Tuesday, May 25, 2010

KDN rampas lebih 3,000 naskah Era Pakatan

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Lebih 3,000 naskah akhbar tabloid Era Pakatan atau lebih dikenali sebagai KABAR Era Pakatan (KEP) dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dua hari lalu di Selangor dan sebelum itu di Perak.

Menurut Ketua Pengarang 2, KEP, Mat Zahari Ali (gambar) rampasan tersebut semata-mata bermotifkan politik disebabkan kebanyakan isu yang ketengahkan membabitkan beberapa skandal yang membabitkan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno/BN.

"Rampasan ini bertujuan untuk menakutkan penjual dan pengedar kerana memandangkan isu yang di bongkar tidak terdapat dalam media-media lain, apatah lagi media arus perdana.

"Saya juga menganggap rampasan ini adalah hal biasa dengan KDN memberi seribu satu alasan untuk menghalalkan tindakan. Hal ini pernah berlaku pada Harakah dan Suara Keadilan," jelas beliau yang pernah bertugas sebagai editor harakah web TV dan editor Berita Suara Keadilan.

Menurut Mat Zahari, KDN tidak bertindak secara profesional dalam menyelesaikan isu berhubung apa sahaja apabila membabitkan pembangkang.

"KDN seharusnya memberi amaran atau memaklumkan terlebih dahulu sebelum tindakan rampasan dibuat.

"Semua maklumat berhubung ketua Pengarang, penerbit, pencetak semuanya ada dalam fail KDN. Mereka boleh menghubungi atau memaklumkan pada pihak KEP sekiranya terdapat apa-apa yang tidak kena. Bukannya bertindak merampas secara membabi buta.

"Saya rasa amat sedih sekiranya inilah cara KDN menangani sesuatu masalah yang membabitkan kepentingan awam," Ujar beliau

Ketua Editor dipanggil KDN

Mat Zahari ketika menghubungi Harakahdaily memaklumkan beliau baru sahaja menemui bahagian Permit KDN di Putrajaya bagi mengetahui sebab sebenar.

"Saya berjumpa En Abdul Razak Abdul Talib dari bahagian penerbitan permit dan beliau memberitahu saya KEP tiada permit.

"Saya terkejut kerana nombor permit tertera di bahagian atas KEP. Kemudian pegawai tersebut menyatakan moke-up tak sama dengan KEP yang ada di pasaran.

"Saya kata kalau moke-up tak sama mengapa dianggap tiada permit atau memberitahu pihak KEP supaya diubah untuk keluaran akan datang.

Pegawai tersebut, katanya, cuba mengelak dengan memberikan alasan bahawa urusan merampas KEP adalah bidang kuasa bahagian penguatkuasa bukan di bahagian permit.

"Saya bertanya bagaimana boleh bahagian penguatkuasa membuat tindakan kalau tidak disebabkan oleh maklumat yang diberikan oleh bahagian penerbitan permit," ujar Mat Zahari.

"Saya kemudiannya meminta numbor telefon bagi menghubungi pegawai bahagian penguatkuasa.

"Selepas pulang ke pejabat saya menghubungi pegawai bahagian penguatkuasa, Mohd Rizal Abidin bertanyakan sebab mengapa KEP dirampas.

"Beliau memberitahu bahawa bidang kuasa yang ada pada beliau tidak membolehkan beliau memberikan sebab kepada saya serta meminta menghubungi Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan, Datuk Zaiton Abd Samad.

"Sehingga saat ini saya masih tidak dapat menghubungi Datuk Zaiton," jelas Mat Zahari yang juga pernah bertugas sebagai wartawan siaran di stesyen tv swasta.

Menurut Mat Zahari, Beliau sedang berurusan dengan pihak KDN untuk bertemu dengan KSU bahagian bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung status rampasan oleh KDN.


Sumber: Harakahdaily

No comments: