Saturday, February 27, 2010

Dua Pejuang Rakyat Meninggal Dunia

Friday, 26 February 2010 12:29 PM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Dua pemimpin dan pejuang rakyat di Selangor meninggal dunia baru-baru ini yang masing-masing dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pejuang rakyat yang dimaksudkan itu ialah Ustaz Hj Hambari Hj Nor dan Monoharan Ponnan yang kedua-duanya secara kebetulan dalam kawasan Parlimen Kota Raja.

Ustaz Hj Hambari yang juga aktivis PAS kawasan Kota Raja kembali ke rahmatullah kira-kira 10.30 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras pada 21 Februari lalu selepas beberapa minggu menjalani pembedahan akibat kanser usus.

Almarhum cukup dikenali sebagai pejuang rakyat dan antara sumbangan beliau semasa hayatnya ialah menginfakkan sebahagian besar tanahnya untuk Markaz/Pejabat PAS dalam kawasan Kota Raja.

Beliau juga merupakan penyumbang besar samada dari segi tenaga dan wang ringgit bagi pembinaan bangunan PASTI Saidatina Aisyah selain sejumlah wang yang disumbangkan beliau demi perjuangan Islam dan rakyat di kawasan itu.

Malah, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengakui kerap melihat almarhum bersama sahabat karibnya, Hj. Maskuri antara yang aktif membina markas itu menggunakan tangan beliau sendiri.

Beliau yang mengenali almarhum lebih 10 tahun turut mengakui usaha gigih dan keikhlasan Hj Hambari kerana beliau antara yang penyumbang kemenangan PAS bagi Parlimen Kota Raja yang majoriti pengundinya bukan Melayu.

Khalid turut memberitahu, sebagai menghargai jasa baik almarhum, lorong ke Markas PAS Kota Raja dinamakan sebagai lorong Hj Hambari.

“Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersetuju supaya nama lorong ke Markas PAS Kota Raja dinamakan sebagai lorong Hj Hambari dan didaftarkan di dalam perancangan MBSA,” jelas Khalid diblog peribadinya.

Sementara itu, pejuang dan aktivis sejak era reformasi Monoharan Ponnan meninggal dunia 19 Februari lalu akibat masalah jantung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Hj Shafiei menyifatkan Monoharan sebagai penyokong tegar PKR terutamanya sejak pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Malah, sejak menyertai reformasi, beliau kekal dan komited dalam perjuangan PKR.

Shuhaimi antara individu yang awal hadir menberikan penghormatan di kediaman mendiang yang terletak di Taman Sri Muda serta pemimpin di setiap peringkat dan orang ramai tidak putus - putus hadir memberikan penghormatan.

Beliau turut melahirkan rasa dukacitanya kerana mendiang adalah seorang yang pemimpin setempat yang cukup disenangi oleh penduduk kerana sikap ambil berat mendiang dengan masalah masyarakt.

No comments: