini mengulangi gesaan supaya ahli-ahli parti dilantik dalam syarikat kaitan kerajaan (GLC) serta pihak berkuasa tempatan untuk memantau mereka yang tidak sehaluan dengan dasar parti.

Bagi menguatkan lagi hujahnya, Suhaimi memetik kata-kata Abraham Lincoln yang berbunyi: 'Berikan saya enam jam untuk menebang pokok, saya akan habis empat jam pertama mengasah kapak'.
Dalam hubungan itu, beliau berkata, parti itu telah 15 tahun ditubuhkan dan diberi dua penggal untuk memerintah Selangor. 

Oleh itu, beliau merasakan "kapak kita" sudah cukup tajam untuk memasuki mana-mana GLC dan majlis tempatan untuk bertindak terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan dasar parti.

Berucap membahas ucapan presiden di kongres nasional PKR ke-9 di Petaling Jaya petang ini, Shuhaimi (kanan) juga menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang duduk di sebelah podium, melantik ahli PKR mengisi jawatan dalam GLC dan kerajaan tempatan.

Katanya, langkah tersebut adalah penting untuk melatih mereka, tetapi dengan tegas berkata, pihaknya menentang mana-mana ahli parti yang mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri mereka sendiri.

Terdahulu, Shuhaimi mengimbau ucapan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di kongres Pemuda dan Wanita PKR semalam di mana beliau berkata parti perlu mengukuhkan diri dari segi kepimpinan, keahlian, organisasi dan kewangan.

"Bahagian kewangan, kita rasa kita paling lemah tetapi ini tidak menghalang perjuangan kita," katanya.

Beliau juga menyentuh ucapan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menggesa jentera parti digerakkan untuk mencapai kemenangan pada masa depan.

Shuhaimi juga menggesa tindakan diambil terhadap pemimpin parti yang enggan mematuhi keputusan mesyuarat di peringkat cabang, negeri dan pusat.

Beliau juga menggesa pihak parti mengambil tindakan terhadap mereka yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan parti tetapi gagal berbuat demikian.


malaysiakini

No comments: